Hijrah Itu Pengorbanan


Assalamua'alaikum dan Salam Sejahtera. Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Segala Puji bagi ALLAH SWT Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan besar Baginda Rasulullah SAW, sekalian para Ahlul Baitnya, para Sahabatnya dan seluruh pewarisnya. Al-Fatihah...

Bertemu kembali bersama saya, OrangGombak dalam teratak maya ini bagi memperingati kedatangan Tahun Baru Hijrah yang Mulia ini. Pertama-tamanya saya memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis disini. InsyaALLAH, saya akan kembali menulis semula dalam teratak maya ini.

Syukur beribu-ribu syukur kita panjatkan ke Hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang menghirup udara dalam usia yang kian berkurangan ini. Pejam celik, sedar tak sedar, tinggal beberapa jam sahaja lagi kita sebagai ummat Islam akan bertemu tahun baru. Tahun baru yang tidak di sambut dengan bunga api, tak di sambut dengan konsert atau majlis-majlis keramaian yang melalaikan. Tetapi kita sambut ia dengan bacaan doa, Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun.

Sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini, marilah sama-sama kita menghayati ayat Suci Al-Qur'an dan sekalung amanat di bawah ini...

"Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam Bumi Penentuan itu fardhu pada sekalian Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar bicara, berbajiki Benua Penentuan itu" (Bacaan Batu Bersurat Terengganu 1303H)

Bagi merekalah Darus-Salam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan. (QS Al-An'am: 127)


(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke Darus-Salam, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). (QS Yunus: 25)


"Pada mula ALAM dicipta pada QALAM ALLAH berkata; taat AKU tiada hingga, engkau, jangan engkau berlaku dusta.

Kang, ini ILMU NYATA pada mata yang ada takhta, salinan dibuat di merata hanya SATU yang akan berkata.

Kang, lihat pada DIRI jangan lihat pada kiri. Lihat pada RASA lahir sudah apa JIWA.

Pikul akan segala RAHSIA, tetap akan pada si DIA, nanti berjumpa kita dijalan USUL terletak RAHSIA...

Utara jauh melangkau Rusia, Selatan merentas Nusantara... Nun disinun maghrib Arabia, Timur jauh di masyrik Papua...

Sekalian ALAM... bangkitlah dengan seruan Tuhan mu...!!

Marilah menuju Kejayaan... Marilah menuju Kejayaan...!!!
"

Marilah Menuju Kejayaan!! Marilah Menuju Kejayaan!! InsyaALLAH, semoga sekalung amanat di atas ini dapat menjadi pedoman buat kita semua, khususnya kita insan yang lemah ini yang sedang lelah mengharungi kehidupan akhir zaman. Semoga ia dapat menaikkan semangat kita sedikit sebanyak serta dapat menjadi suntikan untuk kita terus maju ke hadapan.

Perihal Hijrah pula, ketahuilah bahawa Hijrah itu adalah pengorbanan. Hijrah juga adalah perjuangan yang sudah pasti menuntut satu pengorbanan yang besar. Hijrah juga adalah persaudaraan dan dapat membentuk perpaduan. Untuk itu, senantiasa hijrahkan diri kita tak kira apa jua keadaan dan tempat sekalipun.

Misalnya, kalau dulu kita jarang bertegur sapa dengan orang yang kita selisih, maka kita hijrahkan diri kita agar selepas ini kita bertambah mesra dengan orang ramai. Andai kata kita banyak melakukan maksiat, kita hijrahkan diri kita sedikit demi sedikit untuk tinggalkan maksiat tersebut, berazam agar kita tak mengulanginya lagi. Mohonlah ke hadrat Ilahi agar kita diberikan kekuatan agar dapat terus kuat melaksanakan konsep hijrah sepanjang kehidupan kita. InsyaALLAH, ALLAH SWT itu Maha Pemurah dan Maha Pengasihan terhadap hambaNYA.

Apapun, petang nanti (26-11-2011M bersamaan 30-12-1432H) jangan lupa baca doa akhir tahun sebelum azan Maghrib dilaungkan. Elok juga jika kita baca surah YaSiin beramai-ramai sebelum membaca doa akhir tahun tersebut. Jangan lupa juga baca doa awal tahun setelah selesai solat Maghrib nanti. Mohonlah ke hadrat Ilahi agar tahun baru ini dapat kita lalui dengan penuh keberkatan dan keRahmatan dariNYA serta segala amal kita yang telah lalu dalam tahun lepas ini mendapat keberkatan dan diterimaNYA. Amiin Ya Rabbal 'Alamiin...

Sekalung nasihat di atas ini saya tujukan buat diri saya sendiri khususnya dan jua buat peringatan bagi kita sekalian para pembaca di blog ini. Moga-moga kita sama-sama beroleh manfaat daripadanya...

(Hijrah itu pengorbanan!)


Bacaan Doa Akhir Tahun:
Segala puji hanya bagi ALLAH SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda dan para Sahabatnya.

Ya ALLAH, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganMu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan tidak melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya ALLAH, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan Salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda dan para Sahabatnya. Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam. Amin...

Bacaan Doa Awal Tahun:

Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda dan para Sahabatnya.

Ya ALLAH, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta Salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda dan para Sahabatnya. Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian Alam. Amin...

Ya ALLAH, perkenankanlah! Amiin Ya Rabbal 'Aalamiin...

Segala yang baik datangnya daripada ALLAH SWT dan yang terkurang atau tersalah itu dari kelemahan saya sendiri jua adanya. Terima kasih buat semua pembaca.

Saya mewakili seluruh warga kerja bk.blogspot mengucapkan SALAM MAAL HIJRAH 1433 Hijriah kepada seluruh pembaca setia blog ini, juga buat seluruh ummat Islam di luar sana. Moga-moga tahun baru ini dapat membuka lembaran baru bagi kita serta dapat menjadi tonggak perubahan ke arah yang lebih baik dalam hidup kita. Amiin...


-Gambar di atas dikreditkan kepada Google dan amanat di atas saya petik dari kalam Tuan Shimon Hatzaddik.



Sekian.
Wassalam.
-Catatan OrangGombak,
3.45 petang, 30 ZulHijjah 1432H bersamaan 26 November 2011M.

1 comment: