Salam Ramadhan Al-Mubarak 1431H

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa." [QS Surah Al Baqarah, ayat 183]

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui Sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…"

Ramadhan datang lagi, bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah KurniaNya dapat kita bertemu lagi dengan Ramadhan yang Mulia pada tahun ini. Bulan yang penuh berkat yang dijanjikan di dalamnya Rahmat, Maghfirah dan Pembebasan dari api neraka oleh ALLAH SWT.

Sempena Ramadhan Al-Mubarak kali ini, saya menyeru kepada seluruh ummat Islam, tidak kira apa jua pangkat dan darjat, jadikanlah Ramadhan kali ini seperti Ramadhan terakhir kamu semua. Perbanyakkanlah amalan kamu dalam Ramadhan kali ini. Khatamkan Al-Qur’an sebanyak yang kita mampu. Banyakkan ZikruLlah dan Selawat ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW dalam setiap langkah mu. Raihlah Lailatul Qadr, malam yang lebih baik daripada 1000 malam. Ringankan mulut kita dengan senyuman, ringakan pula tangan kita untuk menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Hindarkan diri kita dari mengumpat dan mengkeji. Banyakkan bersedekah, terutamanya bersedekah kepada orang yang hendak berbuka puasa.

Kata ibuku, “kalau kamu beri orang makan berbuka puasa, ganjarannya sama seperti pahala puasa orang itu.”

Atas maksud ini, marilah sama-sama kita mengulang kaji serba sedikit ilmu dalam menghadapi Ramadhan Al-Mubarak ini. Sama-samalah kita hayati dan ambil isinya untuk kita amalkan. InsyaAllah…

KELEBIHAN SURAH AL-FATH



Al-Imam Al-'Allaamah Asy-Sayyid Asy-Syarif Al-Muhaddits Muhammad bin 'Ali Khird Al-'Alawi Al-Husaini At-Tarimi RahimahumUllah dalam karya beliau "Al-Wasaailusy Syaafi`ah". Di halaman 474 dinyatakan:-



Daripada Sayyidina Ibnu 'Umar RadiaAllahu `Anhuma yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Telah diturunkan kepadaku semalam akan satu surah yang ianya lebih kukasihi dari segala apa yang terbit matahari atasnya (yakni dunia dan segala isinya), dan disukai agar ianya dibaca pada awal malam bulan Ramadhan, maka kamu bacakanlah ia dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu, insya-Allah mereka tidak akan menjadi papa."


Syaikh 'Abdul Rauf Bin 'Ali Al-Fanshuri Al-Jawi RahimahUllah dalam terjemahannya bagi Tafsir Al-Baidhawi menulis sebagai berikut:


Ini surah Al-Fath turunnya di Madinah iaitu 29 ayat, maka tersebut di dalam Baidhawi hadits: "Barangsiapa mengaji Surah Al-Fath, maka adalah ia seperti keadaan orang yang hadir serta Rasulullah tatkala mengalahkan Mekah."



Almarhum Syaikh Husin Kudri Martapura RahimahUllah pula dalam karya himpunan doa-doanya "Senjata Mukmin" pada halaman 92 menulis:



Surah al-Fath: (Khasiatnya) barangsiapa membaca akan dia 3 kali pada malam permulaan timbul bulan Ramadhan, insya-Allah terpelihara ia di dalam setahunan itu daripada marabahaya dan diluaskan rezekinya.


PENGERTIAN PUASA

Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.


PUASA WAJIB

Puasa bulan Ramadan, puasa kifarat dan puasa nazar.


PUASA SUNAT

1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
2. Puasa hari Arafah
3. Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam
4. Puasa bulan Syaaban
5. Puasa Isnin dan Khamis
6. Puasa tengah bulan iaitu 13,14,15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah)


PUASA MAKRUH

1. Puasa yang terus menerus sepanjang masa
2. Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq


PUASA HARAM

1. Puasa pada hari raya pertama Idil Fitri
2. Puasa pada hari raya pertama Haji
3. Puasa tiga hari sesudah hari raya haji atau hari tasyriq iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.


SYARAT WAJIB PUASA


1. Berakal
2. Akhir Baligh (Cukup umur)
3. Kuat atau mampu mengerjakan puasa
4. Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan Ramadhan dengan menggenapkan Sya'ban sebanyak 30 hari



SYARAT SAH PUASA

1. Islam
2. Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
3. Suci daripada haid dan nifas
4. Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa. Tidak sah puasa pada hari yang diharamkan syariat.
5. Sempurna akalnya ( tidak gila, sawan ) sepanjang hari sehingga menjelang waktu berbuka.


RUKUN PUASA

1. Berniat - Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
2. Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.


PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA


1. Murtad
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan ( bukan sahaja membatalkan puasa, malah dikenakan kifarah ke atas lelaki, berpuasa selama 60 hari berturut-turut)
4. Keluar darah haid atau nifas
5. Gila
6. Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan
7. Memasukkan sesuatu di dalam rongga yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja

Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.



AMALAN SUNAT BERKAITAN PUASA DI BULAN RAMADHAN

1. Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka
2. Makan sahur walaupun sedikit
3. Melambatkan sahur
4. Berbuka dengan buah kurma atau makanan yang manis
5. Memperbanyakkan bacaan Al Quran
6. Memperbanyakkan bersedeqah
7. Beri'tiqaf di siang hari
8. Menghadiri majlis ilmu
9. Menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa
10. Jangan bersugi setelah gelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari


ORANG YANG DIIZINKAN BERBUKA ATAU TIDAK BERPUASA

1. Orang yang sakit (wajib di qadha')
2. Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 2 marhalah atau 91km ( wajib qadha')
3. Orang tua yang sudah lemah. Wajib qadha' jika terdaya.
4. Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak jika takut mudharat ke atas bayi kandungannya. Wajib qadha'.

Bacaan Niat Puasa:

نويت صوم غد عن أداء فرض شهررمضان هذه السنة لله تعالى

Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala.


Jikalau hati adalah sultan,

Maka akal adalah menterinya;

Jikalau nafsu adalah syaitan,

Maka puasa adalah pengikatnya.

Raihlah Ramadhan kali ini dengan penuh makna. Sambutlah kedatangannya dengan gembira. SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1431H daripada kami, warga kerja di BK.blogspot kepada anda semua para pembaca. Semoga Ramadhan kali ini diraih dengan lebih baik berbanding Ramadhan yang telah lalu. Berdoalan kita agar kita tergolong dalan orang yang mendapat Lailatul Qadar, iaitu malam yang sangat mustajab untuk berdoa, malam yang lebih baik daripada 1000 malam. Puasa jangan tak puasa!! :)



*Sempena Bulan Ramadhan ini, kami di BK.blogspot akan memaparkan sebuah lagi koleksi artikel terbaru karangan Atok Zamany buat tatapan para pembaca. Nantikan kedatangannya. InsyaAllah...

3 comments:

  1. terima kasih bradokapak kerana sudi bagi info dekat2 nk pose ni..same2 la kite pose dan bykkan amalan sunat.tapi jgn mase pose je baik.lepas pose terus tinggal amalan2 sunat ni.istiqamah la dalam beramal.
    ALLAH lagi suke amalan yg berterusan walaupon sedikit daripada amalan yg byk tapi tidak berterusan.

    ReplyDelete
  2. salam,

    selamat berpuasa buat warga BK,
    rebutlah hadiah dan bonus hebat itu :)

    wassalam

    ReplyDelete
  3. jazakallahu khair tuan brado atas perkongsian , teruskan perjuangan kuatkan persatuan kita insyaallah . Selamat menunaikan ibadah di bulan mulia yg penuh berkat , Ramadhan Al mubarak

    ReplyDelete