Bismillahirrahmanirrahim.
Dengarlah hai sobat,
Saat kau maksiat;
Dan kau bayangkan ajal mendekat...
Saat kau maksiat;
Dan kau bayangkan ajal mendekat...
Harta dan jiwa kita adalah amanah. Apatah lagi 'amanah' yang di amanahkan. Murid adalah amanah yang diserahkan ibu bapa kepada guru, jangan cuai, jangan malas, jangan ponteng mengajar, bersungguh-sungguh dan tuangkan kasih sayang dalam pengajaran dan tunjukkan contoh yang baik. Jadikan kejayaan pelajar ibarat kejayaan anak kita sendiri. Maka begitu jadilah kegagalan mereka kesedihan kita juga.
Ketua jabatan memegang amanah kepada organisasi jabatannya. Meja dan kerusi adalah amanah. Wang pejabat adalah amanah. Pekerja adalah amanah. Seluruh struktur organisasi dalam jangkauannya juga adalah amanah.
Pemimpin memegang amanah yang sangat berat. Seluruh rakyat dan harta rakyat ini adalah amanah. Menjadi pemimpin bukan semudah di ucap. Di pihak rakyat pula kena memahami. Di pihak pemimpin lagilah kena memahami. Jangan harta negara di anggap harta keluarga dan harta kroni. Kalaupun harta itu di amanahkan pada tangan kita, ia adalah amanah yang perlu dilangsaikan. Semua ini akan jadi pertanggungjawab secara telus di sana nanti.
Kita lihat satu contoh dari sifat amanah dalam pentadbiran Rasulullah SAW:
"Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam telah menugaskan seorang lelaki dari Al-Azdi yang disebut Ibn Al-Lutbiyyah untuk mengutip sedeqah (zakat), apabila dia kembali (kepada Rasulullah) dia berkata: "Ini adalah untuk kamu (bahagian zakat) dan ini yang dihadiahkan kepada aku". Rasulullah (mendengar kenyataan itu) telah menaiki mimbar, lalu baginda bertahmid kepada ALLAH dan memuji-Nya, lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya aku telah menugaskan seorang lelaki daripada kamu bagi melaksanakan apa yang diperintah ALLAH kepada aku, lalu dia datang kepada aku seraya berkata: "Ini adalah bahagian kamu (daripada kutipan zakat) dan ini hadiah yang dihadiahkan kepada aku", Apakah sekiranya dia duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya, hadiah itu akan mendatanginya, sekiranya dia seorang yang jujur, WALLAHi tiada mengambil seseorang daripada kamu sesuatu yang bukan haknya, kecuali dia akan menemui Allah dengan memikul unta yang merengek, atau lembu yang mengeboh atau biri-biri yang mengembek". Lalu Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga nampak putih ketiaknya seraya bersabda: "ALLAHumma, aku telah sampaikan". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Lihatlah betapa telus dan punya akauntabilitinya pentadbiran Rasulullah SAW. Seorang sahabat yang diberi hadiah yang berupa kambing oleh penternak ketika beliau bertugas mengutip zakat dan kemudiannya beliau tanpa bersembunyi mengumumkan kepada Rasulullah yang kambing-kambing yang dibawa pulang itu ada yang merupakan zakat dan ada yang merupakan hadiah untuknya. Rasulullah tidak menasihatinya secara perseorangan, tetapi Baginda menaiki mimbar untuk menegaskan dasar dan prinsip; Baginda menegaskan kepada umum yang petugas tidak boleh mendapat manafaat peribadi ketika menjalankan tugas. Walaupun manafaat itu bukanlah sogokan atau rasuah tetapi hadiah atau sedekah. Pintu kepada kemungkinan penyalahan-guna kuasa telah ditutup rapat.
Bagaimana tergamak dan lancangnya segelintir ahli masyarakat kita yang sanggup mengatakan Rasulullah telah mengamalkan 'kronisme' dalam pengurusan dan pentadbiran Baginda? Bagaimana mereka berhukum? Keluarga Rasulullah dimuliakan oleh ummah kerana keakraban mereka kepada Rasulullah dari segi nasab, keilmuan, kewara'an dan kesedaran kerohanian. Mereka tidak disanjung kerana pangkat kedudukan, harta benda dan kekuasaan. Apa perlunya seseorang walaupun siapa dia sekalipun untuk menyamakan perbuatan beliau yang membuka ruang yang lebih kepada anak-beranaknya, menyamakan tindakan beliau itu dengan peri laku Rasulullah?
Dalam hadis yang disebut sebelum hadis ini di dalam Kitab Riyadus Solihin dirakamkan nasihat Rasulullah SAW kepada Saiyyidina Muaz Bin Jabal ketika beliau diutuskan ke Yaman. Baginda berpesan agar beliau mengajak penduduk Yaman agar menyaksikan dua syahadah (mengucap dua kalimah syahadah), kemudian menyuruh mereka dengan sembahyang lima waktu, kemudian mengeluarkan zakat. Sekiranya mereka patuh kepada anjuran-anjuran tersebut, maka hendaklah berhati-hati dan menghormati harta benda mereka. Rasulullah SAW memperingatkan: "Hendaklah engkau takuti doa orang-orang yang kena zalim (orang yang dizalimi), sesungguhnya tiada hijab antara doa itu dan antara (untuk sampai kepada) Allah". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Walaupun dalam urusan pentadbiran yang sepenuhnya berstuktur agama, Rasulullah memperingatkan Muaz, seorang sahabat yang faqih agar berhati-hati daripada menzalimi manusia lainnya. Seakan-akan memberi isyarat seseorang itu mampu sahaja menggunakan justifikasi atau helah memperkukuhkan agama dalam melakukan kezaliman. Di antara punca kezaliman itu ialah kecenderungan kepada harta-benda.
(Ingatlah bahawa jawatan yang diberi kepada kita walaupun sekecil pakaian seragam polis bantuan, ia adalah amanah. Apa jua jabatan harus telus dalam melaksanakan amanah. Ingat hidup cuma satu kali... *Gambar hanyalah sebagai satu contoh Jabatan yang terdapat dalam negara kita tanpa)
Sekiranya individu yang terlibat dengan kerja-kerja agama sama ada di Jabatan mahupun organisasi dapat menghayati peringatan Rasulullah SAW ini, tentunya kita akan kurang mendengar sungutan tentang 'political contribution', atau derma itu dan ini yang 'dipaksa' sedang ianya mempunyai maksud-maksud tersirat umpama menabur menabur bunga di jalanan agar harumnya di cium orang. Sekiranya kejayaan itu diyakini akan diperoleh dengan redha ALLAH dengan mengikut perintah ALLAH dan Rasul-NYA, tentunya kita tidak akan tamak kepada kekuatan kebendaan, setamak kita kepada tilik ALLAH dan Rahmat-NYA.Semoga kemurnian agama ini senantiasa berkekalan di samping bertambah baik dari sedia ada agar kekuatan ummat Islam dapat di perkukuhkan. Peringatan buat kita, buat para guru dan alim ulamak serta pekerja-pekerja Jabatan tak kira Jabatan Agama atau lainnya, ketahuilah bahawa setiap yang di amanahkan kepada kita adalah AMANAH YANG PERLU DI JAGA walau sekecil amanah iaitu ilmu yang sedikit. Segalanya akan dipertanggungjawabkan kelak di sana nanti...
Sekian,
WALLAHUA'lam.
Artikel di tulis oleh Cikgu Azhar Ali pada tahun lepas, sekitar jam 8:56 pagi.
Di salin semula oleh 'bradokapak' dengan sedikit perubahan. Gambar, kredit untuk Google. Gambar hanyalah menggambarkan satu contoh jabatan yang ada dalam negara kita semata-mata.
Catatan 'bradokapak'
17-11-11, 23:12.
No comments:
Post a Comment