Saya Tak Kata Hang Tuah Tak Pernah Wujud: Prof Khoo Kay Kim


Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala Puji hanya bagi ALLAH SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, para Ahlul Baitnya, seluruh sahabatnya dan pewarisnya. Salam buat para Tabi', tabi'it taabi'ieen, para Waliyullah, para Syuhada', para Ulamak dan sekalian ummat Islam.



Dalam kesempatan ini saya tertarik untuk membawa para pembaca meneliti ulasan mengenai satu forum yang telah berlangsung di Dewan Professor Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada hari Selasa, 6 Mac 2012 yang lalu. Saya terpanggil untuk membawa para pembaca sekalian menyelami isi tersurat dan tersirat dari apa yang terkandung dalam forum tersebut kerana terdapat banyak mutiara ilmu dan kata yg terdapat di dalamnya.



Forum ini adalah sebuah forum sastera. Forum Sastera: Hang Tuah Wira Bangsa, tajuknya. Forum ini menampilkan 4 orang panelis dan seorang moderator yang kesemua mereka adalah sarjana hebat dan ternama di negara kita. Panelis pertama menampilkan Professor (Prof) Emeritus Dr Khoo Kay Kim. Panelis kedua ialah Professor Emeritus Datok Wira Dr Mohd Yusoff Hashim. Ketiganya menampilkan Sasterawan Negara (SN) Professor Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh dan anak muridnya Dr Lalita Sinha sebagai panelis keempat. Moderator yang tidak kurang hebatnya adalah anak murid kepada Prof Khoo Kay Kim, Professor Mohd Salleh Yaapar yang telah berjaya mengelola suasana forum dengan sangat baik. Kesemua panelis diberi masa 20 minit untuk membentangkan perbahasan mereka sebelum sesi soal jawab dan kesimpulan dibuat.


Forum ini dimulakan dengan pembentangan pertama oleh Prof Khoo Kay Kim (PKKK) yang membicarakan mengenai ketidak wujudan atau kewujudan Hang Tuah. Namun, PKKK hanya membahaskan sedikit sahaja tentangnya. Selebihnya beliau lebih cenderung untuk bercerita mengenai sejarah Tanah Melayu selepas kemasukan British iaitu sekitar 1900 ke atas. PKKK memang mahir bermain saikologi kerana di awal-awal perbahasannya beliau menyatakan yang beliau tidak pernah mengatakan Hang Tuah itu tidak pernah wujud. Beliau hanya mengatakan yang bukti tentang kewujudan Hang Tuah belum beliau temui, sekaligus beliau secara kasar ingin menafikan kenyataannya sebelum ini yang pernah mendakwa bahawa Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Li Poh itu tidak wujud, bahkan mitos sejarah sahaja.


Namun, setelah itu PKKK dilihat tidak lagi membicarakan mengenai kewujudan Hang Tuah, bahkan beliau langsung tidak menyentuh pendiriannya yang sebenar dan konkrit mengenai peribadi Hang Tuah. PKKK dilihat lebih cenderung hendak membawa para hadirin untuk menyelami sejarah pra-kemodenan iaitu sekitar 1900 ke atas setelah kemasukan British serta sejarah tentang sukan, permotoran, pentadbiran dan pendidikan di Malaysia. Maka, dalam tidak sedar para hadirin yang mungkin sebelum ini marah dengan kenyataannya, akan terasa tenang dengan jawapannya setelah itu fokus perbincangan terus diubah agar tidak ada lagi kenyataan mengenai Hang Tuah disebut dan dikaitkan dengan dirinya. Bahkan, PKKK mungkin terlepas dari amarah orang Melayu yang marah kerana kenyataannya tentang ketidak wujudan Hang Tuah tempoh hari.


Bererti, dalam tidak sedar PKKK sedang membebaskan dirinya dari apa-apa tindakan atau amarah orang Melayu setelah beliau dengan berani membuat kenyataan yang benar-benar menggugat sejarah orang Melayu di Tanah Melayu ini tanpa perlu menyatakan pendiriannya sebenar terhadap Hang Tuah. Bermaksud, PKKK dalam masa yang sama masih menafikan kewujudan Hang Tuah, tetapi hanya ingin melepaskan dirinya sahaja! Jika beliau menerima kewujudan Hang Tuah, tak keterlaluan saya katakan yang PKKK sebenarnya hanya menerima kewujudan Hang Tuah sebagai satu unsur sastera atau epik hikayat dalam alam Melayu!

Untuk itu, mari kita teliti isi kandungan perbahasan PKKK yang saya salin sendiri ketika beliau sedang bersyarah di atas pentas. Salinan ini kurang lengkap kerana saya hanya sempat menyalin isi-isi penting dari seluruh perbahasan PKKK sahaja, khusus untuk tatapan para pembaca...




Panel Pertama: YBhg Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim (PKKK)


1. Pertama sekali, saya tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud.


2. Tapi saya kata saya belum jumpa bukti tentang kewujudan Hang Tuah.


3. Kalau nak diikutkan, sejarah kita bermula dari masa Kerajaan Kedah & Melaka. Ramai orang kata Kedah lebih awal dari Melaka, tapi baru-baru ini Melaka sudah dikira semula dan Melaka juga awal, lebih awal dari tarikh yang diketahui sebelum ini.


4. Saya sedih melihat anak muda kita hari ini. Kalau kita tanya mereka sejarah, mereka tak tahu. Saya tanya orang Melayu siapa orang Melayu pertama yang dilantik menjadi ahli Federal Council? Tak ada yang tahu!


5. Datuk Abdullah Dahan adalah orang Melayu kedua dilantik sebagai ahli Federal Council. Dialah yang mencadangkan kewujudan Askar Melayu. (PKKK tidak pula menyebut siapa orang pertama yang dilantik menjadi ahli Federal Council, barangkali bukan dari kalangan orang Melayu. Kerana itu tidak disebut.)


6. Saya tanya lagi pada orang Melayu, siapa orang Melayu pertama yang menjadi peninju antarabangsa? Tak ada yang tahu! Orang Melayu dulu hebat, sudah pergi jauh sampai peringkat antarabangsa. Tapi tak ramai yang tahu.


7. Kalau nak tahu, peninju orang Melayu pertama yang menjadi peninju di peringkat antarabangsa namanya Tiger Aman.


8. Dulu orang Melayu tak ada yang dapat pendidikan di luar negara. Kalau ada tak ramai dan mereka dapat ijazah dari universiti biasa-biasa sahaja. Di Oxford, kita ada orang Melayu yang pernah menjadi orang Melayu pertama mendapat ijazah di sana.


9. Nama dia Mohd Zain Ariffin. Lepas dia balik dari Oxford, dia sudah main ragbi. Dia belajar ragbi betul-betul. Sebab dulu ragbi hanya dimainkan di Eropah. Kerana dia belajar di Oxford, jadi dia belajar main ragbi. Sampai satu masa dia jadi orang bukan Eropah pertama yang dapat jadi wakil ragbi antarabangsa.


10. Dia tinggal di Kedah (kalau tak silap saya) dia ajar ragbi di sebuah sekolah (saya terlupa untuk catat nama sekolah tersebut) sampai pelajar sekolah itu jadi top 1 ragbi diseluruh Malaysia. Itupun setelah orang British masuk ke Tanah Melayu dan membawa sukan-sukan lain untuk orang Melayu. Kalau dulu orang Melayu hanya suka bola sahaja dan British tak menggalakkan sukan lain untuk orang Melayu.


11. Sampai satu hari, sekolah yang diajar oleh Md Zain tadi berlawan dengan sebuah sekolah dari Perak (juga saya terlupa mencatat nama sekolahnya). Tiba-tiba di situ pasukan dia kalah. Sebab di sekolah Perak ini ada satu budak yang sangat hebat luar biasa. Sebab di sekolah itu ada Rahim Ahmad, orang Melayu pertama menjadi pelari 400 ela dalam masa 50 saat!


12. Kalau anda nak tahu, Dr Abdul Rahman Osman adalah orang pertama jadi Doktor Pathology. Dia belajar di Hong Kong (tak silap saya, jika bukan maka di Taiwan) dan dia balik ke Malaysia dia jadi orang pertama di Malaysia yang dapat Doktor Pathology.


13. Saya nak tanya lagi, siapa tahu orang pertama jadi peguam di Malaysia? Tak ada yang tahu! Ini baru tanya disini, kalau kita tanya orang Melayu diluar sana lebih ramai yang tidak tahu!


14. Sebab itu saya kasihan. Saya suka berbicara sejarah orang Melayu yang mutahkir setelah kedatangan British. Sebab semua yang telah berlalu, walaupun semalam, ia sudah jadi sejarah untuk kita.


15. Kalau anda nak tahu, Hj Abdul Wahab bin Tok Muda Abduk Aziz adalah orang pertama jadi peguam di Malaysia. Siapa yang tahu siapa sebenarnya dia? Tak ada! Sebenarnya dia lah Panglima Bukit Gantang! Hari ini kalau orang baca sejarah hanya tahu nama Panglima Bukit Gantang, tak tahu pun nama dia dan jasa dia.


16. Panglima Bukit Gantang itu lah peguam pertama Malaysia, tapi dia bukan orang terawal belajar undang-undang di Malaysia. Dato' Abdullah dan Dato' Nik Ahmad Kamil adalah 2 orang terawal yang belajar undang-undang di Malaysia.


17. Kalau nak tahu, orang Melayu antara yang terhebat di dunia. Di negara lain setelah dijajah British mereka tiada lagi kerajaan atau Sultan, jika ada hanya tinggal 1. Di India mereka hanya ada 1 Raja, di Indonesia pun hanya tinggal 1 Raja sama seperti Brunei dan banyak lagi negara-negara lain. Tapi di Malaysia kita ada 9 Raja dan Sultan (yang mana 7 memakai gelaran Sultan, seorang Raja Perlis, seorang lagi Yang Dipertuan Negeri Sembilan tetapi PKKK terlupa menyebut ini).


18. Jika kita baca sejarah negara ini, walaupun negeri Johor adalah negeri terakhir memiliki kerajaan berSultan. Daulat Sultan Abu Bakar adalah dari British. Queen England yang beri kelulusan pada Sultan Abu Bakar untuk jadi Sultan sebab itu kalau kita menghadap Sultan Johor sampai sekarang tiada "Daulat Tuanku" dan dia kena ikut protokol British.


19. Raja Lumu pula ketua agama orang Bugis masa nak jadi raja di Selangor dia kena pergi istiadat pertabalan di Lumut untuk dapatkan daulat dari Sultan Perak. Daulat Sultan Mahmud yang waktu itu Sultan Perak pula dapat dari Sultan Johor (awal) sebab Sultan Johor daulat mereka dari Sultan Iskandar Zulkarnain. (Tentang Sultan Iskandar Zulkarnain ini boleh pula PKKK menyebutnya dengan mudah, tak ada pertikaian. Peliknya, mengapa tentang Hang Tuah yang mana catatan tentang Hang Tuah jauh lebih banyak berbanding catatan tentang kaitan Raja-raja Melayu dengan Sultan Iskandar Zulkarnain dengan mudah hendak dipertikaikan. Tak mustahil selepas ini jika Hang Tuah termaktub sebagai mitos dan epik semata-mata, maka Sultan Iskandar Zulkarnain dan Raja-raja Melayu bakal menjadi mitos juga!)


20. Di Perlis pula raja di sana dapat daulat dari Raja Siam. Raja Perlis di panggil Raja bukan Sultan sebab daulatnya dari Raja Siam bukan dari Daulat Sultan Iskandar Zulkarnain.


21. Kita perlu bicarakan sejarah yang ini. Sebab banyak yang orang muda Melayu kita sekarang tak tahu benda-benda ini.


22. Sebab itu sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di masa akan datang. Sejarah kedudukannya tidak statik kerana setiap apa yang telah berlalu adalah sejarah. Tapi orang Melayu tak ambil tahu maka masa depannya bakal kecamuk bila Sejarah ini kurang diperdulikan. (Saya highlightkan frasa ini kerana terlalu tersirat mankanya!)


23. Kalau hendak tahu, Melayu ini mempunyai terlalu banyak dialek. Di Indonesia sahaja ada 900 dialek yang menjadikan negara paling banyak dialek diikuti orang India yang ada 800 dialek. Tapi lihat orang Cina, semasa Dr Suen Yat Sen memerintah dengan idealogi Komunis dia telah menyeragamkan bahasa orang Cina.


24. Dulu orang Cina ada banyak dialek. Masa dia (Dr Suen Yat Sen) perintah dia pilih 1 dialek sahaja sebagai bahasa rasmi orang Cina. Dia pilih bahasa orang Manchu sebagai dialek utama mereka. Mula-mula memang orang Cina marah sebab orang Manchu adalah musuh mereka. Tapi lama-lama orang Cina terima juga sebab mereka berfikiran terbuka.


25. Lihat Singapura, di sana hanya ada 1 dialek Cina yang digunakan. Mereka hanya guna Mandarin sahaja! Tiada dialek lain.


26. Orang Cina sangat liberal. Mereka makan semua jenis makanan kecuali kayu meja dan kerusi.


27. Sangat terbuka! Kalau dibenarkan, mereka juga akan masuk ke Surau juga. (??) Sebab mereka terbuka dan mudah sesuai dengan sesuatu tempat. Cuma tidak dibenarkan sahaja.


28. Saya harap orang Melayu lebih perihatin terhadap sejarah mereka bermula dari 1900 hingga sekarang sebab sudah sangat ramai orang bukan Melayu yang masuk ke sini. Sehingga nisbah bukan Melayu lebih ramai dari orang Melayu sekarang. Jika diikutkan, seawal 1960-an dulu lagi undi orang bukan Melayu telah lebih banyak dari orang Melayu.


29. Ini akan menjadi punca nasionalisme orang Melayu dalam zaman moden ini! (Point ini memperlihatkan betapa PKKK sangat teliti memerhatikan gerak orang Melayu sehingga sebegitu telitinya dia! Kita perlu tahu ini!)


30. Jangan tersekat dikongkong dengan hanya 1 epik sahaja. Bukan tak boleh menulis, tapi jangan lupakan sejarah sebab ia hakikat. Orang Melayu perlu banyakkan penulisan dan bacaan tentang sejarah.


31. Kalau nak dibincangkan tentang Islam pula, kena ingat pasal Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua (WWI & WWII). Sebab itu adalah tonggak naik turun Islam.


32. Sejarah Islam banyak diperbahaskan dalam akhbar Inggeris termasuk isu-isu tentang orang Melayu. Tapi kita tak tahu! Ini masalah kita, kita sendiri sudah lupakan sejarah kita tapi orang lain pula yang bersemangat mengenai sejarah kita. (Satu titik kukuh menyatakan bahawa sebenarnya banyak bangsa yang 'berminat' dengan orang Melayu!)


33. Saya akan terbitkan satu buku bertajuk "Islamic & Malay Society" (Nama penuh buku tersebut saya lupa catat) yang akan mengupas isu Islam dan orang Melayu. Kita perlu lebih terbuka dan liberal. Jangan terkongkong.


34. Sejak 1895, sudah ada 9 kerajaan berdaulat atau Kingdom monarki yang mana ia diakui oleh British sendiri.


35. Bila Inggeris datang, mereka mengakui sudah ada Islamik Monarki disini. Sebab itu Inggeris tak berapa kacau (ganggu) monarki ini dan ia kekal hingga sekarang. Beza dari tempat lain yang monarki mereka sudah jatuh dan hanya tinggal 1 sahaja.


36. Pada 1926, di Singapura pula lah tempat tertubuhnya pertubuhan Melayu pertama yang diberi nama Kesatuan Melayu Singapura. 1909 pula Malaya Football Asociation telah ditubuhkan di Singapura oleh British. Ini tanda bangsa kita diterima orang luar.


(Kemudian moderator memotong jalan memberitahu masa sudah cukup 20 minit)


37. PKK menyatakan bahawa kita boleh membaca epik tetapi jangan lupakan Sejarah. Orang Melayu perlu peka sejarah mutahkir mereka. Kemudian PKK menutup dengan ucapan perbahasannya Terima Kasih.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Di hujung forum pula, moderator telah memberi 3 minit kepada setiap panelis untuk memberikan kata-kata terakhir sebagai penutup mereka. Dan penutup dari Prof Khoo Kay Kim adalah seperti berikut:


1. Oleh kerana sejarah Melayu selepas zaman Melaka itu disisihkan, maka ramai orang tidak tahu bagaimana 9 Raja di Malaysia masih wujud.


2. "They were they are, they most remains their are."


3. Pada Durba di Sri Menanti, timbul satu slogan selepas British mengiktiraf Melayu, "Malaya for Malays".


4. Pada Akta Tanah, British telah mewujudkan istilah "Malaya for Malays and always must be Muslim".


5. Sejarah sentiasa memerlukan "emperical evidence." (Ini menurut disiplin ilmu pada pandangan PKKK bahawa sejarah sentiasa memerlukan bukti yang boleh diuji, sama ada secara santifik atau cara-cara lain. Bererti dalam masa yang sama kenyataan ini menolak tulisan dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah!)


6. Kita boleh kaji sejarah tapi jangan campurkan unsur fable dalam Sejarah. (Fable bererti unsur-unsur mitos, epik dan hikayat. Bererti, PKKK masih tetap menafikan kewujudan Hang Tuah dan hanya menerimanya sebagai wujud dalam sastera Melayu dan Hikayat Hang Tuah sahaja?)


*Semua isi perbahasan ini saya salin sendiri dan telah diberi sedikit penambah baikan, namun 2 point pertama langsung tidak diubah dan saya salin bulat-bulat dari kata-kata PKKK!

Saya akui memang PKKK benar-benar berjaya 'meletupkan' suasa forum tersebut sedari awal dia berbahas di atas pentasnya. Cukup dengan 2 point pertamanya ramai yang sudah mula tidak selesa duduk. Kemudian setelah PKKK memasukkan unsur 'kealpaan orang Melayu terhadap sejarah mutakhir mereka' mungkin ramai mula beranggapan bahawa PKKK sebenarnya seorang yang sangat prihatin terhadap orang Melayu. Sekaligus menafikan kenyataannya tentang Hang Tuah yang boleh dilihat seakan-akan berbaur 'anti-sejarah orang Melayu'. Saya sendiri mengakui hampir-hampir tersangka bahawa PKKK benar-benar prihatin terhadap orang Melayu hinggalah rakan saya mengingatkan saya bahawa sebenarnya PKKK sedang 'twist' isu.

Kesimpulan dari perbahasan PKKK yang boleh kita ambil adalah;



1. Saya (PKKK) tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud.


2. Saya cuma kata saya belum jumpa bukti kewujudan Hang Tuah yang kukuh.


3. Boleh baca epik, tapi jangan lupakan sejarah. Orang Melayu perlu banyakkan bacaan Sejarahnya.


Ya, saya setuju dengan kesimpulan yang ketiga. Memang benar kata PKKK, orang Melayu sekarang terutama anak muda ramai yang lupa dan alpa dengan sejarah. Bahkan, boleh dikatakan subjek sejarah di sekolah-sekolah adalah satu masa yang sesuai untuk tidur! Ini juga hakikat bangsa kita! PKKK sebagai seorang Pakar Sejarah pada bidangnya benar-benar mahir memerhati sesebuah bangsa sehinggakan mampu mengambil kesempatan terhadapnya.


Cuma apa yang saya kurang setuju adalah PKKK langsung tidak menyatakan pendirian kukuhnya terhadap kewujudan peribadi dan rohani Hang Tuah itu sendiri! Hanya satu kenyataan umum tentang Hang Tuah. Boleh sahaja jika dikatakan "Saya tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud" itu merujuk tentang kewujudan Hang Tuah di dalam buku-buku dan hikayat-hikayat sejarah & sastera sahaja, bukan merujuk kepada kewujudan hakiki peribadi dan rohani Hang Tuah. Sama sahaja maknanya, peribadinya tetap tidak wujud baginya hanya yang wujud di dalam buku Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Seperkara yang saya lihat hasil perbahasan PKKK, saya terhidu ada satu trigger yang baik untuk menyatukan bangsa Melayu dari kenyataan PKKK tersebut. Dan dalam masa yang sama kita sudah dapat membaca yang PKKK punya agenda tersendiri sama ada secara dirancang, tak sengaja atau diperalatkan. Tapi semua ini hanya tanggapan saya sahaja. Saya nyatakan sekali lagi, hanya semata-mata tanggapan saya!


Namun, saya tetap berterima kasih kepada PKKK kerana berani menyatakan tentang wujud atau tidak Hang Tuah ini. Kerana saya kira di Malaysia ini boleh lah dikatakan beliau adalah pakar sejarah terawal yang mempertikaikan kewujudan Hang Tuah sebagai seorang Wira Melayu. Jadi, dengan adanya kenyataannya tersebut telah membuka banyak mata orang awam termasuk sejarawan sendiri untuk melihat semula sejarah Melayu dan membawa kepada banyak siri Forum dan Seminar di merata tempat. Jadi, tidaklah sejarah kita tergeletak statik hanya berlegar dalam kalangan orang Sejarawan. Sekurang-kurangnya makin ramai yang mula peka dengan sejarah ini, kerana dengan sejarahlah sesuatu bangsa dapat di jatuhkan dan dijajah! Secara tak langsung akan mengangkat semula Sejarah kita, cuma langkahnya tidak boleh silap. Jika silap, maka terusirlah Melayu dari tanah airnya!


Sebelum mengakhiri artikel ini, saya menyeru kepada semua orang Melayu terutama yang beragama Islam dan anak muda agar lebih peka dengan sejarah kita sendiri serta jangan alpa terhadap semua isu-isu semasa agar kita tidak menangis di masa akan datang. InsyaALLAH, saya akan tuliskan juga khulasah dari perbahasan para panelis yang lain dalam artikel akan datang dengan tajuk Forum Sastera: Hang Tuah Wira Bangsa. Nantikannya disini...


WAllahuA'lam. Semoga bertemu lagi.



*Semua gambar diatas dikreditkan kepada Tuan Merah Silu dan blogger Dewan Bahasa. Terima kasih kepada semua sahabat yang memberi komentar di facebook saya tentang respons Prof Khoo Kay Kim seperti di atas.

Sekian dahulu,
'bradokapak'
Rabu 7 Mac 2012, 8:28 malam,
Wassalam.

4 comments:

  1. "bahawa sebenarnya banyak bangsa yang berminat dengan orang Melayu"....mendalam betul maknanya sehinggakan rasa seram sejuk...

    ReplyDelete
  2. pihak manakah yg mampu bangkitkan kembali melayu dipersada dunia...

    ReplyDelete
  3. Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan Melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

    Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Winstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih di atas perkongsian maklumat ini.

    Saya sebenarnya sudah membuat pautan tulisan ini ke blog tuan tanpa izin tuan. Maafkan saya.

    ReplyDelete