Memburu Lailatul Qadr


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala Puji-pujian Hanya Untuk Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, sekalian para Sahabat, sekalian para Ahlul Bait Baginda dan seluruh Ulama’ Warasatul Anbiya Alaihimus Solatu Wassalam. Al-Fatihah…

Sedar tidak sedar, kita sudah berada di Fasa ke-3 Ramadhan bagi tahun 1431H, iaitu Fasa Pembebasan Dari Api Neraka. Seperti biasa, pada 10 malam yang terakhir ini jugalah, kebiasaannya ramai dikalangan manusia memenuhi malamnya dengan Amal Ibadah dan Qiyamullail. Sungguh! Teramat rugilah mereka yang tidak menghidupkan malam mereka pada 10 malam yang terakhir ini, bahkan tersangatlah rugi apatah lagi jika tidak bersolat Isya’ berjemaah.


Lailatul Qadr


Lailatul Qadar atau juga disebut sebagai Malam Tujuh Likur bagi istilah orang-orang dahulu kebiasaannya akan diburu pada 10 malam terakhir ini, bertepatan dengan Sabda Baginda Rasulullah SAW seperti berikut:

Daripada Sayyidatina 'Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان

"Carilah lailatul qadr pada 10 terakhir dari bulan Ramadhan"

Hadits Riwayat Asy-Syaikhan, Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim.


Daripada Sayyidina Ibnu 'Umar R.Anhuma di mana Baginda Rasulullah SAW telah bersabda:

من كان متحريها فاليتحرها ليلة السابع و العشرين

"Sesiapa yang hendak mencarinya,
maka carilah ia pada malam ke-27"

Hadis Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang shohih.


Berdasarkan hadis-hadis diatas, maka adalah pada 10 malam terakhir Ramadhan hendaklah dipenuhi dengan segala amalan-amalan baik dan dihidupkan dengan Qiyamullail. Lailatul Qadr adalah malam lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa beramal yang baik dimalamnya, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lampau, bertepatan dengan Hadis Nabi SAW seperti berikut:

Daripada Sayyidina Abu Hurairah R.a bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:

من قام ليلة القدر ايمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadr (beribadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."


Hadis riwayat Asy-Syaikhan.



Untuk itu, marilah sama-sama kita memburu malam yang telah dijanjikan oleh Allah SWT ini yang penuh dengan keampunan dan kemakbulan doa kerana pada malam itu juga berjuta-juta Malaikat bahkan berbillion-billion Malaikat turun ke Bumi untuk mengunjungi tiap-tiap Rumah Allah dan tiap-tiap rumah orang Mu’min bagi mengAminkan doa setiap Muslim yang menghidupkan malam-malam mereka itu. Amat beruntung mereka-mereka yang menghidupkan 10 malam terakhir mereka, mana lah tahu dapat Lailatul Qadr, Syukur ke Hadrat Illahi. Alhamdulillah…



Rumus Lailatul Qadr


Bagi memburu malam Lailatul Qadr ini pula, sudi kiranya saya paparkan beberapa pendapat para Ulama’ terdahulu tentangnya. Terdapat beberapa rumus seperti berikut:

Al-'Allaamah asy-Syaikh Abu 'Abdillah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin 'Abdul Qadir bin 'Abdul 'Aziz al-Azhari rahimahumUllah yang terkenal dengan gelaran Al-Amir al Kabir dalam satu risalahnya ada mentafsirkan Surah Al-Qadr seperti berikut:


Dan tersebut dalam "Tafsir al-Khatib" (iaitu tafsir "As-Sirajul Munir" karangan Syaikh Khatib Asy-Syarbini rahimahUllah) daripada Syaikh Abul Hasan Asy-Syadzili yang menyatakan bahawa jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad, maka Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika awalnya hari Isnin, maka Lailatul Qadr jatuh pada 21 haribulan; jika hari Selasa, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; Jika hari Rabu, Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika hari Khamis, Lailatul Qadr jatuh pada 25 haribulan; jika hari Jumaat, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; dan jika hari Sabtu, Lailatul Qadr jatuh pada 23 haribulan.

Menurut Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathoni pula dalam Kitabnya Mathla’ul Badrain ada menyatakan bahawa sebahagian ulama termasuklah Imam al-Ghazali Rah.A menyatakan bahawa diketahui Lailatul Qadr itu berdasarkan hari pertama Bulan Ramadhan.

  1. Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka ianya malam ke-29;
  2. Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka ianya malam ke-21;
  3. Jika awal Ramadhan hari Selasa atau Jumaat, maka ianya malam ke-27;
  4. Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka ianya malam ke-25;
  5. Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka ianya malam ke-23.

Kata Syaikh Abul Hasan Asy-Syadzili pula bahawa dengan menggunakan kaedah ini beliau sentiasa berjumpa dengan malam kemuliaan ini sejak usianya baligh lagi. Tetapi menurut sebahagian ulama, kaedah ini tidaklah mempunyai sandaran nash, tidak seperti ketentuan-ketentuan yang disebutkan terdahulu. Walau bagaimana pun kaedah ini hanya sekadar pendapat dan bukanlah satu ketetapan hukum, oleh itu sesiapa yang mahu boleh ikut sesiapa yang tidak terpulanglah.


Yang penting meningkatkan amal ibadah dengan penuh keimanan dan keikhlashan. Hanya mencari keredhaan Ilahi yang mesti disembah fi kulli waqtin wa hiin (setiap masa dan ketika), tidak hanya di malam lailatul qadr yang mulia. Allahua’lam.



Amalan-amalan yang Warid di malam Lailatul Qadr


Mencari malam penuh keberkatan ini, setidak-tidaknya (yakni yang paling minima) hendaklah kita menjaga Solat Isya` berjemaah, melaksanakan Tarawih (menurut Jumhur Ulama' Tarawih itu 20 rakaat) berjemaah, berWitir secara berjemaah (kerana hanya dalam bulan Ramadhan sahaja disunnatkan Witir berjemaah, sedangkan dalam bulan-bulan lain hanya harus sahaja) dan diakhiri dengan Solat Subuh berjemaah. Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina 'Utsman r.a. bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:


من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل
ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما صلى الليل كله

"Sesiapa yang sholat 'Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyam separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersholat sepanjang malam."


Juga dinyatakan pada halaman 103 - 104 kitab tersebut akan satu faedah daripada al-'Allaamah al-Wanaaie seperti berikut:-


Telah berkata al-Wanaaie: "Telah meriwayatkan Ibnu 'Abbas secara marfu' bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang mengucapkan 'Tiada tuhan selain Allah yang Maha Penyantun lagi Maha Dermawan, Maha Suci Tuhan yang empunya tujuh petala langit dan arsy yang agung,' (3 kali), maka seumpama dia mendapatkan Lailatul Qadr." Iaitu seseorang yang mengucapkan sedemikian itu pada malam yang disangkanya sebagai Lailatul Qadr dan sangkaannya itu meleset. Sungguhpun meleset, segala amalan saleh yang dikerjakannya pada malam tersebut adalah seolah-olah dikerjakan dalam Lailatul Qadr.


Dan telah bersabda Junjungan Nabi SAW: "Seseorang yang membaca Ayatul Kursi pada Lailatul Qadar, lebih disukai Allah ta`ala daripada dia mengkhatamkan keseluruhan al-Quran pada malam-malam selain Lailatul Qadr", ( yakni menunjukkan galakan dan besarnya ganjaran beramal pada malam yang mulia tersebut serta kerugian besar bagi yang meninggalkan beramal dalam malam tersebut).



Dan telah berkata Almarhum Tuan Guru kami, Tuan Guru Ust Hj Ghazali Hasbullah, Pondok Darul Atiq....

Barangsiapa yang tidak mendapat Sya'ban, maka tiada Ramadhan baginya.

Cantiknya Ramadhan itu ada 5 perkara,

(1) Menahan diri dari lapar, dahaga dan nafsu.
(2) Solat berjemaah 5 waktu.
(3) Tarawih seeloknya 20 rakaat (Jumhur Ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jamaah bersepakat bahawa Tarawih adalah 20 rakaat)
(4) Tadarrus Al-Qur'an. Lepas tarawih di surau atau masjid tu, jangan balik dulu, solat Witir dulu, kemudian duduk buat Tadarrus.
(5) Merebut Lailatul Qadar. 10 malam terakhir, tidur di masjid atau di surau-surau. Rebut malam Lailatul Qadar tersebut. Jarang orang dapat merasai nikmat Lailatul Qadar jika dia tidur dirumahnya, apatah lagi jika rumah itu dibeli dengan hasil Riba', Malaikat tak masuk rumah kamu tu nanti!

Alamat orang yang mendapat Lailatul Qadar:

1) Terasa badan menggeletar secara tiba-tiba
2) Terasa badan sejuk menggigil sebentar secara tiba-tiba
3) Angin bertiup ke arah kita secara tiba-tiba


Bacalah Doa berikut ketika anda merasai 3 perkara diatas...

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني


Kemudian baca lah…

Allahumma Aghniyyi Bil’Ilmin, Ya Allah.

Allahumma Aghniyyi Bil’Ilmin, Ya Rahman.

Allahumma Aghniyyi Bil’Ilmin, Ya Rahiim.

Maksudnya: “Ya Allah, Kurniakanlah kepada ku dengan Ilmu, Ya Allah. Ya Allah, Kurniakanlah kepada ku dengan Ilmu, Wahai Yang Maha Pemurah. Ya Allah, Kurniakanlah kepada ku dengan Ilmu, Wahai Yang Maha Penyayang." Kemudian setelah membaca doa tersebut, maka mohonlah apa yang dihajatkan dihati.

InsyaAllah, 7 keturunan jadi ulama'!! 7 keturunan jadi orang alim...

Semoga Allah meRahmati dan memBerkati Tuan Guru Ust Hj Ghazali Hasbullah. Amiin...

Amalan yang dianjurkan oleh Tuan Guru adalah bertepatan dengan Hadis Nabi SAW seperti berikut:

Di mana dinyatakan:


عن عائشة رضي الله عنها قالت: قلت يا رسول الله إن علمت ليلة القدر ما اقول فيها؟
قال: قولي اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

"Daripada Sayyidatina 'Aisyah R.Anha berkata: "Aku berkata kepada Junjungan Nabi SAW: "Ya Rasulallah, jika aku mengetahui lailatul qadr, apa yang aku ucapkan padanya?" Junjungan Nabi bersabda:- "Ucapkanlah : "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku."


Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, Imam An-Nasai, Imam Ibnu Majah dan selainnya dengan sanad yang shohih.




Maka, setelah panjang lebar penerangan tentang Lailatul Qadr ini dihuraikan disini, marilah sama-sama kita menjejaki dan memburu Lailatul Qadr ini dalam malam-malam terakhir Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi. Penuhkanlah setiap malam anda dengan Zikrullah, bacaan Al-Qur’an dan hidupkanlah malam mu dengan Qiyamullail. InsyaAllah. Semoga kita semua tergolong dikalangan yang mendapat Lailatul Qadr, Malam seribu Bulan. Amiin Ya Allah, Amiin Ya Rahman, Amiin Ya Rahiim…


WAllahua’lam.


*PENGUMUMAN: Adalah dengan ini, siaran sambungan Artikel Huraian Ajaran Sesat Bab 2 akan ditunda buat sementara waktu sempena kedatangan 10 Malam Terakhir Ramadhan ini. InsyaAllah, artikel akan disambung selepas Cuti Hari Raya AidilFitri nanti. Doakan kejayaan kami ya!

*Edit: Pada 1 Rajab 1432H, Tuan Guru kami, Al-Allamah As-Syeikh Tuan Guru Ust Ghazali Hasbullah, Darul Atiq telah kembali ke Rahmatullah. Ya ALLAH, berkatilah Tuan Guru kami, tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang ENGKAU kasihi. Jadikanlah segala ilmunya berkah dan bermanfaat buat kami sehinggalah akhir hayat kami. Dengan berkatnya, berilah kami kefahaman yang mendalam dalam agama ini, angkatlah martabat kami, tingkatkanlah ilmu kami dan keluarkanlah kami dari Zulmat kepada Nur.

Al-Fatihah buat Almarhum Tuan Guru Ust Ghazali Hasbullah, Darul Atiq.... Ya ALLAH, ampunilah dosanya, Rahmatilah ia, dan tinggikanlah darjatnya disisiMU. Amiin Ya Rabbal 'Alamiin.



اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني



Catatan Orang Gombak,
1.48 pagi, 24 Ramadhan 1431H bersamaan Jumaat 3 September 2010.

2 comments: