
Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera.
Bismillahirrahmanirrahim...
Mutakhir ini, masalah stres dilihat semakin serius dalam kalangan rakyat Malaysia. Masalah stres sering berlaku kepada golongan yang kurang menitikberatkan kesihatan mereka. Antara implikasi sampingannya adalah mengalami migrain, sakit sendi, lemah badan, sukar untuk berfikir secara waras serta mengalami tekanan minda dan fizikal.
Antara golongan yang biasa mengalami gangguan stres ini termasuklah ibu bapa, pekerja kantor, para guru, pelajar yang sedang atau bakal menghadapi peperiksaan, orang yang ditimpa musibah serta mereka yang sedang menghadapi proses perkahwinan. Bagi menangani masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia, setiap individu seharusnya memainkan peranan masing-masing tidak kira sama ada individu perseorangan atau badan-badan kerajaan. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Para pelajar yang sedang atau bakal menghadapi peperiksaan; misalnya, perlu meluangkan waktu petang mereka untuk bersukan atau beriadah seketika bersama teman-teman. Perkara ini perlu bagi mengekalkan tahap kesihatan pelajar tersebut di samping mengelakkan gangguan stres menghantui mereka ketika mereka sedang sibuk belajar.
Bersukan amat penting bagi mengekalkan tahap kesihatan kita. Kita juga perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk melakukan senaman ringkas bagi meregangkan otot badan di samping dapat mencegah masalah stres. Selain itu, meluangkan waktu hujung minggu bersama keluarga; beriadah dan berekreasi, juga penting untuk menenangkan minda dan fizikal kita. Kajian sains menunjukkan bahawa purata orang yang mengalami stres adalah mereka yang tertekan dengan masalah kerja serta jarang meluangkan masa bersama keluarga.
Selain itu, bagi menangani masalah stres, seseorang itu juga perlu melakukan ibadah seperti tidak meninggalkan solat 5 waktu, sentiasa berzikir, mengekalkan bacaan Al-Qur'an pada setiap hari sekurang-kurangnya satu muka surat dan lain-lain. Bagi yang bukan beragama Islam pula, mereka boleh mengamalkan apa yang diajarkan dalam agama masing-masing, misalnya penganut buddha akan mengamalkan yoga, tai chi dan sebagainya sebagai satu terapi rohani dan jasmani mereka. Ibadah kepada Tuhan merupakan satu terapi yang mujarab bagi menangani masalah stres.
Di pihak kerajaan pula, mereka bolehlah mengadakan kempen menangani stres dengan menganjurkan program-program riadah seperti tarian poco-poco untuk kaum ibu, larian amal, sukaneka rakyat dan sebagainya. Selain itu, pihak kerajaan juga seharusnya menawarkan khidmat doktor yang khusus untuk membuat pemeriksaan dan bimbingan kesihatan secara percuma kepada rakyat. Ini penting bagi memudahkan rakyat Malaysia; terutamanya warga emas, untuk berjumpa dengan doktor mereka bagi mendapatkan rawatan dan nasihat perubatan di samping dapat mengetahui tahap kesihatan mereka. Hal ini seharusnya dibawa ke meja parlimen bagi perbincangan selanjutnya untuk dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Hakikatnya, masalah stres ini boleh diatasi dengan pelbagai cara. Namun, semua usaha itu bagai mencurah air ke daun keladi andai kita sendiri tidak mempunyai kesedaran untuk menangani masalah stres ini. Perkara ini sepatutnya dipandang serius oleh semua pihak tak kira seseorang yang terikat dengan pekerjaan tetap atau mereka yang menganggur. Harapan saya, cegahlah masalah stres ini demi kemajuan rakyat Malaysia kerana mencegah itu lebih aula daripada merawat. Akhirul kalam, jagalah kesihatan masing-masing demi masa depan yang cerah!



Jagalah kesihatan, demi masa depan anda! Jangan biarkan diri anda mati disebabkan penyakit, seperti kencing manis, darah tinggi, angin ahmar atau strok, sakit jantung, kanser dan lain-lain. Mohonlah ke Hadrat Ilahi agar kita sama-sama dikurniakan kematian dalam keadaan dapat mengucap dua kalimah syahadah dan mati dalam keadaan Husnul Khotimah. Lebih aula sekiranya kita dapat merasakan mati Syahid.
-Semua gambar diatas di kreditkan kepada Google.com.my
-Artikel hasil nukilan 'bradokapak'
Sekian, daripada saya, 'bradokapak' khusus buat para pembaca setia disini.
Wassalam.
13 September 2011, 5 47 petang.
No comments:
Post a Comment