Assalamu'alaikum wbt.
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, seluruh ahli keluarganya dan para sahabatnya. Semoga kita beroleh manfaat daripada warisan mereka semua, Amiin...
Berbicara soal dunia globalisasi era kejatuhan 'Wall Street' sudah pasti membawa kita kepada pelbagai rencam kehidupan. Sesuatu yang memeningkan kepala dan menyesakkan minda sering kali datang kepada kita setiap kali berbicara perihal dunia akhir zaman.
Tidak dinafikan lagi - dengan banyak tanda yang sudah jelas - bahawa kita sememangnya hidup dalam suatu zaman, yakni zaman pra-kiamat, atau bahasa mudahnya dunia akhir zaman. Kebelakangan ini, isu kesederhanaan atau Arabnya disebut wasatiyah banyak diperkatakan di segenap lapisan orang yang beragama.
Kalau dahulu, dunia lantang menyuarakan pendapat atau cara pemerintahan pro-barat atau juga kebaratan, yang sememangnya mendukung idealogi fundamentalis, demokrasi, kapitalis dan pelbagai lagi idea yang sebenarnya hanyalah menyesakkan minda. Namun, dilihat, seakan-akan pemimpin dunia ingin kembali ke arah kesederhanaan yang merupakan salah satu wacana kejayaan dalam Islam.
Namun, pabila kita berbicara soal kesederhanaan sudah pasti tidak dapat tidak kita tidak boleh lari dari berbicara tentang perpecahan atau penyatuan dalam kalangan ummat. Slogan 'Ummatan Wasata' yang bererti ummat yang bersederhana sering dilaungkan dalam mana-mana seminar kesederhanaan ummat. Kata 'Ummatan' membawa erti satu atau sebuah ummat, yakni dalam erti kata lain pasti merujuk kepada sebuah ummat yang bersatu padu, yang kemudiannya digabungkan dengan perkataan 'Wasata' yakni merujuk kepada kesederhanaan. Lalu terbitlah istilah Ummatan Wasata itu, yakni ummat yang bersatu padu.
Berbicara soal ummat yang bersatu, ia sudah pasti bererti suatu ummat yang satu masa dahulu adalah tidak bersatu, berpecah belah dan mungkin berperang sesama sendiri. Kerana itulah datangnya istilah ummat yang bersatu, kerana sebelumnya pasti tiada kesatuan. Seperti di zaman jahiliyah, kesatuan ummat hanya terpancar dalam kalangan Bani atau Puak masing-masing - kadangkala berpecah juga sesama puak - dan dalam kalangan puak yang berbeza sering kali berlaku pergaduhan, permusuhan, bahkan peperangan! Sehinggalah kedatangan Rasulullah SAW yang membawa satu wacana penyatuan ummat dengan wadah kesederhanaan. Hasilnya, Islam gah diserata alam ini!
Dalam satu ummat atau kesatuan, pasti ada organisasinya, atau mungkin pemimpin dan kepemimpinan. Perkara yang lazim disentuh bila berbicara mengenai organisasi ialah soal pemimpin dan kepemimpinan. Pemimpin itu penting. Apabila dipilih memimpin, seseorang ketua itu seharusnya berpandangan jauh, berfikiran mendalam dan beraspirasi tinggi untuk memacu organisasi yang dipimpinnya agar mencapai objektif-objektif yang disasarkan.
Sesebuah organisasi atau kesatuan biasanya bermula daripada satu keperluan, kehendak dan kepentingan bersama oleh sesuatu kumpulan. Akan ada seseorang daripada kumpulan itu yang dipilih menjadi ketua. Lazimnya kumpulan yang mula terbentuk itu mempunyai jumlah ahli yang kecil. Oleh kerana saiznya yang kecil itu, komunikasi di antara ketua dan ahli-ahlinya dapat dilakukan secara informal, telus dan berterusan.
Komunikasi dan interaksi yang kerap menjadikan sesebuah kumpulan itu dinamis. Dalam proses pembentukan kematangannya, kumpulan yang baru mudah sekali beranjak paradigma pendekatan dan tindakannya. Pemimpin kumpulan kecil sentiasa mendapat maklum balas dan mudah pula mentafsir dan melaksanakan apa yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.
Bagaimana pun, kumpulan yang kecil dan berjaya akan menarik lebih ramai ahli. Lama kelamaan, ia akan menjelma sebagai sebuah organisasi atau sebuah kesatuan yang lebih besar. Apabila ia berdiri sebagai sebuah organisasi, strukturnya tidak lagi rata. Malah, ia mula mempunyai hierarki kepemimpinan. Keadaan ini menjadikan hubungan pemimpin dan pengikutnya menjadi semakin longgar.
Suara dari bawah kian sukar dilontar ke atas. Dan yang di atas semakin payah menangkap suara-suara yang dilontar tadi. Dalam keadaan ini, para pengikut akan berasa suara mereka mula tidak didengari. Akhirnya mereka berhenti bersuara lagi. Apa yang ada hanyalah harapan bahawa pemimpinnya dapat mengendalikan organisasi dengan baik. Inilah antara penyebab berlakunya banyak penyelewengan dalam kalangan pemimpin atasan, tanpa memedulikan orang yang dipimpin.
Oleh kerana kurang interaksi, pemimpin pula berasa sunyi kerana terasa bertindak berseorangan. Mana mungkin setiap tindakannya berpijak di bumi yang nyata sekiranya dia berada lebih hampir di puncak awan? Kerana itu juga banyak sekali organisasi yang besar begini dilihat bertindak melulu atau tersasar dalam perjuangannya.
Daripada luar memanglah kelihatan, semakin besar sesebuah organisasi itu, semakin kukuh, gagah dan gah teguhnya ia berdiri. Padahal, organisasi yang sudah gergasi saiznya itu sebenarnya lompong di dalam kerana terdapat jurang komunikasi yang besar di antara pemimpin dan pengikutnya. Ditambah dengan rasa hormat yang berlebih-lebihan pengikut kepada pemimpin besar sesebuah organisasi. Pengikut membiarkan pemimpin menerajui organisasi tanpa memberi maklum balas samalah seperti membiarkan pemimpinnya berbuat apa yang dia suka. Inilah antara penyebab jatuhnya empayar-empayar Islam yang satu masa dahulu gemilang di dunia, bahkan Empayar Melayu Melaka juga jatuh ke tangan Portugis kerana sebab yang hampir sama!
Pada waktu yang lain, pemimpin yang mempunyai pengikut yang taat, boleh lupa daratan. Tindak-tanduknya tidak lagi menepati aspirasi dan harapan pengikutnya. Di sekeliling kita, terdapat pelbagai organisasi yang besar sekarang ini, tetapi mempunyai pemimpin yang bertindak mengikut seleranya. Sama ada secara sengaja atau sebaliknya, sedar atau tidak, pemimpin-pemimpin ini berjaya memutar fikiran para pengikutnya hinggakan mereka diam menyepi dan setia membuta-tuli kepada pemimpin mereka.
Pengikut tentulah lebih ramai daripada pemimpin. Mereka mempunyai kuasa menggantikan pemimpin yang pada asalnya mereka pilih dari kalangan mereka. Malangnya, bila terdapat pengikut yang berani bersuara, tindakannya dianggap menderhaka. Ada pengikut yang kecut perut dan terus menutup mulut. Ada juga pengikut yang tidak tahan lagi, lantas meninggalkan organisasi untuk mewujudkan sebuah kumpulan baru dengan harapan ia menjelma menjadi sebuah organisasi yang lebih hebat dari organisasi yang ditinggalkannya. Formula inilah yang sering diulang pakai atau diputar-putar dalam dunia politik di Malaysia, bahkan jua di luar negara. Kadang kala ada yang menggelarkannya sebagai 'real-politik'.
Malangnya, tindakannya itu - keluar dari organisasi kemudian mencipta sebuah organisasi yang baru - jika dilihat dari mata burung sebenarnya menghakis organisasi yang asal kepada yang lebih kecil. Apabila kitaran yang sama berlaku terhadap organisasi yang muncul kemudian ini, maka ia juga berpecah menjadi kecil, dan lebih kecil. Organisasi berpecah menjadi kumpulan, dan kumpulan menjadi serpihan. Ummat terpecah menjadi bangsa, bangsa terhakis menjadi kaum, dan kaum terserpih menjadi suku, suku terpecah menjadi lebih kecil lagi terbahagi mengikut kasta keturunan masing-masing dalam suku masing-masing.
Ummat yang dahulunya hebat, akhirnya mereput, tumbang dan tenggelam ke dalam perut bumi.
"Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti orang-orang yang mengerumuni sesuatu hidangan." Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu itu jumlah kita (yakni ummat Islam) yang sedikit?" Nabi SAW menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai. Bahkan jumlah kamu banyak seakan-akan buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuh kalian dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hati-hati kalian." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda Nabi SAW, "Cintakan dunia dan takutkan mati..." Mafhum Hadis Baginda Rasulullah SAW yang telah ma'ruf dalam kalangan ahli agama, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.
Sebagai kesimpulan, untuk menyatukan semula ummat yang telah terpecah belah sekian lama ini, sangatlah sukar. Hendak melakukannya memerlukan langkah-langkah yang berterusan dan berturutan, bahkan mungkin memakan masa yang sangat lama. Dan dalam ketidak sedaran kita, sebenarnya walaupun dunia sekarang sedang menuju ke arah kehancuran, ibarat kata pakar ekonomi Barat "kejatuhan Wall Street", kita ummat Islam sebenarnya sedang berada dalam langkah atau fasa ke arah sebuah penyatuan yang besar.
Penyatuan seperti yang pernah dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW, penyatuan yang berjaya mengangkat Islam sebagai kuasa terbesar di dunia. Kalau dahulu, Amerika Syarikat dan sekutunya dilihat sebagai sebuah kuasa besar dunia, bahkan kausa nombor satu dunia, namun setelah berlakunya 'perang idealogi' antara blok Timur Tengah dan sekutu Amerika Syarikat, dilihat seakan-akan dunia sudah tidak lagi takutkan Amerika Syarikat. Bahkan, mungkin nanti Amerika akan di'ayam-ayam'kan oleh negara Timur Tengah yang mempunyai kuasa Nuklear.
Jadi, fasa awal ke arah kesatuan yakni 'Ummatan Wasata' yang sebenar itu sudah pun bermula. Dari penyatuan sesebuah keluarga, kepada penyatuan sesebuah jemaah solat dalam satu kariah, kemudian ke arah penyatuan dalam satu daerah, diikuti penyatuan dalam konteks lebih besar yakni dalam negeri dan negara. Dan kesatuan ini, pasti satu masa nanti, akan ada yang memimpinnya dan membawa negara-negara yang orang di dalamnya telah bersatu itu untuk bersatu bersama-sama diperingkat antarabangsa bagi mengangkat kembali syiar Islam di bumi ini seperti yang pernah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dahulu. Hanya sanya ketua yang akan mengangkat semua negara-negara yang telah bersatu itu sahaja yang belum menampakkan dirinya ke khalayak umum.
Seperti di Timur Tengah yang sedang bergolak atau yang sudah bergolak, kita dapat lihat kesatuan dalam negara mereka berjaya diperoleh melalui perarakan, tindakan ganas antara pemimpin dan pengikut bahkan ada yang melalui fasa peperangan. Jadi, tidak mustahil jika perkara ini berlaku dalam negara kita tatkala kita sedang menuju ke arah penyatuan ummat Islam dalam negara kita. Untuk itu, persiapkanlah diri kita semua ke arah penyatuan ummat yang lebih besar selepas ini, demi menamatkan kisah sedih ummat akhir zaman ini! ALLAH Hu Akbar!
Sekian dahulu, WAllahuA'lam.
*Rencana ini dikarang sendiri oleh penulis dengan sedikit artikel tambahan dipetik dari tulisan kolumnis Norden Mohamed, akhbar Sinar Harian bertarikh 22 Februari 2012. Kredit diberi kepada Sdr Norden Mohamed. Gambar di atas dikreditkan sepenuhnya kepada Google.
Catatan 'bradokapak'
12:03 AM, 24 Februari 2012.
ameen.
ReplyDeleteinsyaallah.......allahuakbar.aameen
ReplyDeletetakbiiirr!!!
ReplyDelete