- Jun 7, 2011
Rindu Zaman Kekhilafahan - Episod 3
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, para Sahabatnya, para keluarganya, serta seluruh pewarisnya. Salam buat sekalian Khulafa' Ar-Rasyidin. Al-Fatihah...
Bertemu lagi kita di alam maya ini tidak lain tidak bukan di teratak yang indah ini bagi membicarakan perihal kegemilangan zaman Khulafa' Ar-Rasyidin yang telah berlalu. Walaupun lebih kurang 1300 tahun zaman tersebut berlalu, namun kesannya dapat kita rasai hingga hari ini. Antara kesan terbesar yang kita rasai hingga hari ini adalah, penulisan Al-Qur'an dan penjagaannya yang sangat terpelihara hinggalah ke zaman ini.
Walaupun 1300 tahun telah berlalu, itu tidak bererti Islam telah lupus dan pupus ditelan zaman. Kata Hang Tuah, "Takkan Melayu Hilang Di Dunia," kata saya, "Takkan Hilang Islam Di Dunia..." Itu lah realiti dan hakikatnya.
Tanpa membuang masa berleter panjang, marilah sama-sama kita menyorot semula kisah-kisah dan liku-liku hidup seorang lagi Khulafa' Rasyidin ke-3 yang unggul, iaitu Khalifah Sayyidina Uthman Bin Affan Zunnur Ain RadiAllahu Anhu...
Teruskan membaca. Selamat membaca buat para pembaca sekalian!
Sekian.
-bradokapak, Editor.
Selasa 7 Jun 2011, 11.35 malam.
--------------------------------------------------------
Khalifah Sayyidina Uthman Bin Affan Zunnur Ain RA
Seperti yang kita tahu, Sayyidina Uthman RA ialah salah seorang daripada sahabat Nabi SAW. Di samping itu, Sayyidina Uthman juga merupakan seorang khalifah sewaktu pemerintahan Khulafa’ Rasyidin iaitu pemerintahan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Uthman ibnu Affan lahir di Makkah pada tahun 47 sebelum Hijrah, enam tahun lebih muda dari Rasulullah SAW, merupakan seorang hartawan dan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau digolongkan sebagai orang kenamaan Quraisy yang meniti kehidupan mewah, dan elit yang dihormati. Beliau juga seorang kacak, lemah lembut, dan janggutnya perang. Nama beliau lengkap ialah Uthman bin Affan bin Abi’l As bin Umaiah, bin Abd Sham. Ibu beliau bernama Arwa binti Kuraiz bin Rabi’ah bin Habib. Nasab atau keturunan beliau ialah ‘Umaiyah’, satu kabilah Quraisy yang amat dihormati dan disegani oleh masyarakat Arab di Makkah di bandingkan dengan kabilah-kabilah arab yang lain.
Walaupun Uthman meniti cara hidup yang mewah, namun beliau menghiaskan diri dengan akhlak yang mulia, lembut, murah hati, serta sering menghulurkan bantuan kepada golongan yang miskin dan dhaif, dari hasil yang diperolehi. Kelembutan dan kemurahan hatinya menyebabkan beliau mendapat tempat di hati masyarakat. Beliau mendapat jolokan istimewa iaitu “Dzunnur Ain” (memiliki dua cahaya). Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang hebat yang dapat memperluaskan agama Islam. Berdasarkan sirah tersebut, kita dapati Sayyidina Uthman merupakan seorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sehingga sanggup mati kerana ALLAH SWT. Kita sebagai umat Islam perlulah mencontohi sikap seperti Sayyidina Uthman dan menjadi seorang muslimin yang sejati dan juga sanggup mati kerana memperjuangkan agama ALLAH SWT.
Sayyidina Uthman Bin Affan RA adalah Khalifah Islam yang ketiga sesudah Sayyidina Umar Al-Khattab RA. Beliau telah memerintah Kerajaan Islam hampir sebelas tahun lamanya iaitu dari tahun 644 hingga 655 Masihi. Beliau memperoleh gelaran “Dzunnur Ain” yang ertinya yang memiliki dua cahaya. Sebabnya ialah kerana Rasulullah SAW telah mengahwinkannya dengan dua orang puterinya iaitu yang pertama kali dengan Rugayyah dan sesudah wafatnya semasa Perang Badar, maka Rasulullah SAW telah mengahwinkannya pula dengan Kalthum. Demikian besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah SAW terhadap Sayyidina Uthman RA Tatkala isterinya yang kedua itu pula meninggal, Rasulullah SAW telah berkata kepadanya, "Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu”.
Detik-detik Pemilihan Khalifah Ke-3
Sesudah wafatnya Khalifah Umar maka kumpulan enam sahabat itu, yang terdiri daripada Uthman ibn Affan, Ali bin Abi Talib, Saad bin Abi Waqqas, Zubeir bin Al-Awam, dan Abdul Rahman bin Auf mengadakan mesyuarat tanpa kehadiran Talhah bin Ubaidillah, kerana beliau berada di luar Madinah. Mesyurat diadakan dirumah Al-Mansur bin Mukhramah atas nama sebuah Majlis yang dikenali sebagai “Majlis Syura”, dan berlanhsung dengan memakan waktu yang panjang tanpa keputusan yang muktamad.
Sebagai mengatasi kebuntuan ini maka Abdul Rahman bin Auf menarik diri dengan rela. Zubeir dan Saad bagaimanapun, masing-masing mencalonkan Uthman dan Ali,lalu keputusan belum tercapai sehingga malam yang ketiga sesudah wafat Sayyidina Umar. Abdul Rahman mengambil langkah terakhir dengan memilih saidina Uthman, dan demikian, secara mejoriti bersesuaian dengan wasiat Khalifah Umar, Uthman terpilih sebagai khalifah yang baru. Selepas itu, para sahabat tadi melahirkan ikrar kesetiaan melalui baiah (perjanjian setia), dengan meletakkan tangan setiap orang di atas tangan Uthman bin Affan, dengan jemaah muslimin yamg lain memberi sokongan atas pemilihan itu.
Era Pemerintahan
Pemerintahan Sayyidina Uthman bin Affan berlangsung dalam dua zaman, iaitu zaman 6 tahun pertama ditandai oleh kejayaan dan zaman 6 tahun kedua ditandai oleh perpecahan yang tergambar dalam berbagai-bagai pergolakan dan pemberontakan dalam negeri.
Zaman Kegemilangan
Kegemilangan pemerintahan khalifah uthman bermula dengan pembukaan dan penawanan wilayah-wilayah baru yang terletak di Antalia dan Asia kecil sebelah barat. Wilayah yang lain berjaya di tawan olehnya ialah Cyprus, Afghanistan, Samarkand, Tasykent, Khurasan, dan Tabrastan di sebelah Timur dan Timur Laut, sementara Libya, Algeria, Tunisia dan Maghribi yang terletak di bahagian Utara Afrika turut ditawan oleh kaum muslimin. Dunia islam sewaktu pemerintahan Uthman, terbentang luas gagasannya,mencakupi bahagian Benua Asia dan Afrika, di antaranya wilayah-wilayah Uzbekistan, Parsi ,Iraq, Armenia, Azerbaijan, Turki, Syria Palestin, Jordan, Mesir, Yaman termasuk kawsan-kawasan di teluk dan semenanjung Arab.
Seluruh kawasan dan wilayah itu terhimpun dan bernaung dalam satu gagasan dan panji-panji yang berdaulat, sekaligus mengangkat islam dan ummah sebagai sebuah empayar dan kuasa baru yang lebih besar, dibandingkan dengan empayar-empayar Byzantine dan Parsi. Dalam waktu yang sama, Islam turut bertapak di Habsyah, dan sebahagian kawasan di sebelah Timur dan Afrika Tengah. Disamping itu, dengan kemasukan wilatah-wilayah itu ke dalam gagasan dan wadah Islam selain senanjung Arab, Yaman, dan pesisir yang tersedia wujud , maka Islam muncul sebagai sebuah Empayar yang lebih hebat dari gabungan Empayar Parsi dan Byzantine
Pada masa yang sama, pengaruh islam sebagai ‘Ad-Din Al-Hanif’ turut berkembang dengan sendirinya di Abyssinia atau Habsyah, yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Arab. Perkembangan dakwah Islamiah seterusnya menyusur masuk secara aman, tenang dan tenteram, dan diterima baik oleh rakyat di bahagia Tengah dan Timur Afrika, sekalipun kawasan tersebut tidak pernah disentuh oleh pemerintah Islam. Kejayaan gemilang yang diperoleh pada peringkat pertama pemerintahannya, cukup hebat dan mengkagumkan dari pelbagai sudut namun kejayaan gemilang itu tidak dapat menjamin keutuhan dan kekukuhan pemerintahnya apabila kegawatan mula menggugat kedudukannya sebagai Khalifah.
Zaman Kejatuhan
Tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadap Khalifah Uthman disebabkan kurang senang atas tindak laku dan corak pentadbirannya yang dikatakan berunsur bid’ah dari sudut ubudiah dan amalan nepotisme dan kronisme dari sudut melantik pegawai-pegawai pemerintahan. Adik angkatnya, Abdullah bin Saad bin Abi Sarh dilantik oleh Khalifah Uthman sebagai pentadbir Mesir sesudah mengenepikan Amr bin Al-As, yang kemudian menjadi penentang kuat kepada Khalifah Uthman. Penentangan itu lebih ketara apabila beliau diikuti sama oleh Muhammad bin Abi Bakar dan Muhammad bin Hudzaifah, yang kecewa kerana tidak dilantik memegang jawatan pentadbir, disebabkam kekosongan itu diisi oleh ahli keluarga Khalifah Uthman yang terdekat. Sekalipun tuduhan-tuduhan itu diberikan penjelasan dengan panjang lebar, namun tidak mendatangkan kesan khususnya dikalangan mereka yang mudah terguris hati akibat tindakan Uthman yang tidak disenangi, disamping penyusupan anasir-anasir tertentu yang turut memainkan peranan mengikut agenda tersendiri.
Selain itu, Khalifah Uthman dilemparkan tuduhan berat apabila didakwa membakar beberapa naskah salinan Al-Qur’an. Hakikatnya nashah-nashah yang dibakar itu adalah salinan-salinan yang tersebar di luar madinah, yang didapati tulisannya menimbulkah kekeliruan sebutan bacaan yang berbeza di antara satu naskah dengan satu naskah yang lain. Demi memelihara kemurnian dan kesucian Al-Qur’an, Khalifah Uthman mengambil langkah menentukan bahawa hanya satu nashah sahaja iaitu nashah yang tersimpan dirumah Hafsah dikekal dipelihara, sebagai rujukan utama kaum Muslimin seluruhnya.
Kegawatan itu akhirnya menjuruskan ke arah detik tragis yang memilukan dan menyayat hati apabila Khalifah Uthman mati di bunuh pada 18 Zulhijjah 35 Hijrah bersamaan 17 Julai, 656 Masihi ketika berusia 85 tahun dalam detik-detik dan suasana yang diselubungi dengan prasangka buruk sehingga mendorong hilangnya pertimbangan dan ehsan yang mendedam. Khalifah Uthman mati dibunuh oleh seorang pemanah yang memanjat bumbung rumahnya lalu memanah Khalifah Uthman dari atas bumbung. Khalifah Uthman yang ketika itu sedang membaca Al-Qur'an Surah Al-Kahfi tidak sedar dirinya sedang diperhatikan. Sang pemanah yang melihat Khalifah Uthman sedang khusyuk membaca Al-Qur'an itu terus memanah tanpa rasa belas kasihan. Khalifah Uthman syahid sebagai seorang Khalifah yang hebat, darahnya menitis tepat pada ayat "Wal Yatalattof".
Sumbangan
Pada era Khalifah Uthman, wilayah Islam bertambah luas hingga ke Kabul, di bahagian timur Asia, dan Maghribi di sebelah bahagian utara Afrika. Beliau juga berjaya menumpaskan pemberontakan dengan kekuatan yang dimiliki. Kekuatan angkatan kaum Muslimin terserlah sehigga dapat menundukkan pasukan Byzantine yang menguasai laut ketika itu. Dengan penaklukan sepanjang pesisiran Afrika Utara maka pengawalan laluan laut Mediterranean terletak di bawah penguasaan Islam.
Khalifah Uthman juga banyak berjasa dalam perkembangan penulisan Al-Qur’an. Al-Qur’an Al-Karim adalah tertulis dalam bahasa arab, yang merupakan bahasa asing bagi jutaan manusia yang memeluk islam ketika itu. Apabila mereka membaca mushaf Al-Qur’an maka bacaan mereka menimbulkan kekeliruan dari sudut bacaan (qira’ah) ekoran dari tulisan dan salinan yang berbeza. Bagi mengelakkan Al-Qur’an tercemar dari sudut tulisan dan bacaan maka Khalifah Uthman mengambil langkah memusnahkan salinan-salinan yang terdapat di Syria, Basrah, Kufah, Mesir dan lain-lainnya, dan menetapkan cuma mushaf yang terdapat di Madinah sahaja yang diakui kesahihannya, dan sekaligus menjadi satu-satunya mushaf tumpuan dan rujukan bagi kaum Muslimin seluruhnya.
Khalifah Uthman jgua menghabiskan banyak waktu dengan menyampaikan dakwah di kalangan orang-orang tawanan perang. Ramai bilangan mereka yang memeluk islam ekoran dakwah yang disampaikan oleh beliau, dan di samping itu, beliau turut mengajar fiqh kepada penganut-penganut islam, yang pada satu ketika, menunjukkan jemaah tentang cara-cara mengambil wudhu dengan sempurna.
Ketaqwaannya begitu mendalam maka itulah beliau segera menangis apabila disebutkan tentang azab di kubur. Katanya, “Kubur adalah tempat pertama sebelum menuju akhirat. Sekiranya seseorang itu dapat mengatasi azab kubur, maka ia akan peroleh kejayaan pada hari perhitungan kelak”.
Rumusan
Kesimpulannya, Saidina Uthman merupakan seorang Khalifah yang hebat dimana sewaktu era pemerintahan beliau, beliau dapat mengembangkan kekuasaan Islam dengan lebih meluas. Seperti dengan penaklukan wilayah-wilayah dalam pemerintahan Parsi dan Byzantine. Selain itu juga, beliau telah mengembangkan agama Islam dengan lebih pesat lagi. Sebagai contoh, beliau telah menyampaikan dakwah di kalangan orang-orang tawanan. Di sini kita dapat lihat dimana usaha gigih yang dilakukan oleh Sayyidina Uthman untuk membangun dan memajukan agama Islam dan menyebarkannya.
Walaupun beliau begitu sibuk dengan pemerintahan Negara, tetapi beliau tetap tidak melepaskan tanggungjawab beliau sebagai orang muslim. Contohnya, beliau turut mengajar fiqh kepada penganut-penganut islam yang pada satu ketika, menunjukkan jemaah tentang cara-cara mengambil wudhu. Tambahan lagi, demi menunjukkan kecintaannya kepada Al-Qur’an beliau telah memusnahkan salinan-salinan yang terdapat di Syria, Basrah, Mesir dan lain-lain bagi menjaga kesucian Al-Qur’an dan mengelakkannya daripada tercemar. Walaupun zaman pemeritahan Sayyidina Uthman itu hebat, akan tetapi terdapat segelintir masyarakat yang tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan Sayyidina Uthman. Iaitu tuduhan demi tuduhan telah dilemparkan terhadap Khalifah Uthman seperti pentadbirannya berunsur bid’ah. Perkara ini berlarutan sehingga menjadi lebih kritikal lalu mengakibatkan pembunuhan Khalifah Uthman.
Berdasarkan sirah tersebut, kita dapati Sayyidina uthman merupakan seorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sehingga sanggup mati kerana Allah. Kita sebagai umat islam perlulah menpunyai sikap keberanian seperti Sayyidina Uthman dan menjadi muslimin yang sejati dan juga sanggup mati kerana memperjuangkan agama ALLAH SWT.
WAllahuA'lam.
Nantikan episod yang seterusnya dalam membicarakan kegemilangan zaman Khalifah yang terdahulu. Semoga dengan adanya artikel-artikel seperti ini, sedikit sebanyak dapat mengingatkan kita semula terhadap para Sahabat Nabi dan para Khalifah yang terdahulu. Semoga bertambah kasih dan rindu kita kepada era kegemilangan Islam itu. Semoga era kegemilangan Islam itu dapat dikembalikan di dunia ini. Amiin....
Sekalung penghargaan diberikan kepada:
1) Muhammad Umar Bin ZolAziz, Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM).
2) Shamsuddin M.D, Hj Mohd Rashad, rujukan buku Khulafa’ Rasyidin terbitan Al-Hidayah Publishers.
3) Aziz, Dr mukhtar, rujukan Ensiklopedia Islam terbitan PT Ictiar Baru Van Hoeve.
4) Google atas gambar yang saya paparkan disini.
Artikel diatas ditulis oleh Muhammad Umar Bin ZolAziz dari UiTM dan diberi penambah baikan oleh saya.
Sekian.
Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
alhamdulillah...wal yatalatthofwalayus'irannabikum ahada....semuga Allah menambahkan kemuliaan khalifah yg ke 3 Zun Nurain...Othman ibni Affan
ReplyDeleteAd Daulatul Islamiyah Melayu
ReplyDeleteadalah khilafah islam yang sedang menantikan
kehadiran orang-orang mukmin yang siap
bergabung menjadi pejuang islam di akhir zaman
Bilakah anda berminat untuk menjadi pembela dan tentara Islam
http://dimalayo.com.nu