Belasungkawa Tragedi Tanah Runtuh Batu 14, Hulu Langat


Bismillahirrahmanirrahim. Salam buat para pembaca.

Jam 2.15 tengah hari, 21 Mei 2011. Malaysia sekali lagi digemparkan dengan satu lagi kejadian tanah runtuh yang menimpa Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Batu 14 Hulu Langat. Ini adalah kejadian tanah runtuh besar yang ke-10 berlaku di negara kita sejak tahun 2008. Kejadian tanah runtuh tersebut telah menimpa bahagian belakang madrasah dan mengakibatkan seramai 25 orang kanak-kanak dan dewasa tertimbus.

Operasi menyelamat telah dijalankan seawal jam 4 petang. Setakat jam 12.30 tengah malam 22 Mei 2011, 10 orang mangsa telah disahkan meninggal dunia. 9 yang lain selamat ditemui dan dikejarkan ke Hospital Ampang Puteri serta 6 yang lain masih belum ditemui. Ketika kejadian Mangsa-mangsa sedang menjalani latihan Nasyid. Kerja-kerja menyelamat telah dijalankan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia dengan kerjasama Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Palang Merah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Medic Ampang Puteri dan lain-lain.

(Gambar mereka yang sedang berlatih nasyid sebelum kejadian berlaku)

Mangsa-mangsa yang terkorban adalah, Azrel, 8 tahun, Nael, 8, Shahrul, 9, Boboy, 10, Farid, 34, Eqim, Zaim, Angah, Rahimi dan Zaid Ashwal, 18. Manakala yang terselamat adalah Khairul, 9, Hairis dan Harris (kembar), Akmal, Aizat, Alaudin, Irwan, 33, Din, 30 dan Syafiz, 22. Yang masih belum ditemui adalah Riz, 9, Lokman, 11, Fahad, 9, Aiman, 10, Hazim, 9 dan Hasril, 11.

Seorang mangsa yang sempat ditanya berkata, ketika mereka sedang menjalani latihan nasyid tersebut dia ternampak seakan-akan tanah dibelakang khemah itu seakan-akan bergerak. "Saya jerit suruh yang lain melarikan diri namun tanah runtuh dalam sekelip mata menyebabkan kebanyakan rakan ditimbus," kata Mohd Iman Abdullah. Mohd Iman Abdullah, 14, adalah antara mangsa yang sempat menyelamatkan diri.

Seorang warden asrama tersebut ketika ditemubual mengatakan, kejadian berlaku selepas pelajar selesai makan tengah hari dan beberapa pelajar ditugas membersihkan ruang makan itu. Sebahagian pelajar pula sedang berlatih nasyid dibawah khemah.

"Masa kejadian saya berada di asrama dan mendengar bunyi dentuman kuat dan saya tengok ramai pelajar dah tertimbus. Keadaan masa tu tak boleh gambar dengan kata-kata...," katanya yang telah lima tahun menjadi warden di situ. Difahamkan, sebelum ini kejadian tanah runtuh kecil pernah berlaku kira-kira 50 meter dari kawasan rumah anak yatim tersebut.


(Keadaan Madrasah selepas kejadian. Kelihatan Al-Qur'an masih selamat dan terpelihara)


Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, mengikut hukum Islam, yang menemui ajal secara tragis seperti akibat kebakaran, kemalangan jalan raya atau bencana alam dan mati ketika tidur, dikatagorikan sebagai Syahid.

"Mereka mendapat Syafaat ALLAH SWT, itu janjiNYA," katanya. "Walau bagaimanapun jenazah mereka masih perlu diurus seperti jenazah mati biasa, iaitu mandi, kafan dan disolatkan," menurut beliau yang mengulas mengenai kematian anak-anak yatim penghuni Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Batu 14 Hulu Langat.

Selain itu, pihak kerajaan negeri telah berbesar hati untuk memberikan RM50,000 sebagai bantuan kepada pihak mangsa kejadian. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri. Pihak kerajaan pusat pula telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarg mangsa terkorban. Sebanyak RM5000 juga telah disalurkan kepada setiap mangsa tertimbus yang terselamat. Pengumuman ini telah dibuat sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin yang datang melawat tempat kejadian pada sekitar jam 11.30 malam, hari kejadian.



(Pasukan Kecemasan Hospital Ampang Puteri giat menyelamatkan mangsa dan membawa mereka ke Hospital)


(Kerja-kerja menyelamat yang giat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan kerjasama dari orang ramai)

(2 orang mangsa yang baru ditemui terus dimandikan, diuruskan dan dikafankan oleh pihak bertugas. Kelihatan 2 orang ustaz yang mengawal pengurusan jenazah)

(Solat jenazah untuk 7 mangsa yang terkorban yang baru ditemui. Solat jenazah berlangsung sekitar pagi tadi, 22 Mei 2011)


Sedekahkanlah bacaan Al-Fatihah dan doa buat semua mangsa kejadian yang terkorban. Doakan mereka agar ditempatkan bersama para Syuhada' dan berada dikalangan orang-orang yang berTaqwa. Doakan juga kesihatan para mangsa yang lain agar mereka cepat sembuh dan dapat menjalani hidup seperti biasa semula. Doakan juga agar kerja-kerja menyelamat mangsa yang masih belum ditemui dapat dijalankan dengan mudah.

Khususon wa Ila AIla Arwaah Azrel, Nael, Shahrul, Boboy, Farid, Eqim, Zaim, Angah, Rahimi wa Zaid Ashwal, wa Ila Arwahi Waalidina wa Waalidihim, wa Masyaikhina wa Masyaikhihim, wa Jami'il Muslimina wal Muslimaat, Syai'un lilLaahi Lahumul Fatihah...

Allahumma-ghfir Lahum Warhamhum Wa'aafihim Wa'fu'anhum...
Allahumma-ghfir Lahum Warhamhum Wa'aafihim Wa'fu'anhum...
Allahumma-ghfir Lahum Warhamhum Wa'aafihim Wa'fu'anhum...


Lagi gambar...


(Gambar hadapan Madrasah setelah kejadian)


(Bahagian dalam asrama yang rosak)


(Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie meninjau kawasan bencana.)


Dalam pada kita sibuk dengan hal dan urusan harian kita, jangan kita lupa akan ajal dan maut yang boleh datang menimpa kita pada bila-bila masa sahaja. Tragedi yang menyanyat hati ini seharusnya kita jadikan sebagai iktibar buat kita. Ingat-ingat akan 2 kiamat yang bakal menimpa kita. Kiamat pertama adalah kiamat besar. Kiamat ini mungkin menimpa kita, mungkin juga tidak menimpa kita.

Tetapi, kiamat yang ke-2 adalah yang paling penting. Mati, itulah dia kiamat kecil yang wajib menimpa semua makhluk yang bernyawa terutamanya manusia. Kematian yang telah dijanjikan untuk kita itu bila-bila masa sahaja boleh berlaku. Siapa sangka beberapa detik kemudian, ada antara kita yang bakal pergi meninggalkan kita buat selamanya? Mohonlah kematian kita dalam keadaan Husnul Khotimah atau mati dalam keadaan Syahid.

Ya ALLAH, akhirkanlah kehidupan kami dengan Husnul Khotimah, dan jangan ENGKAU matikan kami dalam keadaan su'ul khotimah.



Sekalung penghargaan buat:
1) Pihak Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Pertahanan Awam, Palang Merah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Kecemasan Hospital Ampang Puteri dan semua yang turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
2) Pihak Wartawan dan rakan media yang bertungkus lumus melaporkan berita buat rakyat.
3) Pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang sudi menghulurkan saguhati buat para mangsa.
4) Pihak Bernama yang menjadi pelapor utama.
5) Pihak Mstaronline yang melaporkan berita terkini.
6) Pihak media dari Sinar Harian, Berita Harian dan Kosmo.
7) Pihak Themalaysianinsider yang menyumbangkan beberapa gambar diatas.
7) Blog kepalabergetar yang menyumbangkan beberapa gambar diatas.
8) Blog teratakarmo yang menyumbangkan beberapa gambar diatas.
9) Google yang sentiasa menjadi sumber carian terpantas.
10) Serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan artikel ini.


Sekian dahulu daripada saya. Ketemu lagi dimasa akan datang.
Yang melaporkan,
'bradokapak'
Ahad 22 Mei 2011, 8.15 malam.

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbth...

    suka blog awak ni....

    Boleh baca petikan akhbar di blog akak...

    http://zatajul.blogspot.com/

    ReplyDelete