Wacana Ilmu - Fadhilat Zikir



Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji-pujian bagi ALLAH Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, para Ahlul Bait Baginda, para Sahabat dan seluruh Ulama' Warasatul Anbiya' dari awal hingga Akhir. Al-Fatihah...

Ini suatu fasal pada menyatakan Fadhilat ZikruLlah yang dibacakan dari Kitab Siarus Salikiin yang disampaikan dalam kuliah Maghrib oleh Tuan Guru Ust Zahidi di Surau Al-Iman pada hari Ahad yang lalu, 16 Januari 2011.

(Sayyidi Tuan Guru Ust Zahidi (kiri) bersama Ust Wan Muhd Shamshuddin)

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIIM. ALHAMDULILLAH-I LLAZI SATARA ‘ALAYYA ‘UYUBII. Al-Fatihah…


1. Barang siapa yang bertambah umurnya dan bertambah-tambah dosanya, maka itulah tanda-tanda orang yang celaka. Barangsiapa yang bertambah umurnya dan bertambah-tambah pahalanya, maka itulah tanda orang soleh.


2. Banyakkanlah memohon kepada ALLAH SWT, berdoalah… Allahumma Baarik Lii Fil Mauti Wa Ba’dal Mauti…


3. Tidak akan mati seorang ummat itu kecuali ada 2 sifat, iaitu sifat harap dan takut.


4. Walaupun kita ahli dosa, maka bersangka baiklah dengan ALLAH SWT, haraplah… (akan keampunanNYA)


5. Siapa-siapa yang padanya ada zikruLlah, hatinya hidup. Barangsiapa yang padanya tiada zikruLlah, maka hatinya mati.

(Kitab Siarus Salikiin karangan Al-Arif Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani RahimahuLlah)


6. (Fadhilat Zikir No 16) Jaga hati daripada lalai pada ketika datangnya cita-cita kejahatan. (Jagalah hati kamu daripada melakukan maksiat apabila datang cita-cita atau keinginan untuk melakukan maksiat itu dan janganlah lalai terhadap sesuatu).


7. Hati hidup ialah, nampak akan dosanya, nampak dirinya, bila buat dosa dia sedar dan bertaubat.


8. (Fadhilat Zikir No 17) Bahawa orang yang berzikir itu seolah-olah duduk hampir dengan ALLAH SWT, tiada kaifiat (tiada had) (akannya). (Bila ada kaifiat, maka ia menyerupakan Tuhan dengan makhluk). ALLAH SWT berfirman dalam hadis Qudsi, mafhumnya, “AKU duduk hampir dengan orang yang menyebut namaku (tiada had).”


9. 4 sifat hamba adalah, pertama, sentiasa meminta dan berdoa. Kedua, sentiasa bertaubat. Ketiga, sentiasa bersyukur. Keempat, sentiasa mengharap (harap, moga-moga ALLAH SWT terima amal ibadahku).


10. Zikir adalah jalan mengingati ALLAH SWT. Ada 2 jalan dalam berzikir. Pertama, jalan umum. Kedua adalah jalan khusus (Toriqah). Diantara keduanya ada darjat dan hasanah.


11. Berilmu adalah senang, tetapi hendak menjadi orang yang berilmu adalah susah.


12. Beramal pun mudah, tetapi hendak pelihara amal adalah susah. Hendak istiqamah itu susah.


13. Ya ALLAH, aku lemah. Tolonglah akan daku Ya ALLAH. Aku lalai Ya ALLAH, tolonglah aku Ya ALLAH.


14. Sesiapa yang nak dikasihi, mengasihilah dia supaya dia akan dikasihi.


15. Kasih manusia terhad, kasih ALLAH tidak terbatas. Maka, kasihilah ALLAH, maka kamu akan dikasihi.


16. Semakin banyak kita minta sesuatu kepada manusia, semakin menyampah manusia itu terhadap kita. Semakin banyak kita minta kepada ALLAH SWT, semakin ALLAH suka dan sayang akan kita dan semakin ALLAH SWT beri kepada kita (apa yang diminta).


17. Orang yang ada zikruLlah itu dia ada kemuliaan, dan mempunyai benteng (dari musuh, tak kira jin, jan, iblis, syaitan, azazil, ifrit, manusia iblis, manusia dll).


18. (Fadhilat Zikir No 18) Orang yang berzikir itu dibukakan pintu langit baginya dengan zikruLlah itu. (Dibukakan pintu Rahmat baginya, dipermudahkan urusannya, diperkenankan permohonannya dan diterima ibadahnya).


19. Apabila ALLAH SWT hampir dengan kita, hakikatnya adalah, KalamNYA kalam ku. (Hakikat seperti ini bukanlah mudah untuk dicapai, ia diberi oleh ALLAH SWT kepada hambaNYA yang terpilih).


20. Setiap anak Adam, jika beribadah, maka berpuluh-puluh Iblis datang berdamping dengannya (untuk menghasut).


21. (Fadhilat Zikir No 19) Menaik saksi bagimu tiap-tiap segala makhluk ALLAH SWT oleh segala tempat yang kamu berzikir. (Banyakkan tempat beribadah, jangan sunyikan rumahmu, penuhilah dan terangilah setiap sudut rumahmu dengan ibadah dan zikruLlah).


22. Wa Ka Faa BilLaahi Wakiilaa, Wa Ka Faa BiLlaahi Syahiida, Wa Ka Faa BiLlahi ‘Aliima.


23. Riak terbahagi kepada banyak jenis, antaranya adalah riak anggota, riak mata, riak kata dan lain-lain.


24. Jauhilah diri anda daripada sifat riak walaupun sekecil-kecil riak.


25. Kita hebatkan ALLAH SWT, maka kita akan dihebatkan oleh manusia. Kita hebatkan ALLAH SWT, kita akan dihebatkan oleh musuh-musuh ALLAH SWT.


26. ZikruLlah lah kamu pada setiap perkara kamu, pada setiap hal kamu dan di setiap tempat kamu berada. ZikruLlah lah kamu pada setiap denyutan nadi dan pergerakan darahmu serta hembusan nafasmu.


27. (Fadhilat Zikir No 20) Dan bermegah-megah ia sebahagiannya akan setengahnya atas sesetengahnya. [Bumi dan tempat-tempat yang diduduki oleh ahli zikruLlah akan bermegah-megah dengannya (dengan ahli zikir itu) (sebagai tanda bahawa ahli zikir atau orang yang selalu berzikir itu adalah mulia dan mempunyai kemuliaan)].


28. Bila ahli ilmu (ahli zikir) lalu dekat (berhampiran) dengan kubur, maka diangkat siksa ahli kubur itu selama 40 hari.


29. Salah satu khasiat madu lebah adalah, minum akan ia (madu lebah itu) dengan satu sudu kayu manis yang telah di’blend’ atau di tumbuk hingga halus. InsyaAllah, banyak faedahnya.


Wa Tammim Taqsiiranaa Ya ALLAH…


(Sayyidi As-Syeikh Tuan Guru Hj Ghazali Hasbullah RahimahuLlah)


InsyaALLAH, apa yang dipaparkan disini, sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita dan menambahkan lagi ilmu yang kita miliki. Salam buat Tuan Guru Ust Zahidi dan Sayyidi As-Syeikh Tuan Guru Hj Ghazali Hasbullah, Darul Atiq. Semoga mereka sentiasa di Rahmati ALLAH SWT.


Doakan kesihatan Tuan Guru Ust Ghazali Hasbullah yang sudah uzur. Semoga Tuan Guru dipanjangkan umur dalam menyampaikan ilmunya dan diberkati hidupnya serta diterima segala amalnya. Moga-moga kita mendapat manfaat darinya. Amiin…

يا رب صل على محمد يا رب صل عليه وسلم


-Catatan bradokapak,
Selasa, 25 Januari 2011, 4.52 petang.

3 comments:

  1. Baca la kitab fadhail zikir karangan raisun muhadithsin maulana zakariyya al khandalavi. Lebih jelas n mudah difahami, n terselit banyak ilmu tasawuf..

    ReplyDelete
  2. salam.

    carilah diri..
    kenallah diri..
    kasihkan diri..
    mesra diri..
    rindu diri..

    dan pulanglah dengan tenang lagi diredhoi..

    ReplyDelete
  3. Rindu utk berjumpa Tuan2 Guru yg mukhlis, semoga Allah melimpahkan Kasih sayang segenap penjuru kepada kalian. amin.

    ReplyDelete