Senandung Pengorbanan Yang Mulia


Bismillahirrahmanirrahim.


ALLAH Hu Akbar! ALLAH Hu Akbar! ALLAH Hu Akbar!
Laa ilaa ha Illa ALAH Huwa ALLAH Hu Akbar!
ALLAH Hu Akbar WalilLahil Hamd...

Pagi itu, Nabi Ibrahim Alaihis Salam duduk berehat di hadapan Baitullah Ka'abah setelah beberapa hari membinanya bersama anaknya, Nabi Ismail Alaihis Salam. Nabi Ibrahim mengucapkan rasa syukur kerana berjaya menyiapkan Ka'abah. Ka'abah telah di bina atas perintah Tuhan. Nabi Ibrahim dan Ismail membinanya dengan cermat dan teliti. Ketika binaan hampir siap, mereka kehabisan batu. Tinggal satu batu sahaja lagi yang tinggal sebelum binaan Ka'abah siap sepenuhnya.

Lalu mereka pun berjalan disekitar kota Makkah untuk mencari batu terakhir yang sesuai untuk di letakkan bagi melengkapkan binaan Ka'abah. Kemudian, sebuah batu telah diturunkan ALLAH SWT buat mereka. Batu itu berwarna hitam. Batu itu diturunkan daripada Syurga. Ketika Nabi Ibrahim melalui suatu lorong, dia ternampak batu berwarna hitam tersebut lalu terus mengambilnya dan meletakkan di bahagian tepi Ka'abah yang belum sempurna itu. Maka, dengan peletakan batu itu, selesailah binaan Ka'abah. Nabi Ibrahim dan Ismail bersyukur ke Hadrat Ilahi. Batu itulah yang digelar Hajarul Aswad.

Ketika Nabi Ismail di tinggalkan bersama Siti Hajar di tengah padang pasir, Malaikat telah turun memberitahu kepada Hajar, bahawa anak ini kelak akan membina sebuah rumah Ibadah yang akan di kunjungi ramai orang. Janganlah gusar tentang diri mu, sesungguhnya ALLAH tetap akan menjaga hambaNYA yang redha dengan ujian. Lalu, ketika Siti Hajar sedang sibuk berlari-lari anak dari Safa ke Marwa, kaki Ismail yang ketika itu masih kecil telah dihentak-hentakkannya ke atas pasir. Maka dari bekas hentakan kaki itulah telah terpancar satu mata air yang sehingga hari ini airnya tak pernah kering.

Selepas perasan ada mata air terpancar dari bawah kaki Ismail, Siti Hajar terus meluru dan berkata, "Zam zam... Alhamdulillah... Zam zam..." berulang kali. Sehingga hari ini air itu di gelar air Zam-zam. Airnya tak akan kering walau di minum semua makhluk yang ada di bumi ini. Dengan berkat Nabi Ismail, maka kawasan itu menjadi tumpuan orang dan disitulah Nabi Ibrahim telah membina Ka'abah bersama-sama Ismail.

Sedang asyik berehat, ALLAH SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim agar membersihkan Ka'abah dan kawasan sekelilingnya kerana perintah Haji telah turun. Nabi Ibrahim terus bangun dari tempat rehatnya kemudian terus menyeru pengikutnya untuk sama-sama membersihkan Ka'abah.

ALLAH SWT berfirman;
"Janganlah engkau sekutkan sesuatu pun dengan-KU, dan bersihkanlah rumah-KU (Ka'abah) bagi orang yang tawaf (mengelilingi Ka'abah), dan orang yang berdiri dan ruku' serta yang sujud (mengerjakan sembahyang)."

Kemudian ALLAH SWT berfirman lagi kepada Nabi Ibrahim setelah mereka membersihkan Ka'abah;
"Serulah ummat manusia mengerjakan Haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang pelbagai jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan yang jauh. Supaya mereka dapat menyaksikan banyak perkara berfaedah untuk diri mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari yang tertenu, kerana pengurniaan-NYA kepada mereka dengan binatang ternakan (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, fakir dan miskin."

Setelah kerja-kerja pembersihan Ka'abah selesai, Nabi Ibrahim berhenti di hadapan Hajarul Aswad dan menghala ke sebelah kanan. Nabi Ibrahim berseru dengan suara yang nyaring...

Labbaikal Lah humma Labbaik
Labbaika La syariika laka Labbaik!

"Wahai manusia, ALLAH telah memfardhukan ke atas kalian ibadah haji di Ka'abah. Wahai hamba ALLAH! Tunaikanlah haji, ALLAH telah mewajibkan ibadah haji ke atas kamu." Kemudian Nabi Ibrahim terus menyeru sambil menghadap ke Timur, Barat, Utara dan Selatan. Seluruh kawasan itu bergema dengan ucapan talbiah (ucapan Labbaik). Suara Nabi Ibrahim kedengaran ke seluruh pelusuk bumi.

Suara itu kedengaran ke telinga Siti Hajar dan Ismail. Seakan-akan suara malaikat yang menerjah seluruh pelusuk bumi. Siti Hajar menangis, air matanya berlinangan. Dia tahu bahawa perintah ALLAH telah turun. Hatinya gembira. Tidak pernah terlintas di hati Hajar bahawa ALLAH akan menjadikan perjalanannya dari Safa ke Marwah sebagai salah satu syiar ALLAH. ALLAH telah menentukan RahmatNYA kepada sesiapa yang dikehendakiNYA.

Orang-orang dari seluruh pelusuk dunia mula mendatangi Ka'abah. Orang-orang dari jauh semuanya berdatangan. Walaupun mereka tidak mempunyai penunjuk arah, mereka tetap datang ke Ka'abah seakan-akan mereka sudah sering datang ke situ. Orang Syam datang ke Ka'abah dan mengerjakan Haji. Setiap kali orang Syam melihat Ka'abah mereka akan menyebut "
Bakkah... Bakkah..."

Bakkah bererti rumah. Bakkah adalah dari bahasa Syam. Mereka menggelar kawasan sekitar rumah ALLAH sebagai
Bakkah, rumah yang diberkati. Sehingga hari ini kawasan disekitar Ka'abah di gelar Bakkah. Orang-orang lain ada menyebutnya sebagai Makkah. Maka, nama itu melekat hingga hari ini.

"Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada ALLAH) ialah BaitulLah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi ummat manusia." Nabi Ibrahim terus memimpin ummat manusia untuk mengerjakan ibadah Haji. Nabi Ibrahim membawa mereka bermalam di Mina (mabit di Mina). Nabi Ismail dan Hajar pun ikut serta.

Keesokan harinya, Nabi Ibrahim membawa orang-orang yang beriman ke Muzdalifah. Mereka tinggal di sana beberapa ketika. Pada malamnya, bulan tanggal sepuluh (10 Zulhijjah) memancarkan cahayanya. Alam diselubungi keindahan. Angin bertiup lembut, menyegarkan jiwa. Sehingga jiwa para jemaah haji disinari cahaya ALLAH. Itulah antara sebab kita difardhukan melaksanakan Haji, agar hati kita disinari cahaya ALLAH SWT.

Nabi Ibrahim masuk ke khemahnya untuk berehat. Nabi Ibrahim terlelap. Dalam tidurnya dia bermimpi. Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya, Ismail. Nabi Ibrahim terus terjaga. Beliau berfikir seketika. Mimpi itu adalah benar dan satu dugaan besar buat dirinya. Nabi Ibrahim yakin bahawa mimpi itu diwahyukan oleh ALLAH kepadanya. Nabi Ibrahim dikehendaki menyembelih anaknya, Ismail sebagaimana orang di Safrium (suatu rumah ibadah orang menyembah berhala) telah mengorbankan anak sulung mereka kepada Tuhan-tuhan.

"Apakah imah mereka (orang Safrium itu) lebih tinggi daripada imanku kepada ALLAH?" Soal hatinya sendirian.

Nabi Ibrahim yakin untuk mengorbankan Ismail kerana Ismail adalah anak sulungnya. Nabi Ibrahim pernah melihat sendiri orang Safrium menyembelih anak sulung mereka untuk di persembahkan kepada Tuhan-tuhan (berhala). Anak sulung yang telah disembelih akan di bakar sebagai usaha mereka (orang Safrium) untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Nabi Ibrahim juga pernah melihat orang Kan'an menyembelih anak sulung mereka untuk Tuhan Ba'al (tuhan orang Kan'an).

Nabi Ibrahim menguatkan semangatnya. Beliau akan menyembelih Ismail. Sesungguhnya dari ALLAH kita datang dan kepadaNYA juga kita akan kembali. Nabi Ibrahim bersembahyang Subuh bersama orang yang beriman. Nabi Ismail menjadi makmum di belakangnya. Kemudian mereka semua bersama-sama menuju ke Mina. Nabi Ibrahim memandang ke arah Bukit Thabir. Beliau menghampiri anaknya, Ismail yang disayanginya.

"Pergi ambilkan tali dan pisau. Setelah itu kita akan ke bukit itu." Perintah Nabi Ibrahim kepada anak kesayangannya, Ismail.

Nabi Ismail tak berlengah. Dia terus melaksanakan suruhan ayahnya tercinta. Nabi Ibrahim terus melangkah ke Bukit Thabir. Beliau hampir pengsan kerana kesedihan. Hatinya sayu. Namun digagahkannya juga untuk melangkah. Perintah ALLAH mesti dilaksanakan segera. Nabi Ibrahim sangat patuh dan taat dengan perintah Tuhan. Nabi Ismail mengikuti ayahnya dari berlakang sambil berjalan tanpa rasa ragu-ragu.

Tanpa disedari, seorang lelaki datang menghampiri Nabi Ibrahim. "Ke mana hendak kau pergi?" tanya lelaki itu kepada Nabi Ibrahim.

"Saya mahu ke Bukit Thabir" jawab Nabi Ibrahim.

"Demi ALLAH, saya rasa syaitan yang menyuruh tuan menyembelih Ismail." kata lelaki itu. Entah dari siapa lelaki itu tahu niat pemergian Nabi Ibrahim ke bukit tersebut.

"Nyah kau dari sini! Musuh ALLAH! Aku tetap akan mematuhi perintah Tuhanku," halau Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tahu bahawa lelaki yang menghalangnya itu adalah syaitan. Nabi Ibrahim mengambil 7 biji batu lalu melontar ke arah lelaki itu. Lelaki itu menghilangkan diri kerana tak tahan kesakitan lontaran batu Nabi Ibrahim.

Syaitan berasa putus asa menggoda Nabi Ibrahim. Dia pergi pula kepada Ismail. Syaitan menahan Ismail yang ketika itu sedang berjalan agak jauh dari ayahnya.

"Engkau tahu tak kemana ayah kamu nak pergi?"
"Ke Bukit Thabir." Jawab Ismail ringkas.
"Demi ALLAH sebenarnya ayahmu hendak menyembelih kamu. Kerana itu dia memerintahkan kamu membawa tali dan pisau ini." Syaitan mula menghasut.
"Kenapa?"
"Dia mendakwa itu perintah ALLAH."
"Dia mesti mematuhi perintah Tuhan-NYA. Saya juga akan mentaatiNYA." Jawab Ismail tegas.

Ismail menjawab dengan yakin walaupun dia tahu dirinya terpaksa dikorbankan. Mendengarkan nama ALLAH disebut, Ismail semakin yakin dan teguh hatinya. Tanpa rasa takut, Ismail yang masih kanak-kanak ketika itu terus melontar syaitan tadi dengan 7 biji batu kecil hingga syaitan itu pergi.

Syaitan tak putus asa. Dia pergi pula kepada Siti Hajar.
"Wahai Hajar! Tahukah kamu ke mana suamimu dan anakmu pergi?"
"Mencari kayu api!"
"Bukan! Sebenarnya dia mahu menyembelih Ismail..."
"Tak mungkin. Suamiku sangat menyayangi Ismail."
"Tapi... suamimu mendakwa itu perintah ALLAH."

"Kalau itu perintah ALLAH, memang sepatutnya dia mematuhinya." Syaitan terus cuba mempengaruhi Hajar tetapi tak berjaya. Hajar melontar 7 biji batu ke arah syaitan itu. Syaitan amat kecewa. Usahanya tidak membuahkan sebarang hasil. Keteguhan iman Hajar sangat tinggi walaupun Hajar baru tahu bahawa anaknya akan di sembelih. Kerana itu Hajar digelar Siti. Siti dalam bahasa orang dahulu adalah gelaran untuk wanita yang mulia-mulia dan tinggi budi pekerti. Siti juga diberi kepada orang yang teguh hatinya. Siti Hajar sangat mulia, dari darahnya lahir Nabi akhir zaman.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail terus melangkah menuju Bukit Thabir. Mereka berlindung kepada ALLAH daripada syaitan yang direjam. Dari peristiwa tadi itulah syaitan digelar Syaitan yang direjam. Dari peristiwa itu juga lah kita di suruh untuk melontar Jamrah sebanyak 7 kali di 3 tempat lontaran yang berbeza ketika melaksanakan ibadah Haji. Lontaran ini simbolik kepada keteguhan hati Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar.

Setelah Nabi Ibrahim dan Ismail sampai di satu tempat lapang dan sunyi, Nabi Ibrahim menghampiri Ismail.

"Sebenarnya ayah bermimpi menyembelihmu," terang Nabi Ibrahim dengan lemah. Hatinya benar-benar hancur.

"Buatlah apa yang telah diperintahkan kepada ayah. Jika diizinkan ALLAH saya adalah orang yang sabar."

Nabi Ibrahim terdiam. Hatinya sayu melihat anaknya yang teguh pendirian. Ismail langsung tak takut dengan kematian, bahkan terus menyuruh ayahnya menyembelihnya agar perintah ALLAH diselesaikan dengan cepat. Nabi Ibrahim merenung jauh. Hatinya terlalu sedih. Beliau cuba menguatkan imannya, memohon bantuan ALLAH untuk menghadapi dugaan terbesar ini. Terasa bumi bergoncang dan bukit-bukit bergegar. Bukit Thabir juga turut bergegar menyaksikan seorang kekasih ALLAH hendak mengorbankan anak kesayangannya.

"Ayah! kalau ayah mahu menyembelih saya, ikatlah saya dengan kuat. Bila sudah terikat, tentu ayah tidak akan teragak-agak lagi. Jika ayah teragak-agak juga, tentu pahala saya akan berkurang. Mati itu sakit, saya tidak mahu menggelupur nanti. Saya harap ayah dapat menajamkan pisau itu dulu supaya dapat menyembelih saya dengan mudah." Begitu tenang dan lancar sekali Ismail berkata-kata. Menambahkan lagi sebak di dada ayahnya, Nabi Ibrahim kekasih ALLAH.

"Kalau ayah masih merasa berat untuk menyembelih saya, palingkan muka saya membelakangkan ayah. Saya bimbang kalau-kalau ayah mengingkari perintah ALLAH kerana kasihan melihat muka saya. Jika ayah mahu, serahkanlah baju saya ini kepada ibu sebagai kenang-kenangan." Nabi Ismail terus memberi semangat kepada ayahnya untuk melaksanakan perintah ALLAH.

Nabi Ibrahim mendengar kata-kata anaknya itu dengan hairan. Ismail sedikit pun tidak bimbang atau takut tentang perkara yang bakal dilakukan ke atas dirinya. Beliau hanya bimbang sekiranya pahala yang akan di perolehinya berkurangan. Beliau bimbang ayahnya merasa kasihan kepadanya, sehingga mengingkari perintah ALLAH.

"Engkau amat mematuhi perintah ALLAH, Ismail!" kata Nabi Ibrahim sayu.

Setelah kedua-duanya berserah diri kepada ALLAH. Nabi Ibrahim pun bersiap-siap hendak menyembelih Ismail. Nabi Ibrahim mengambil pisau yang dibawa Ismail kemudian di asah terlebih dahulu. Setelah yakin dengan ketajamannya, Nabi Ibrahim membaringkan anaknya, Ismail menghadap ke Ka'abah. Hati Nabi Ibrahim sangat sayu. Digagahkannya juga untuk mengangkat pisau itu lalu diletakkan ke leher Ismail.

Nabi Ibrahim mula menghunus pisau itu ke leher Ismail. Air mata Nabi Ibrahim mula bercucuran. Mulutnya tak henti-henti menyebut nama ALLAH. Ismail memejamkan matanya sambil hatinya terus mengingat ALLAH. Nab Ibrahim terlalu sebak. Kerana tak tahan menahan kesedihan, Nabi Ibrahim berteriak.

ALLAH Hu Akbar! ALLAH Hu Akbar! ALLAH Hu Akbar!

Nabi Ibrahim menghiriskan pisau tajam itu ke leher Ismail. Ismail memejam rapat matanya menahan kesakitan yang bakal diterimanya.

Laa ilaa ha illa ALLAH Huwa ALLAH Hu Akbar!!!

Nabi Ibrahim terus menghiris leher Ismail. Namun darah masih belum mengalir. Nabi Ibrahim risau kalau-kalau Ismail merasa tersiksa kerana pisau itu tumpul. Tapi Nabi Ibrahim yakin pisau itu sudah cukup tajam. Nabi Ibrahim terus menghiris. Kesedihan Nabi Ibrahim tak dapat tertahan lagi. Beliau menjerit sekuat hati...

ALLAH Hu Akbaaarrrrrrr!!!

Kedengaran suara Nabi Ibrahim ke seluruh pelusuk alam. Bukit Thabir bergoncang. Nabi Ismail terus memejamkan matanya. Dia yakin bahawa dirinya sedang menemui ALLAH. Ketika teriakan terakhir itulah Nabi Ibrahim merasakan bahawa dia telah menyembelih Ismail dengan sempurna. Nabi Ibrahim menghabiskan hirisannya sambil memejam mata. Tak sanggup dia melihat anak kesayangannya terkujur di hadapannya.

Setelah yakin Ismail telah di sembelih, Nabi Ibrahim membuka mata. Tangannya belum dialihkan dari leher Ismail. Ismail juga membuka mata. "Ayah, kenapa berhenti? Saya belum merasa sakit. Perintah ALLAH mesti diteruskan ayah." Kedengaran suara Ismail perlahan.

Nabi Ibrahim merasa hairan mengapa leher Ismail tidak cedera langsung walaupun lehernya telah dihirs beberapa kali. Ismail langsung tak merasa sakit apa-apa. Sepanjang ayahnya menyembelihnya dia hanya berserah diri kepada ALLAH.

Ketika itulah ALLAH SWT menyeru Nabi Ibrahim;
"Wahai Ibrahim! Engkau telah menempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan."

ALLAH menggantikan Ismail dengan sembelihan yang lain. ALLAH SWT mengurniakan Kibas (kambing biri-biri berbulu tebal) yang besar dan gemuk kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim lantas memeluk dan mencium anak kesayangannya. Air mata bercucuran membasahi janggutnya. Air mata kegembiraan. Nabi Ibrahim merasa syahdu di hatinya.


(Biri-biri)

Berkat keyakinan Nabi Ibrahim kepada ALLAH dan juga keteguhan hati Ismail, ALLAH SWT menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang besar dan gemuk. Nabi Ibrahim kemudian menyembelih kibas tersebut lalu membawanya kembali kepada kaumnya yang sedang berehat di Mina.

"Hari ini adalah hari yang bertuah..." Nabi Ibrahim mengucapkan rasa syukurnya ke hadrat Ilahi.

WalilLaahil Hamd...

Sememangnya hari itu adalah hari yang sejahtera ke atas Nabi Ibrahim. Itulah balasan untuk orang yang berbuat baik. Beliau adalah Hamba ALLAH yang beriman. Ummat Nabi Ibrahim pun bergembira dengan kibas yang di bawa Nabi Ibrahim. Mereka meraikan kejayaan Nabi Ibrahim melaksanakan ibadah Korban itu dengan mengucapkan rasa Syukur ke hadrat Ilahi sambil memakan daging kibas yang besar itu. Begitulah juga asal usul bermulanya takbir hari raya, mengambil berkat sempena pengorbanan terbesar Nabi Ibrahim ini.

Keesokannya, orang ramai berpusu-pusu menuju Bakkah (Makkah). Mereka melambai-lambai Hajar Aswad, melakukan tawaf dan beribadah kepada ALLAH. Kemudian mereka melakukan Sa'ie (berlari-lari anak dari Safa ke Marwah). Nabi Ibrahim memerhatikan anaknya, Nabi Ismail dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya, beliau ialah seorang anak yang sabar. Cekal dengan ujian ALLAH.

Begitulah perintah ALLAH SWT telah disempurnakan oleh orang yang beriman. Perintah inilah yang telah kita warisi sampai hari ini. Begitulah berlakunya ibadah Korban yang terus kita laksanakan hingga hari ini. Yakinlah bahawa setiap pengorbanan itu mesti ada balasannya. Yakinlah bahawa haiwan yang kita korbankan itu sebenarnya akan mendekatkan lagi diri kita kepada ALLAH SWT sekiranya kita ikhlas dan tabah mengorbankannya.

Sekian sahaja dahulu daripada saya, semoga kisah pengorbanan terbesar Nabi Ibrahim Khalilullah dan Nabi Ismail Alaihis Salam ini menjadi iktibar bagi kita, keluarga kita dan seluruh ummat. Semoga ummat akhir zaman ini dapat mengambil iktibar pengorbanan suci ini. Berkorbanlah kalian demi kemenangan Islam...!!

WAllahuA'lam.


Dalam kesempatan yang tak seberapa ini, saya mewakili seluruh warga kerja bk.blogspot mengucapkan Salam Aidil Adha 1432 Hijriah kepada seluruh pembaca setia blog ini khususnya dan kepada semua ummat Islam di luar sana secara amnya. Dengan ucapan setulus hati, Minal Aidin Wal Faizin, semoga kita semua sentiasa dilindungi ALLAH SWT dan dilimpahi RahmatNYA senantiasa. Amiin...



*Mungkin ada yang beranggapan bahawa kisah ini adalah karut, rekaan, tahyul, berasal dari Israeliyat dan tidak ada dalilnya. Namun abaikanlah kata-kata sinis itu, bacalah dengan nama Tuhanmu. Ambillah ibrah (pengajran) daripadanya.

Kredit gambar-gambar diatas kepada Google dan Makcik Ani.






Sekian.
Wassalam.
'bradokapak'
18:58, 05/11/2011 bersamaan 10 ZulHijjah 1432H.

No comments:

Post a Comment