3

Saya Tak Kata Hang Tuah Tak Pernah Wujud: Prof Khoo Kay Kim


Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala Puji hanya bagi ALLAH SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, para Ahlul Baitnya, seluruh sahabatnya dan pewarisnya. Salam buat para Tabi', tabi'it taabi'ieen, para Waliyullah, para Syuhada', para Ulamak dan sekalian ummat Islam.


Dalam kesempatan ini saya tertarik untuk membawa para pembaca meneliti ulasan mengenai satu forum yang telah berlangsung di Dewan Professor Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada hari Selasa, 6 Mac 2012 yang lalu. Saya terpanggil untuk membawa para pembaca sekalian menyelami isi tersurat dan tersirat dari apa yang terkandung dalam forum tersebut kerana terdapat banyak mutiara ilmu dan kata yg terdapat di dalamnya.


Forum ini adalah sebuah forum sastera. Forum Sastera: Hang Tuah Wira Bangsa, tajuknya. Forum ini menampilkan 4 orang panelis dan seorang moderator yang kesemua mereka adalah sarjana hebat dan ternama di negara kita. Panelis pertama menampilkan Professor (Prof) Emeritus Dr Khoo Kay Kim. Panelis kedua ialah Professor Emeritus Datok Wira Dr Mohd Yusoff Hashim. Ketiganya menampilkan Sasterawan Negara (SN) Professor Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh dan anak muridnya Dr Lalita Sinha sebagai panelis keempat. Moderator yang tidak kurang hebatnya adalah anak murid kepada Prof Khoo Kay Kim, Professor Mohd Salleh Yaapar yang telah berjaya mengelola suasana forum dengan sangat baik. Kesemua panelis diberi masa 20 minit untuk membentangkan perbahasan mereka sebelum sesi soal jawab dan kesimpulan dibuat.


Forum ini dimulakan dengan pembentangan pertama oleh Prof Khoo Kay Kim (PKKK) yang membicarakan mengenai ketidak wujudan atau kewujudan Hang Tuah. Namun, PKKK hanya membahaskan sedikit sahaja tentangnya. Selebihnya beliau lebih cenderung untuk bercerita mengenai sejarah Tanah Melayu selepas kemasukan British iaitu sekitar 1900 ke atas. PKKK memang mahir bermain saikologi kerana di awal-awal perbahasannya beliau menyatakan yang beliau tidak pernah mengatakan Hang Tuah itu tidak pernah wujud. Beliau hanya mengatakan yang bukti tentang kewujudan Hang Tuah belum beliau temui, sekaligus beliau secara kasar ingin menafikan kenyataannya sebelum ini yang pernah mendakwa bahawa Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Li Poh itu tidak wujud, bahkan mitos sejarah sahaja.


Namun, setelah itu PKKK dilihat tidak lagi membicarakan mengenai kewujudan Hang Tuah, bahkan beliau langsung tidak menyentuh pendiriannya yang sebenar dan konkrit mengenai peribadi Hang Tuah. PKKK dilihat lebih cenderung hendak membawa para hadirin untuk menyelami sejarah pra-kemodenan iaitu sekitar 1900 ke atas setelah kemasukan British serta sejarah tentang sukan, permotoran, pentadbiran dan pendidikan di Malaysia. Maka, dalam tidak sedar para hadirin yang mungkin sebelum ini marah dengan kenyataannya, akan terasa tenang dengan jawapannya setelah itu fokus perbincangan terus diubah agar tidak ada lagi kenyataan mengenai Hang Tuah disebut dan dikaitkan dengan dirinya. Bahkan, PKKK mungkin terlepas dari amarah orang Melayu yang marah kerana kenyataannya tentang ketidak wujudan Hang Tuah tempoh hari.


Bererti, dalam tidak sedar PKKK sedang membebaskan dirinya dari apa-apa tindakan atau amarah orang Melayu setelah beliau dengan berani membuat kenyataan yang benar-benar menggugat sejarah orang Melayu di Tanah Melayu ini tanpa perlu menyatakan pendiriannya sebenar terhadap Hang Tuah. Bermaksud, PKKK dalam masa yang sama masih menafikan kewujudan Hang Tuah, tetapi hanya ingin melepaskan dirinya sahaja! Jika beliau menerima kewujudan Hang Tuah, tak keterlaluan saya katakan yang PKKK sebenarnya hanya menerima kewujudan Hang Tuah sebagai satu unsur sastera atau epik hikayat dalam alam Melayu!

Untuk itu, mari kita teliti isi kandungan perbahasan PKKK yang saya salin sendiri ketika beliau sedang bersyarah di atas pentas. Salinan ini kurang lengkap kerana saya hanya sempat menyalin isi-isi penting dari seluruh perbahasan PKKK sahaja, khusus untuk tatapan para pembaca...


Panel Pertama: YBhg Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim (PKKK)


1. Pertama sekali, saya tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud.


2. Tapi saya kata saya belum jumpa bukti tentang kewujudan Hang Tuah.


3. Kalau nak diikutkan, sejarah kita bermula dari masa Kerajaan Kedah & Melaka. Ramai orang kata Kedah lebih awal dari Melaka, tapi baru-baru ini Melaka sudah dikira semula dan Melaka juga awal, lebih awal dari tarikh yang diketahui sebelum ini.


4. Saya sedih melihat anak muda kita hari ini. Kalau kita tanya mereka sejarah, mereka tak tahu. Saya tanya orang Melayu siapa orang Melayu pertama yang dilantik menjadi ahli Federal Council? Tak ada yang tahu!


5. Datuk Abdullah Dahan adalah orang Melayu kedua dilantik sebagai ahli Federal Council. Dialah yang mencadangkan kewujudan Askar Melayu. (PKKK tidak pula menyebut siapa orang pertama yang dilantik menjadi ahli Federal Council, barangkali bukan dari kalangan orang Melayu. Kerana itu tidak disebut.)


6. Saya tanya lagi pada orang Melayu, siapa orang Melayu pertama yang menjadi peninju antarabangsa? Tak ada yang tahu! Orang Melayu dulu hebat, sudah pergi jauh sampai peringkat antarabangsa. Tapi tak ramai yang tahu.


7. Kalau nak tahu, peninju orang Melayu pertama yang menjadi peninju di peringkat antarabangsa namanya Tiger Aman.


8. Dulu orang Melayu tak ada yang dapat pendidikan di luar negara. Kalau ada tak ramai dan mereka dapat ijazah dari universiti biasa-biasa sahaja. Di Oxford, kita ada orang Melayu yang pernah menjadi orang Melayu pertama mendapat ijazah di sana.


9. Nama dia Mohd Zain Ariffin. Lepas dia balik dari Oxford, dia sudah main ragbi. Dia belajar ragbi betul-betul. Sebab dulu ragbi hanya dimainkan di Eropah. Kerana dia belajar di Oxford, jadi dia belajar main ragbi. Sampai satu masa dia jadi orang bukan Eropah pertama yang dapat jadi wakil ragbi antarabangsa.


10. Dia tinggal di Kedah (kalau tak silap saya) dia ajar ragbi di sebuah sekolah (saya terlupa untuk catat nama sekolah tersebut) sampai pelajar sekolah itu jadi top 1 ragbi diseluruh Malaysia. Itupun setelah orang British masuk ke Tanah Melayu dan membawa sukan-sukan lain untuk orang Melayu. Kalau dulu orang Melayu hanya suka bola sahaja dan British tak menggalakkan sukan lain untuk orang Melayu.


11. Sampai satu hari, sekolah yang diajar oleh Md Zain tadi berlawan dengan sebuah sekolah dari Perak (juga saya terlupa mencatat nama sekolahnya). Tiba-tiba di situ pasukan dia kalah. Sebab di sekolah Perak ini ada satu budak yang sangat hebat luar biasa. Sebab di sekolah itu ada Rahim Ahmad, orang Melayu pertama menjadi pelari 400 ela dalam masa 50 saat!


12. Kalau anda nak tahu, Dr Abdul Rahman Osman adalah orang pertama jadi Doktor Pathology. Dia belajar di Hong Kong (tak silap saya, jika bukan maka di Taiwan) dan dia balik ke Malaysia dia jadi orang pertama di Malaysia yang dapat Doktor Pathology.


13. Saya nak tanya lagi, siapa tahu orang pertama jadi peguam di Malaysia? Tak ada yang tahu! Ini baru tanya disini, kalau kita tanya orang Melayu diluar sana lebih ramai yang tidak tahu!


14. Sebab itu saya kasihan. Saya suka berbicara sejarah orang Melayu yang mutahkir setelah kedatangan British. Sebab semua yang telah berlalu, walaupun semalam, ia sudah jadi sejarah untuk kita.


15. Kalau anda nak tahu, Hj Abdul Wahab bin Tok Muda Abduk Aziz adalah orang pertama jadi peguam di Malaysia. Siapa yang tahu siapa sebenarnya dia? Tak ada! Sebenarnya dia lah Panglima Bukit Gantang! Hari ini kalau orang baca sejarah hanya tahu nama Panglima Bukit Gantang, tak tahu pun nama dia dan jasa dia.


16. Panglima Bukit Gantang itu lah peguam pertama Malaysia, tapi dia bukan orang terawal belajar undang-undang di Malaysia. Dato' Abdullah dan Dato' Nik Ahmad Kamil adalah 2 orang terawal yang belajar undang-undang di Malaysia.


17. Kalau nak tahu, orang Melayu antara yang terhebat di dunia. Di negara lain setelah dijajah British mereka tiada lagi kerajaan atau Sultan, jika ada hanya tinggal 1. Di India mereka hanya ada 1 Raja, di Indonesia pun hanya tinggal 1 Raja sama seperti Brunei dan banyak lagi negara-negara lain. Tapi di Malaysia kita ada 9 Raja dan Sultan (yang mana 7 memakai gelaran Sultan, seorang Raja Perlis, seorang lagi Yang Dipertuan Negeri Sembilan tetapi PKKK terlupa menyebut ini).


18. Jika kita baca sejarah negara ini, walaupun negeri Johor adalah negeri terakhir memiliki kerajaan berSultan. Daulat Sultan Abu Bakar adalah dari British. Queen England yang beri kelulusan pada Sultan Abu Bakar untuk jadi Sultan sebab itu kalau kita menghadap Sultan Johor sampai sekarang tiada "Daulat Tuanku" dan dia kena ikut protokol British.


19. Raja Lumu pula ketua agama orang Bugis masa nak jadi raja di Selangor dia kena pergi istiadat pertabalan di Lumut untuk dapatkan daulat dari Sultan Perak. Daulat Sultan Mahmud yang waktu itu Sultan Perak pula dapat dari Sultan Johor (awal) sebab Sultan Johor daulat mereka dari Sultan Iskandar Zulkarnain. (Tentang Sultan Iskandar Zulkarnain ini boleh pula PKKK menyebutnya dengan mudah, tak ada pertikaian. Peliknya, mengapa tentang Hang Tuah yang mana catatan tentang Hang Tuah jauh lebih banyak berbanding catatan tentang kaitan Raja-raja Melayu dengan Sultan Iskandar Zulkarnain dengan mudah hendak dipertikaikan. Tak mustahil selepas ini jika Hang Tuah termaktub sebagai mitos dan epik semata-mata, maka Sultan Iskandar Zulkarnain dan Raja-raja Melayu bakal menjadi mitos juga!)


20. Di Perlis pula raja di sana dapat daulat dari Raja Siam. Raja Perlis di panggil Raja bukan Sultan sebab daulatnya dari Raja Siam bukan dari Daulat Sultan Iskandar Zulkarnain.


21. Kita perlu bicarakan sejarah yang ini. Sebab banyak yang orang muda Melayu kita sekarang tak tahu benda-benda ini.


22. Sebab itu sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di masa akan datang. Sejarah kedudukannya tidak statik kerana setiap apa yang telah berlalu adalah sejarah. Tapi orang Melayu tak ambil tahu maka masa depannya bakal kecamuk bila Sejarah ini kurang diperdulikan. (Saya highlightkan frasa ini kerana terlalu tersirat mankanya!)


23. Kalau hendak tahu, Melayu ini mempunyai terlalu banyak dialek. Di Indonesia sahaja ada 900 dialek yang menjadikan negara paling banyak dialek diikuti orang India yang ada 800 dialek. Tapi lihat orang Cina, semasa Dr Suen Yat Sen memerintah dengan idealogi Komunis dia telah menyeragamkan bahasa orang Cina.


24. Dulu orang Cina ada banyak dialek. Masa dia (Dr Suen Yat Sen) perintah dia pilih 1 dialek sahaja sebagai bahasa rasmi orang Cina. Dia pilih bahasa orang Manchu sebagai dialek utama mereka. Mula-mula memang orang Cina marah sebab orang Manchu adalah musuh mereka. Tapi lama-lama orang Cina terima juga sebab mereka berfikiran terbuka.


25. Lihat Singapura, di sana hanya ada 1 dialek Cina yang digunakan. Mereka hanya guna Mandarin sahaja! Tiada dialek lain.


26. Orang Cina sangat liberal. Mereka makan semua jenis makanan kecuali kayu meja dan kerusi.


27. Sangat terbuka! Kalau dibenarkan, mereka juga akan masuk ke Surau juga. (??) Sebab mereka terbuka dan mudah sesuai dengan sesuatu tempat. Cuma tidak dibenarkan sahaja.


28. Saya harap orang Melayu lebih perihatin terhadap sejarah mereka bermula dari 1900 hingga sekarang sebab sudah sangat ramai orang bukan Melayu yang masuk ke sini. Sehingga nisbah bukan Melayu lebih ramai dari orang Melayu sekarang. Jika diikutkan, seawal 1960-an dulu lagi undi orang bukan Melayu telah lebih banyak dari orang Melayu.


29. Ini akan menjadi punca nasionalisme orang Melayu dalam zaman moden ini! (Point ini memperlihatkan betapa PKKK sangat teliti memerhatikan gerak orang Melayu sehingga sebegitu telitinya dia! Kita perlu tahu ini!)


30. Jangan tersekat dikongkong dengan hanya 1 epik sahaja. Bukan tak boleh menulis, tapi jangan lupakan sejarah sebab ia hakikat. Orang Melayu perlu banyakkan penulisan dan bacaan tentang sejarah.


31. Kalau nak dibincangkan tentang Islam pula, kena ingat pasal Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua (WWI & WWII). Sebab itu adalah tonggak naik turun Islam.


32. Sejarah Islam banyak diperbahaskan dalam akhbar Inggeris termasuk isu-isu tentang orang Melayu. Tapi kita tak tahu! Ini masalah kita, kita sendiri sudah lupakan sejarah kita tapi orang lain pula yang bersemangat mengenai sejarah kita. (Satu titik kukuh menyatakan bahawa sebenarnya banyak bangsa yang 'berminat' dengan orang Melayu!)


33. Saya akan terbitkan satu buku bertajuk "Islamic & Malay Society" (Nama penuh buku tersebut saya lupa catat) yang akan mengupas isu Islam dan orang Melayu. Kita perlu lebih terbuka dan liberal. Jangan terkongkong.


34. Sejak 1895, sudah ada 9 kerajaan berdaulat atau Kingdom monarki yang mana ia diakui oleh British sendiri.


35. Bila Inggeris datang, mereka mengakui sudah ada Islamik Monarki disini. Sebab itu Inggeris tak berapa kacau (ganggu) monarki ini dan ia kekal hingga sekarang. Beza dari tempat lain yang monarki mereka sudah jatuh dan hanya tinggal 1 sahaja.


36. Pada 1926, di Singapura pula lah tempat tertubuhnya pertubuhan Melayu pertama yang diberi nama Kesatuan Melayu Singapura. 1909 pula Malaya Football Asociation telah ditubuhkan di Singapura oleh British. Ini tanda bangsa kita diterima orang luar.


(Kemudian moderator memotong jalan memberitahu masa sudah cukup 20 minit)


37. PKK menyatakan bahawa kita boleh membaca epik tetapi jangan lupakan Sejarah. Orang Melayu perlu peka sejarah mutahkir mereka. Kemudian PKK menutup dengan ucapan perbahasannya Terima Kasih.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Di hujung forum pula, moderator telah memberi 3 minit kepada setiap panelis untuk memberikan kata-kata terakhir sebagai penutup mereka. Dan penutup dari Prof Khoo Kay Kim adalah seperti berikut:


1. Oleh kerana sejarah Melayu selepas zaman Melaka itu disisihkan, maka ramai orang tidak tahu bagaimana 9 Raja di Malaysia masih wujud.


2. "They were they are, they most remains their are."


3. Pada Durba di Sri Menanti, timbul satu slogan selepas British mengiktiraf Melayu, "Malaya for Malays".


4. Pada Akta Tanah, British telah mewujudkan istilah "Malaya for Malays and always must be Muslim".


5. Sejarah sentiasa memerlukan "emperical evidence." (Ini menurut disiplin ilmu pada pandangan PKKK bahawa sejarah sentiasa memerlukan bukti yang boleh diuji, sama ada secara santifik atau cara-cara lain. Bererti dalam masa yang sama kenyataan ini menolak tulisan dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah!)


6. Kita boleh kaji sejarah tapi jangan campurkan unsur fable dalam Sejarah. (Fable bererti unsur-unsur mitos, epik dan hikayat. Bererti, PKKK masih tetap menafikan kewujudan Hang Tuah dan hanya menerimanya sebagai wujud dalam sastera Melayu dan Hikayat Hang Tuah sahaja?)


*Semua isi perbahasan ini saya salin sendiri dan telah diberi sedikit penambah baikan, namun 2 point pertama langsung tidak diubah dan saya salin bulat-bulat dari kata-kata PKKK!

Saya akui memang PKKK benar-benar berjaya 'meletupkan' suasa forum tersebut sedari awal dia berbahas di atas pentasnya. Cukup dengan 2 point pertamanya ramai yang sudah mula tidak selesa duduk. Kemudian setelah PKKK memasukkan unsur 'kealpaan orang Melayu terhadap sejarah mutakhir mereka' mungkin ramai mula beranggapan bahawa PKKK sebenarnya seorang yang sangat prihatin terhadap orang Melayu. Sekaligus menafikan kenyataannya tentang Hang Tuah yang boleh dilihat seakan-akan berbaur 'anti-sejarah orang Melayu'. Saya sendiri mengakui hampir-hampir tersangka bahawa PKKK benar-benar prihatin terhadap orang Melayu hinggalah rakan saya mengingatkan saya bahawa sebenarnya PKKK sedang 'twist' isu.

Kesimpulan dari perbahasan PKKK yang boleh kita ambil adalah;


1. Saya (PKKK) tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud.


2. Saya cuma kata saya belum jumpa bukti kewujudan Hang Tuah yang kukuh.


3. Boleh baca epik, tapi jangan lupakan sejarah. Orang Melayu perlu banyakkan bacaan Sejarahnya.


Ya, saya setuju dengan kesimpulan yang ketiga. Memang benar kata PKKK, orang Melayu sekarang terutama anak muda ramai yang lupa dan alpa dengan sejarah. Bahkan, boleh dikatakan subjek sejarah di sekolah-sekolah adalah satu masa yang sesuai untuk tidur! Ini juga hakikat bangsa kita! PKKK sebagai seorang Pakar Sejarah pada bidangnya benar-benar mahir memerhati sesebuah bangsa sehinggakan mampu mengambil kesempatan terhadapnya.


Cuma apa yang saya kurang setuju adalah PKKK langsung tidak menyatakan pendirian kukuhnya terhadap kewujudan peribadi dan rohani Hang Tuah itu sendiri! Hanya satu kenyataan umum tentang Hang Tuah. Boleh sahaja jika dikatakan "Saya tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud" itu merujuk tentang kewujudan Hang Tuah di dalam buku-buku dan hikayat-hikayat sejarah & sastera sahaja, bukan merujuk kepada kewujudan hakiki peribadi dan rohani Hang Tuah. Sama sahaja maknanya, peribadinya tetap tidak wujud baginya hanya yang wujud di dalam buku Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Seperkara yang saya lihat hasil perbahasan PKKK, saya terhidu ada satu trigger yang baik untuk menyatukan bangsa Melayu dari kenyataan PKKK tersebut. Dan dalam masa yang sama kita sudah dapat membaca yang PKKK punya agenda tersendiri sama ada secara dirancang, tak sengaja atau diperalatkan. Tapi semua ini hanya tanggapan saya sahaja. Saya nyatakan sekali lagi, hanya semata-mata tanggapan saya!


Namun, saya tetap berterima kasih kepada PKKK kerana berani menyatakan tentang wujud atau tidak Hang Tuah ini. Kerana saya kira di Malaysia ini boleh lah dikatakan beliau adalah pakar sejarah terawal yang mempertikaikan kewujudan Hang Tuah sebagai seorang Wira Melayu. Jadi, dengan adanya kenyataannya tersebut telah membuka banyak mata orang awam termasuk sejarawan sendiri untuk melihat semula sejarah Melayu dan membawa kepada banyak siri Forum dan Seminar di merata tempat. Jadi, tidaklah sejarah kita tergeletak statik hanya berlegar dalam kalangan orang Sejarawan. Sekurang-kurangnya makin ramai yang mula peka dengan sejarah ini, kerana dengan sejarahlah sesuatu bangsa dapat di jatuhkan dan dijajah! Secara tak langsung akan mengangkat semula Sejarah kita, cuma langkahnya tidak boleh silap. Jika silap, maka terusirlah Melayu dari tanah airnya!


Sebelum mengakhiri artikel ini, saya menyeru kepada semua orang Melayu terutama yang beragama Islam dan anak muda agar lebih peka dengan sejarah kita sendiri serta jangan alpa terhadap semua isu-isu semasa agar kita tidak menangis di masa akan datang. InsyaALLAH, saya akan tuliskan juga khulasah dari perbahasan para panelis yang lain dalam artikel akan datang dengan tajuk Forum Sastera: Hang Tuah Wira Bangsa. Nantikannya disini...


WAllahuA'lam. Semoga bertemu lagi.




*Semua gambar diatas dikreditkan kepada Tuan Merah Silu dan blogger Dewan Bahasa. Terima kasih kepada semua sahabat yang memberi komentar di facebook saya tentang respons Prof Khoo Kay Kim seperti di atas.


Sekian dahulu,

'bradokapak'

Rabu 7 Mac 2012, 8:28 malam,

Wassalam.

4

Kuala Lumpur Bermandi Lumpur


Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Lima bulan yang lalu, kalau tidak silap saya, saya ada bermimpi bahawa satu hari nanti Kuala Lumpur akan dilanda banjir besar. Dalam mimpi saya itu, saya sedang berada di Kuala Lumpur, berhampiran KLCC dan ketika itu saya perasan air sedang melimpah. Namun, saya sempat mengucapkan Laa Hawla Wa La Quwwata Illa BilLahil 'Aliyyil 'Aziim dan lari dari air tersebut.

Setelah saya tersedar, saya mendapati dalam mimpi tersebut diri saya terselamat daripada banjir itu. Namun, sehingga semalam saya belum menemui jawapannya dan selama itulah hati saya kuat mengatakan satu hari nanti Kuala Lumpur akan dilanda banjir kelak. Biarpun pada bulan 11 tahun lalu kawasan Masjid Jamek pernah dilanda banjir, tapi hati saya mengatakan banjir tersebut bukan seperti dalam mimpi saya yang mana skalanya lebih besar.

Dan semalam, baru saya sedar bahawa banjir dalam mimpi saya tersebut sama seperti yang berlaku di Kuala Lumpur pada hari ini. Ucapan La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah tersebut pun benar-benar ada saya ucapkan ketika pulang dari Pasar Pudu pada (7 Mac 2012) menaiki motor bersama rakan saya. Dan petang beberapa jam selepas saya pulang, Kuala Lumpur benar-benar banjir besar sama seperti dalam mimpi saya! 2 hari berturut-turut (6 Mac dan 7 Mac) saya berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur sama seperti keadaan dalam mimpi tersebut, dan saya memang melalui KLCC seperti yang dialami dalam mimpi. Barulah saya ketahui, bahawa memang benar Janji Rasulullah SAW mafhumnya, mimpi ummat akhir zaman kebanyakannya adalah benar!
------------------------------

Hari ini 7 Mac 2012 menyaksikan sekali lagi Kuala Lumpur dilanda banjir besar setelah sekian lama tidak dilanda banjir besar. Kalau hujan tak kira lebat atau renyai-renyai, hanya di kawasan Masjid Jamek dan Masjid India sahaja yang sering dinaiki air. Itu pun tak lah teruk sangat.

Tapi kali ini, hujan yang telah mula turun dari petang tadi hingga ke tengah malam ini telah menyebabkan banjir yang agak teruk di ibu kota Kuala Lumpur. Kuala Lumpur akhirnya bermandi lumpur hari ini. Hujan yang luar biasa, lebat dan lama, sehingga kini jam 12.04 tengah malam, hujan masih belum berhenti disekitar Kuala Lumpur.


Untuk pengetahuan para pembaca, baru petang tadi (7 Mac 2012) saya berkeliaran hampir di semua lokasi banjir ini, dan baru petang tadi juga saya dan rakan-rakan ada bercerita tentang banjir. Tup-tup malam ini sudah berlaku banjir di semua tempat tersebut...


Disini saya sertakan gambar-gambar terkini banjir di Kuala Lumpur. Gambar dikreditkan kepada para facebooker kenalan sy dan blogger-blogger tempatan yang sudi mengupload gambar...



Lokasi di Kampung Melayu Ampang.


Parking Lot dalam Plaza UOA.


Lokasi Jalan Yap Kwan Seng.

Keadaan di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor.
Kredit Foto: Effendy Rashid (07/03/2012)

Kesesakan di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.
Kredit Foto: Adib Rawi (07/03/2012)



4 Lokasi berikut dirakam di sekitar Masjid Jamek berhampiran Stesen LRT Masjid Jamek. Lihat kedalaman banjir tersebut hingga hampir sebahagian teksi itu tenggelam! Gambar kredit kepada Fb Fan Page Malaysia! dan Ezany-Kun.

Bas yang terperangkap di Bukit Belacan.

Lokasi di Hulu Langat. Kredit kepada KBBUTV3.

Ini pula di Kampung Baru bersebelahan Masjid Kampung Baru. Air naik hingga paras paha sehingga para penduduk terpaksa menggunakan perahu dan kayak untuk berhubung.

Lokasi rakam berdekatan bangunan Pavillion, Kuala Lumpur.

Lokasi di Terowong Jalan Tun Razak.

3 Gambar ini menunjukkan paras air Sungai Klang dalam keadaan bahaya. Gambar kredit kepada KoqinsNetwork.

Sebuah jalan menghala ke Pusat Dagangan Dunia Putera. Maaf saya lupa nama jalannya.

Parking Lot Plaza Sungei Wang.

Gambar terakhir setakat ini, lokasi di Bukit Bintang. Air ketika ini sedang mula naik, sekitar jam 9 malam tadi.

Sebuah Jalan menghala Masjid Jamek. Maaf saya lupa lagi nama jalannya.



Dan ini pula sebuah video tentang tanah runtuh yang berlaku di Brickfields malam tadi. Kredit untuk MalaysiaKini.



*Update terkini: Jambatan Bukit Belacan telah runtuh serta paras air Sungai Kelang telah naik melimpah hingga paras dada. Kredit kepada Saudari ToT. Dan terkini lagi, KLCC diramal akan runtuh sekiranya 2 atau 3 hari ini masih lagi banjir!


Apapun, kita mengharapkan agar ini bukanlah satu bala dari ALLAH SWT dan semoga selepas ini tidak berulang lagi kes banjir lumpur di ibu kota kita. Ya ALLAH, jauhkanlah negeri kami ini dari balaMU. Amiin... Semoga ALLAH SWT senantiasa memelihara negara ini dan menjauhkan kita dari segala macam jenis maksiat yang semakin banyak menular dalam kalangan masyarakat.

Bagi setengah pihak, hari ini (8 Mac 2012) adalah hari cuti bagi mereka. Seronok lah ya! Bagi kami pula, bajir atau tidak tetap banyak kerja yang perlu diselesaikan. Kepada para pembaca, mohon maaf kerana tiada artikel baru semenjak dua menjak ini. InsyaALLAH petang nanti saya akan post satu entri terbaru mengenai kenyataan Professor Khoo Kay Kim yang mengatakan ketidak wujudan Hang Tuah. Isu yang tidak kurang hangatnya diperkatakan di negara kita. Sama-sama kita nantikan... :)




*Semua gambar diatas telah dinyatakan kreditnya, jika tiada maka dikreditkan kepada rakan-rakan facebook saya yang menguploadkannya. Dan gambar pertama di atas (gambar Plaza Low Yat) itu adalah gambar palsu semata-mata, sila lihat warna air yang jernih itu. Berbeza dengan warna air dalam gambar yang lain.



Sekian dahulu laporan dari saya,
Salam Hormat!
Catatan 'bradokapak'
Khamis 8 Mac 2012, 1.52 pagi.

1

Hantu Pemikiran


Assalamu'alaikum Wbt dan Salam Sejahtera!

Kali ini saya ingin membicarakan mengenai musuh. Musuh yang selalu mengganggu kita, yang sering menyerang kita baik serangan minda mahupun serangan berbentuk fizikal dan rohani. Setiap orang pasti ada musuh tersendiri. Tak kiralah dari kalangan apa sekalipun, sekurang-kurangnya setiap orang memiliki nafsu untuk dijadikan musuh pada sesuatu keadaan tertentu. Untuk berjaya dalam sesuatu pertempuran, kita perlu mengenali musuh kita. Oleh itu, kenalilah musuh anda dalam apa jua konteks pertempuran yang anda hadapi!

Musuh paling besar ummat Islam di Malaysia adalah pemikiran. Bila pemikiran lemah maka ada golongan yang 'bantu' mereka bagaimana hendak berfikir. Yang 'bantu' mereka berfikir akan memasukkan 'hantu' dalam pemikiran mereka. Ini menyebabkan pemikiran jadi keliru. Yang benar dianggap salah, yang batil dianggap mulia. 'Hantu' Pemikiran ini akan mendidik bagaimana nak menerima kemaksiatan dan kejahatan sebagai satu kebanggaan dan cara hidup yang berprestij.

Akhirnya setelah sekian lama Hantu Pemikiran ini mengawal diri mereka, maka akhirnya mereka menjadikan Hantu ini sebagai 'Tuhan' mereka. Lalu, mereka mencipta 'agama' baru untuk 'tuhan' baru mereka. Semua formula 'hantu' ini ditolak mentah-mentah oleh ALLAH SWT dalam Surah Al-Kaafiruun. Mereka yang bertuhankan 'hantu' ini amat gemar menggunakan kata-kata keramat Hang Tuah.
"Takkan hilang Melayu di dunia!"
"Kalau takut dilambung badai, jangan berumah ditepi pantai!"
"Melayu sepakat, Islam berdaulat!"
Dan banyak lagi...
Bila 'hantu' ini sudah masuk ke dalam diri mereka, maka mereka akan selalu takut kepada bayang-bayang sendiri, malah apa sahaja akan menghantui mereka. Mereka mahu semua saka baka mereka mewarisi hantu ini. Hantu ini yang memberi rezeki, jadi keramat, jadi simbol kebanggaan, jadi idola, jadi tempat bergantung mereka dan tempat mengadu mereka!

Hantu Hantu Hantu! Jerit mereka. Itu sebab tugas pertama Rasulullah SAW ingin membuang semua syirik yang nyata dan tidak nyata ini (hantu). Kalimah Syahadah pertama perlu dihayati sepanjang masa, tidak terbatas pada waktu solat sahaja. Buang semua hantu itu. Bila kita buang semua 'hantu' tadi, kita berpotensi untuk menjaddi Hang Tuah. Hang Tuah yang paling benar ialah Hang ingat Allah maka Hang lah yang berTuah!

Hang Tuah yang di Kota Melaka itu sebenarnya adalah seorang WaliALLAH yang agung. Dia mahu semua generasi Melayu selepasnya 'duplicate' supaya sama mendapat tuah dan digelar Hang (yang ber)Tuah sepertinya. Kubur sebenar Hang Tuah tidak dapat dipastikan tetapi kubur sebenar Hang Tuah yang Hakiki terletak dalam akal dan hati yang Haq pada diri setiap orang mukmin.

Mencari kehebatan Hang Tuah secara fizikal ini memang takkan ditemui kemuncaknya. Ibarat orang yang gila seks sibuk mencari-cari wanita yang paling seksi dan menggairahkan. Apa yang ditemui hanya kulit, daging dan lendir sahaja. Pencarian itu berakhir apabila ditemui Hang Tuah dalam akal dan hatinya. Umpama lelaki gila seks tadi itu, barulah diketahui perasaan itulah yang menentukan segala-galanya. Jika perasaan cinta teramat sangat sudah tak terkira macam mana rupa. Tutup sahaja lampu seperti kata Ustaz Azhar Idrus, maka selesailah pencariannya.

Oleh itu buanglah kesemua hantu-hantu yang meracuni pemikiran kita. Tekadkan, hanya dari ALLAH kerana ALLAH kepada ALLAH semuanya dalam hidup kita. Jangan ada sebarang HANTU PEMIKIRAN ditengah-tengahnya! Jika semuanya sudah ditekadkan hanya sanya kerana ALLAH tanpa ada sebarang hantu-hantu ditengah-tengahnya, maka akan terbitlah satu 'Artel Terahsia' dari dalam diri kita. Hantu-hantu itu pun akan takut dengan kita!


Sekian dahulu perkongsian dari saya. Buah fikir ini saya sampaikan khas buat para pembaca setia blog ini yang saya kutip dari pesanan bermanfaat Atok Alfonso yang sempat saya berbicara dengannya beberapa hari yang lalu. Semoga, semua pembaca diblog ini mampu menjadi seorang Hang yang berTuah dalam kehidupannya! Amiin...


Catatan 'bradokapak',
10:08 malam, 28 Februari 2012.
3

Kisah Sedih Ummat Akhir Zaman


Assalamu'alaikum wbt.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, seluruh ahli keluarganya dan para sahabatnya. Semoga kita beroleh manfaat daripada warisan mereka semua, Amiin...

Berbicara soal dunia globalisasi era kejatuhan 'Wall Street' sudah pasti membawa kita kepada pelbagai rencam kehidupan. Sesuatu yang memeningkan kepala dan menyesakkan minda sering kali datang kepada kita setiap kali berbicara perihal dunia akhir zaman.

Tidak dinafikan lagi - dengan banyak tanda yang sudah jelas - bahawa kita sememangnya hidup dalam suatu zaman, yakni zaman pra-kiamat, atau bahasa mudahnya dunia akhir zaman. Kebelakangan ini, isu kesederhanaan atau Arabnya disebut wasatiyah banyak diperkatakan di segenap lapisan orang yang beragama.

Kalau dahulu, dunia lantang menyuarakan pendapat atau cara pemerintahan pro-barat atau juga kebaratan, yang sememangnya mendukung idealogi fundamentalis, demokrasi, kapitalis dan pelbagai lagi idea yang sebenarnya hanyalah menyesakkan minda. Namun, dilihat, seakan-akan pemimpin dunia ingin kembali ke arah kesederhanaan yang merupakan salah satu wacana kejayaan dalam Islam.

Namun, pabila kita berbicara soal kesederhanaan sudah pasti tidak dapat tidak kita tidak boleh lari dari berbicara tentang perpecahan atau penyatuan dalam kalangan ummat. Slogan 'Ummatan Wasata' yang bererti ummat yang bersederhana sering dilaungkan dalam mana-mana seminar kesederhanaan ummat. Kata 'Ummatan' membawa erti satu atau sebuah ummat, yakni dalam erti kata lain pasti merujuk kepada sebuah ummat yang bersatu padu, yang kemudiannya digabungkan dengan perkataan 'Wasata' yakni merujuk kepada kesederhanaan. Lalu terbitlah istilah Ummatan Wasata itu, yakni ummat yang bersatu padu.

Berbicara soal ummat yang bersatu, ia sudah pasti bererti suatu ummat yang satu masa dahulu adalah tidak bersatu, berpecah belah dan mungkin berperang sesama sendiri. Kerana itulah datangnya istilah ummat yang bersatu, kerana sebelumnya pasti tiada kesatuan. Seperti di zaman jahiliyah, kesatuan ummat hanya terpancar dalam kalangan Bani atau Puak masing-masing - kadangkala berpecah juga sesama puak - dan dalam kalangan puak yang berbeza sering kali berlaku pergaduhan, permusuhan, bahkan peperangan! Sehinggalah kedatangan Rasulullah SAW yang membawa satu wacana penyatuan ummat dengan wadah kesederhanaan. Hasilnya, Islam gah diserata alam ini!

Dalam satu ummat atau kesatuan, pasti ada organisasinya, atau mungkin pemimpin dan kepemimpinan. Perkara yang lazim disentuh bila berbicara mengenai organisasi ialah soal pemimpin dan kepemimpinan. Pemimpin itu penting. Apabila dipilih memimpin, seseorang ketua itu seharusnya berpandangan jauh, berfikiran mendalam dan beraspirasi tinggi untuk memacu organisasi yang dipimpinnya agar mencapai objektif-objektif yang disasarkan.

Sesebuah organisasi atau kesatuan biasanya bermula daripada satu keperluan, kehendak dan kepentingan bersama oleh sesuatu kumpulan. Akan ada seseorang daripada kumpulan itu yang dipilih menjadi ketua. Lazimnya kumpulan yang mula terbentuk itu mempunyai jumlah ahli yang kecil. Oleh kerana saiznya yang kecil itu, komunikasi di antara ketua dan ahli-ahlinya dapat dilakukan secara informal, telus dan berterusan.

Komunikasi dan interaksi yang kerap menjadikan sesebuah kumpulan itu dinamis. Dalam proses pembentukan kematangannya, kumpulan yang baru mudah sekali beranjak paradigma pendekatan dan tindakannya. Pemimpin kumpulan kecil sentiasa mendapat maklum balas dan mudah pula mentafsir dan melaksanakan apa yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.

Bagaimana pun, kumpulan yang kecil dan berjaya akan menarik lebih ramai ahli. Lama kelamaan, ia akan menjelma sebagai sebuah organisasi atau sebuah kesatuan yang lebih besar. Apabila ia berdiri sebagai sebuah organisasi, strukturnya tidak lagi rata. Malah, ia mula mempunyai hierarki kepemimpinan. Keadaan ini menjadikan hubungan pemimpin dan pengikutnya menjadi semakin longgar.

Suara dari bawah kian sukar dilontar ke atas. Dan yang di atas semakin payah menangkap suara-suara yang dilontar tadi. Dalam keadaan ini, para pengikut akan berasa suara mereka mula tidak didengari. Akhirnya mereka berhenti bersuara lagi. Apa yang ada hanyalah harapan bahawa pemimpinnya dapat mengendalikan organisasi dengan baik. Inilah antara penyebab berlakunya banyak penyelewengan dalam kalangan pemimpin atasan, tanpa memedulikan orang yang dipimpin.

Oleh kerana kurang interaksi, pemimpin pula berasa sunyi kerana terasa bertindak berseorangan. Mana mungkin setiap tindakannya berpijak di bumi yang nyata sekiranya dia berada lebih hampir di puncak awan? Kerana itu juga banyak sekali organisasi yang besar begini dilihat bertindak melulu atau tersasar dalam perjuangannya.

Daripada luar memanglah kelihatan, semakin besar sesebuah organisasi itu, semakin kukuh, gagah dan gah teguhnya ia berdiri. Padahal, organisasi yang sudah gergasi saiznya itu sebenarnya lompong di dalam kerana terdapat jurang komunikasi yang besar di antara pemimpin dan pengikutnya. Ditambah dengan rasa hormat yang berlebih-lebihan pengikut kepada pemimpin besar sesebuah organisasi. Pengikut membiarkan pemimpin menerajui organisasi tanpa memberi maklum balas samalah seperti membiarkan pemimpinnya berbuat apa yang dia suka. Inilah antara penyebab jatuhnya empayar-empayar Islam yang satu masa dahulu gemilang di dunia, bahkan Empayar Melayu Melaka juga jatuh ke tangan Portugis kerana sebab yang hampir sama!

Pada waktu yang lain, pemimpin yang mempunyai pengikut yang taat, boleh lupa daratan. Tindak-tanduknya tidak lagi menepati aspirasi dan harapan pengikutnya. Di sekeliling kita, terdapat pelbagai organisasi yang besar sekarang ini, tetapi mempunyai pemimpin yang bertindak mengikut seleranya. Sama ada secara sengaja atau sebaliknya, sedar atau tidak, pemimpin-pemimpin ini berjaya memutar fikiran para pengikutnya hinggakan mereka diam menyepi dan setia membuta-tuli kepada pemimpin mereka.

Pengikut tentulah lebih ramai daripada pemimpin. Mereka mempunyai kuasa menggantikan pemimpin yang pada asalnya mereka pilih dari kalangan mereka. Malangnya, bila terdapat pengikut yang berani bersuara, tindakannya dianggap menderhaka. Ada pengikut yang kecut perut dan terus menutup mulut. Ada juga pengikut yang tidak tahan lagi, lantas meninggalkan organisasi untuk mewujudkan sebuah kumpulan baru dengan harapan ia menjelma menjadi sebuah organisasi yang lebih hebat dari organisasi yang ditinggalkannya. Formula inilah yang sering diulang pakai atau diputar-putar dalam dunia politik di Malaysia, bahkan jua di luar negara. Kadang kala ada yang menggelarkannya sebagai 'real-politik'.

Malangnya, tindakannya itu - keluar dari organisasi kemudian mencipta sebuah organisasi yang baru - jika dilihat dari mata burung sebenarnya menghakis organisasi yang asal kepada yang lebih kecil. Apabila kitaran yang sama berlaku terhadap organisasi yang muncul kemudian ini, maka ia juga berpecah menjadi kecil, dan lebih kecil. Organisasi berpecah menjadi kumpulan, dan kumpulan menjadi serpihan. Ummat terpecah menjadi bangsa, bangsa terhakis menjadi kaum, dan kaum terserpih menjadi suku, suku terpecah menjadi lebih kecil lagi terbahagi mengikut kasta keturunan masing-masing dalam suku masing-masing.

Ummat yang dahulunya hebat, akhirnya mereput, tumbang dan tenggelam ke dalam perut bumi.

"Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti orang-orang yang mengerumuni sesuatu hidangan." Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu itu jumlah kita (yakni ummat Islam) yang sedikit?" Nabi SAW menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai. Bahkan jumlah kamu banyak seakan-akan buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuh kalian dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hati-hati kalian." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda Nabi SAW, "Cintakan dunia dan takutkan mati..." Mafhum Hadis Baginda Rasulullah SAW yang telah ma'ruf dalam kalangan ahli agama, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

Sebagai kesimpulan, untuk menyatukan semula ummat yang telah terpecah belah sekian lama ini, sangatlah sukar. Hendak melakukannya memerlukan langkah-langkah yang berterusan dan berturutan, bahkan mungkin memakan masa yang sangat lama. Dan dalam ketidak sedaran kita, sebenarnya walaupun dunia sekarang sedang menuju ke arah kehancuran, ibarat kata pakar ekonomi Barat "kejatuhan Wall Street", kita ummat Islam sebenarnya sedang berada dalam langkah atau fasa ke arah sebuah penyatuan yang besar.

Penyatuan seperti yang pernah dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW, penyatuan yang berjaya mengangkat Islam sebagai kuasa terbesar di dunia. Kalau dahulu, Amerika Syarikat dan sekutunya dilihat sebagai sebuah kuasa besar dunia, bahkan kausa nombor satu dunia, namun setelah berlakunya 'perang idealogi' antara blok Timur Tengah dan sekutu Amerika Syarikat, dilihat seakan-akan dunia sudah tidak lagi takutkan Amerika Syarikat. Bahkan, mungkin nanti Amerika akan di'ayam-ayam'kan oleh negara Timur Tengah yang mempunyai kuasa Nuklear.

Jadi, fasa awal ke arah kesatuan yakni 'Ummatan Wasata' yang sebenar itu sudah pun bermula. Dari penyatuan sesebuah keluarga, kepada penyatuan sesebuah jemaah solat dalam satu kariah, kemudian ke arah penyatuan dalam satu daerah, diikuti penyatuan dalam konteks lebih besar yakni dalam negeri dan negara. Dan kesatuan ini, pasti satu masa nanti, akan ada yang memimpinnya dan membawa negara-negara yang orang di dalamnya telah bersatu itu untuk bersatu bersama-sama diperingkat antarabangsa bagi mengangkat kembali syiar Islam di bumi ini seperti yang pernah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dahulu. Hanya sanya ketua yang akan mengangkat semua negara-negara yang telah bersatu itu sahaja yang belum menampakkan dirinya ke khalayak umum.

Seperti di Timur Tengah yang sedang bergolak atau yang sudah bergolak, kita dapat lihat kesatuan dalam negara mereka berjaya diperoleh melalui perarakan, tindakan ganas antara pemimpin dan pengikut bahkan ada yang melalui fasa peperangan. Jadi, tidak mustahil jika perkara ini berlaku dalam negara kita tatkala kita sedang menuju ke arah penyatuan ummat Islam dalam negara kita. Untuk itu, persiapkanlah diri kita semua ke arah penyatuan ummat yang lebih besar selepas ini, demi menamatkan kisah sedih ummat akhir zaman ini! ALLAH Hu Akbar!


Sekian dahulu, WAllahuA'lam.





*Rencana ini dikarang sendiri oleh penulis dengan sedikit artikel tambahan dipetik dari tulisan kolumnis Norden Mohamed, akhbar Sinar Harian bertarikh 22 Februari 2012. Kredit diberi kepada Sdr Norden Mohamed. Gambar di atas dikreditkan sepenuhnya kepada Google.



Catatan 'bradokapak'
12:03 AM, 24 Februari 2012.
 
Copyright © 'bradokapak'
Blogger Theme by bradokapak®
Design by OrangGombak