Rindu Zaman Kekhilafahan - Episod 1


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, para Sahabat, para Ahli Bait Rasulullah, para Tabi', Tabi' Tabi'en dan seluruh pewaris Baginda yang HAQ. Salam Sejahtera buat para pembaca sekalian...


Bertemu lagi kita di alam maya ini di sebuah teratak maya yang indah ini. Kali ini saya akan melancarkan satu lagi koleksi artikel bersiri yang diberi nama 'Rindu Zaman Kekhilafahan' yang telah ditulis oleh Cikgu Azhar Ali (salah seorang guru kami, merupakan guru disebuah sekolah menengah tinggi di Terengganu, pernah mengambil Syahadatain dgn Tn Guru Hj Ahmad Junaidin dan membawa Tarekat Syatariah) pada tahun lepas. Koleksi artikel ini menceritakan secara ringkas sejarah hidup para Khulafa' Rasyidin dan kegemilangan mereka yang telah mendapat bimbingan terus daripada Nabi SAW.


Sudah pasti kita merindukan zaman kegemilangan seperti zaman Khulafa' Rasyidin dahulu. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya, "Sebaik-baik umatku adalah yang hidup pada kurun Sahabatku, kemudian setelah kurun mereka (Tabiin), kemudian setelah kurun mereka (tabi' tabi'en)." [1] Untuk itu, sama-samalah kita hayati sebuah bingkisan kisah kerinduan terhadap kegemilangan para Khalifah Rasyidin yang telah ditulis oleh Cg Azhar Ali ini.

Semoga dengan adanya artikel ini dapat mengembalikan memori kita kepada kisah para Sahabat Nabi yang terhebat ini. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya. Amiin...


Selamat Membaca!



[1] (Shahih Muslim No.4599 Kitab Keutamaan Sahabat)


Sekian.
-bradokapak, Editor.
7.52 malam, Selasa 11 Mei 2011.

------------------------------------------------------------



Saidina Abu Bakar As-Siddiq RadiAllahu Anhu

Nama Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA adalah tidak asing lagi bagi sekelian ummat Islam, baik dahulu mahupun sekarang. Dialah manusia yang dianggap paling teragung dalam sejarah Islam sesudah Rasulullah SAW. Kemuliaan akhlaknya, kemurahan hatinya dalam mengorbankan harta benda dan kekayaannya, kebijaksanaannya dalam menyelesaikan masalah ummat, ketenangannya dalam menghadapi kesukaran, kerendahan hatinya ketika berkuasa serta tuturbahasanya yang lembut lagi menarik adalah sukar dicari bandingannya baik dahulu mahupun sekarang. Dialah tokoh sahabat terbilang yang paling akrab dan paling disayangi oleh Rasulullah SAW.

Perkataan Abu Bakar ialah ganti nama, kunyah (patronymic). Namanya yang sebenar ialah Abdullah (atau Atiq) dan bapanya bernama Uthman (disebut juga Abu Quhafah) berasal daripada suku Taim (suku dalam Bani Quraisy). Ibunya bernama Salma Binti Sakhr (Lebih di kenali sebagai Ummu Al-Khayr) juga daripada suku Taim. Pada zaman Jahiliyyah nama beliau ialah Abd Al-Ka'bah (penyembah Ka'abah) tetapi pada zaman islam namanya di tukar kepada Abdullah (Penyembah Allah) oleh Rasulullah SAW sendiri.

Abu Bakar As-Siddiq ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634 Masihi. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arb Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Quhaafah.

(Masjid Saidina Abu Bakar di Madinah)


Kehidupan Awal

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat yang paling rapat dengan Baginda Rasulullah SAW. Semasa Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah SAW tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah SAW mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Beliau pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam.

(Masjid Quba', iaitu Masjid yang dibina ketika Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar tiba di Kota Madinah setelah berhijrah daripada Kota Makkah)


Menjadi Khalifah Pertama

Semasa Rasulullah SAW sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam. Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah SAW. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.

(Gua Tsur, di gua inilah Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar bersembunyi ketika ekspedisi Hijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Pengorbanan Saidina Abu Bakar tidak berbelah bahagi, tiada tandingannya)


Peperangan Islam Riddah

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW dan memandangkan Rasulullah SAW telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas. Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul.

Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah Al-Kazzab. Khalid Al-Walid, seorang Panglima Perang Islam yang masyhur berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.


Ekspedisi ke Utara

Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Syaidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.


Pengumpulan Al Quran

Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz Al-Qur'an terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat Al-Qur'an. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan Al-Qur'an semasa beliau menjadi khalifah.


Kewafatan Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Saidina Abu Bakar wafat pada 2 Ogos 634 Masihi di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar menggesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru. Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad SAW di Masjid An-Nabawi yang terletak di Madinah.

(Pintu Makam yang menempatkan Makam Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan satu Makam kosong khusus untuk Nabi Allah Isa Alaihis Salam nanti)


Sumbangan Saidina Abu Bakar

Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634M), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat Al-Qur'an dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam


WAllahuA'lam.



Nantikan episod seterusnya, yang akan menceritakan kisah kehidupan Khalifah ke-2 iaitu Saidina Umar Al-Faruuq.

Sekalung penghargaan buat:
1) Cikgu Azhar Ali yang telah berjasa menulis artikel ini.
2) 4Caliph kerana memberi input untuk artikel ini.
3) Blog Soutul Mujahid yang menyumbangkan gambar khilafah.
4) Google yang telah menyumbangkan gambar diatas.


Artikel ini milik Cikgu Azhar sepenuhnya, kami hanya tukang siar dan tukang edit sahaja.
Sekian.
Wassalam.

2 comments:

  1. Semoga hayatku dapat menyaksikan pemerintahan khilafah Islamiyyah...

    ReplyDelete
  2. Yang ada tinggal lagi satu bukan khalifah Islamiyyah,tetapi khalifah al Mahdiyin.

    Yang ada di arab sekarang pun dah mengelarkan diri mereka khalifah Islam.

    ReplyDelete