Al-Kisah Letupan Bom 901 Di Jalan Duta


Bismillahirrahmanirrahim.

Pra-901


Malam itu, selepas menghadiri 'road tour' terakhir DS Anwar Ibrahim (DSAI) di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, kami terus ke sebuah restoran masakan tomyam di Jalan Raja Laut. Hanya sekitar jam 1.20 pagi baru kami ke Jalan Duta untuk melihat keadaan perkarangan mahkamah pada malam tersebut. Apa yang kami nampak, parking luar Masjid Wilayah telah penuh dengan kereta. Ada yang parking disitu dan tidur di dalam masjid dan ada juga yang tidur di dalam kereta masing-masing. Tujuan mereka datang awal ke tempat perhimpunan adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas pada pagi hari tersebut.

Dari situ saya terus memandu kenderaan peribadi kami menuju ke bangunan Matrade. Kelihatan 'parking lot' Matrade masih lagi kosong. Saya membuat pusingan U untuk kembali ke simpang menuju bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beberapa anggota polis sudah pun berada disitu membuat sekatan jalan dan meletakkan besi penghadang tidak membenarkan sebarang kenderaan untuk naik ke atas (bangunan mahkamah berada di atas tempat yang sedikit tinggi).

Saya terus ke hadapan dan putar semula untuk menuju ke pintu utama Masjid Wilayah. Pintu masjid sudah di kunci, hanya pintu kecil yang dibuka. Kelihatan ramai orang berkumpul di hadapan pintu dengan harapan pintu akan dibuka. Setelah beberapa lama saya dan ayah berputar-putar dalam kawasan tersebut, dari Masjid Wilayah ke Matrade, kemudian kembali ke Masjid Wilayah, akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Tiada sekatan jalan di mana-mana tempat selain di laluan menuju bangunan mahkamah dan di 3 pintu masuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Namun, ada sesuatu yang memelikkan saya. Dari sepanjang pemerhatian saya, sepanjang saya berada dalam kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, apa yang saya lihat adalah lambakan kon polis bersaiz kecil yang berwarna merah disusun selang beberapa kaki antara satu sama lain di sepanjang bahu jalan dalam kawasan Kompleks tersebut. Dari lampu isyarat pertama sudah kelihatan kon polis tersebut hingga kawasan berhampiran lampu isyarat di hadapan bangunan Matrade.

Paling memelikkan saya, kon-kon polis tersebut disusun selang beberapa kaki antara satu sama lain dan di letakkan di atas bahu jalan dan ada sebahagiannya diletakkan di tepi tiang lampu dan di bawah pokok yang terdapat disepanjang jalan. Pertama kali melihat situasi ini, kerana setahu saya kon-kon tersebut hanya digunakan untuk membahagi jalan atau untuk membuat sekatan lalu lintas. Tergerak dalam hati, mungkin esok baru pihak polis akan menyusunnya di tengah-tengah jalan tersebut atau mungkin juga kon ini diletakkan di bahu jalan untuk menghalang orang ramai daripada memarkir kenderaan mereka di bahu jalan. Satu lagi situasi yang agak pelik, pihak polis hanya berkawal di laluan masuk menuju bangunan mahkamah sahaja, tiada polis kelihatan di tempat lain ketika itu.

Pagi 901 saya dan rakan ke Taman Permata untuk bertemu seorang lagi rakan yang dalam perjalanan mengambil YB Shaari Sungib. Selepas itu kami terus ke Jalan Duta. Saya tekankan disini, hadirnya saya ke perhimpunan 901 itu bukanlah hendak mengetahui nasib DSAI, jauh sekali hendak menyertai kekecohan yang dijangka berlaku. Kerana saya sejak awal lagi sudah mengetahui keputusan mahkamah tersebut dan kekecohan-kekecohan yang akan berlaku.

Namun, saya hadir juga kerana desakan hati ingin tahu apa kekecohan yang bakal berlaku dan signifikannya kon-kon polis tersebut. Satu malam sebelum malam 901, ada seorang lelaki dari bangunan kerajaan sudah memaklumkan saya akan berlaku kekecohan dan percaturan keputusan mahkamah tersebut. Begitu juga dengan seorang rakan saya yang ayahnya adalah orang besar dalam PDRM memberitahu supaya tidak hadir kerana khuatir dengan kecederaan.

Pagi itu, apa yang memeranjatkan saya, semua kon-kon polis yang disusun rapi itu tetap masih ada pada kedudukan asalnya, namun kenderaan juga telah memenuhi bahu-bahu jalan. Bererti, kon polis tersebut bukanlah bertujuan menghalang orang ramai memarkir kenderaan mereka di bahu jalan. Hati saya terdetik, pasti ada perkara menarik nanti!



Letupan

Jam 9 lebih, keputusan mahkamah telah dikeluarkan dengan membebaskan DSAI dari pertuduhan liwat II. Semua peserta perhimpunan diminta untuk ke Masjid Wilayah bagi membuka laluan para ummat Islam yang hadir untuk sujud syukur. Namun, pihak polis telah menutup dan menghalang peserta dari masuk ke Masjid Wilayah kerana untuk mengelakkan provokasi berlaku antara peserta Himpun 901 dan ahli Perkasa dan Pekida yang berada di dalam kawasan masjid ketika itu. Maka, semua peserta Himpun 901 terpaksa berkumpul disepanjang jalan berhadapan Medan Selera Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Ini bererti semua peserta himpun tersebut berada hampir dengan semua kon polis yang telah disusun rapi tersebut!!!

(Kon inilah yang saya maksudkan. Abaikan kaki lelaki tersebut, tetapi lihatlah metaforanya)

Beberapa minit kemudian kelihatan polis trafik menutup laluan keluar dan masuk ke kawasan tersebut. Hanya yang ada alasan dibenarkan keluar masuk. Bererti semua peserta perlu tetap berada dalam kawasan tersebut. Para pemimpin di pihak PR terus-terusan memberi ucapan dari atas bumbung bangunan medan selera. Rakyat terus memberi perhatian sepenuhnya terhadap ucapan-ucapan tersebut.

Selang sejam setengah selepas itu, sekitar jam 10.20 pagi tiba-tiba kelihatan helikopter polis yang dari awal asyik berputar-putar di atas ruang udara Jalan Duta, berhenti di udara tidak jauh dari kawasan tersebut dalam jarak yang jelas untuk dilihat dari darat. Dan, satu dentuman yang sangat kuat menggegarkan kawasan tersebut. Ramai orang berlari, ada yang berlari untuk selamatkan diri dan ada yang berlari menyelamatkan kawan mereka.

(Letupan pertama berhampiran Matrade. Gambar kredit kepada semutmalaysia.blogspot)

Letupan pertama meletus di bahu jalan berdekatan Matrade di laluan menghala ke Masjid Wilayah. Sebuah kereta Kancil milik ahli PKR dari Pahang rosak kemek dan kenderaan Exco Selangor, Elizabeth Wong rosak sedikit di bahagian hadapan. Manakala sebuah Perodua Kembara rosak dibahagian 'bumper'. Difahamkan letupan pertama tidak ada kecederaan berlaku. Letupan berpunca dari bom buatan sendiri lengkap dengan jam jangka dan bahan peledak yang diletakkan di bawah kon polis tersebut.

Kon Polis??

Selang 20 ke 30 minit selepas itu, bom ke-2 meletup. Kali ini lebih hampir dari kawasan orang ramai berhimpun. Bom ke-2 ini meletup ditepi bangunan pencawang TNB ditepi simpang masuk jalan ke bangunan mahkamah. Saya yang ketika itu berada hampir 100 meter dari tempat letupan, dapat merasa gegaran letupannya ke jantung. Kesannya mencederakan 3 orang, beberapa buah motor yang diparkir berhampiran rosak sedikit. Antara mangsa adalah Sdr Zuhairi Mansor, AMK Parlimen PJS. Letupan kali ini berskala lebih besar dengan radius letupan sekitar 5 ke 10 kaki luas. Berbeza dengan letupan pertama yang agak kecil dan perlahan berbanding letupan ke-2.

Letupan ke-2 masih juga berpunca dari bom jangka yang diletakkan di bawah kon polis!!

Sejurus bom ke-2 meletup, pihak unit Amal terus melancarkan gerakan menterbalikkan semua kon polis yang ada. Yang pelik lagi, tiada satu polis pun yang melarang unit Amal melaksanakan kerja tersebut. Hasilnya semua kon dalam kawasan hadapan medan selera diterbalikkan. Namun, kon yang ditempatkan di belakang medan selera tidak pula diterbalikkan. Natijahnya, selang 30 minit selepas bom ke-2 meletup, bom ketiga pula meletup.

(Bom kedua meletup dekat pencawang TNB. Gambar kredit kepada semutmalaysia.blogspot)

Masih juga menggunakan cara yang sama dengan bom-bom sebelumnya, bom ke-3 meletup di belakang kawasan medan selera. Bererti, kon yang tidak diterbalikkan unit Amal tersebut masih mempunyai bom yang ditempatkan dibawah kon polis.


(Gambar salah seorang mangsa kejadian. Kredit kepada Harian Metro)


Konspirasi?

Pagi tadi (11-01-2012), saya terbaca kenyataan pihak polis Kuala Lumpur dalam akhbar UTUSAN yang mengatakan bahawa bom tersebut adalah bom jangka yang lengkap dengan jam jangka serta bahan peledak. Bagaimana pihak polis tahu secara detail bom tersebut? Hanya ada dua kemungkinan, pertama pihak polis sudah tahu bom tersebut dan rancangannya. Kedua, masih ada beberapa bom yang dijumpai oleh unit Amal dan diserahkan kepada pihak polis.

Apa yang mengherankan saya, pihak polis menafikan kon polis pada bom ke-2 bukan dari milik mereka. Kenyataan dalam UTUSAN menyebut bahawa kon tersebut yang berwarna jingga berbeza sedikit dari kon milik polis yang berwarna merah. Walhal, malam 901 saya lihat tidak ada kon lain selain kon polis dan semua kon disusun dalam keadaan sistematik. Difahamkan seawal jam 5 pagi pihak Polis sudah mula berjaga di kawasan sekitar Kompleks Mahkamah Jalan Duta tersebut.

Bererti, tidak mungkin ada pihak yang berani membawa kon baru dan meletakkan bom dibawahnya kemudian menempatkan kon bersama bom tersebut berhampiran simpang menuju ke bangunan mahkamah!! Sementelah, dikawasan itu terlalu ramai pihak polis berkumpul, namun sekitar masa letupan bom, rata-rata polis yang ada disitu semuanya berpindah untuk berkumpul di tengah-tengah simpang empat antara laluan ke bangunan mahkamah dan ke Masjid Wilayah.

Dari pemerhatian saya, kelihatan ada satu usaha sistematik bagi menjayakan letupan tersebut. Namun, tidak semua bom meletup, hanya 3 sahaja yang sempat diletupkan kerana peserta perhimpunan telah bersurai awal sekitar jam 11.30 pagi, awal sejam dari masa yang dijangka untuk bersurai.

Pandangan saya, perhimpunan 901 ini tak lebih daripada satu usaha menunjukkan kebijaksanaan masing-masing, baik pihak kerajaan, pihak institusi kehakiman, pihak DSAI dan PR serta pihak PDRM sendiri. 901 juga menjadi tempat mencuci nama masing-masing yang sudah terpalit kekotoran. Inilah perhimpunan pertama anjuran PR yang tidak diganggu oleh polis dan tiada sebarang tangkapan dibuat, bahkan kekasaran dari pihak polis juga tiada!!


Kesimpulan


Maka, disini saya menyimpulkan bahawa letupan bom yang berlaku ketika perhimpunan 901 itu adalah rancangan sesuatu pihak yang sudah dirancang rapi. Saya tidak menuduh mana-mana pihak. Namun, penglibatan pihak polis tidak dinafikan. Tetapi, mungkin juga pihak polis tidak terlibat seperti mana kenyataan Polis Kuala Lumpur dalam UTUSAN bertarikh 11 Januari 2012. Mungkin, kon polis tersebut secara tak sengaja telah dimenjadi tempat meletakkan bom buatan sendiri tersebut.

Dari kedudukan dan cara letupan serta bunyi bom-bom tersebut, menunjukkan bahawa letupan yang diinginkan adalah berskala besar dan juga diingini agar mencederakan ramai pihak. Sekurang-kurangnya merosakkan harta benda awam, agar mewujudkan situasi 'provokasi melampau' disamping mewujudkan 'simpati' bagi sesetengah pihak.

Bom-bom tersebut pula, di mungkinkan telah diletakkan seawal jam 12 pagi hingga jam 4 pagi dalam kon-kon yang terpilih. Kerana sekitar jam 5 pagi pihak polis telah mula berkawal disepanjang jalan dan kawasan mahkamah. Bererti, tidak mungkin ada pihak berani meletakkan bom atau 'plant bomb' pada waktu selepas jam 4 pagi ke atas melainkan pihak polis ada terlibat sama. Dimungkinkan juga, bom tersebut diletakkan sekitar jam 7 pagi dan ke atas. Kerana sekitar jam 7 pagi barulah kawasan tersebut mula dipenuhi orang ramai. Itupun tak sampai 5000 orang. Hanya sekitar jam 9 pagi ke atas barulah kehadiran semakin ramai, melebihi 10 ribu.

Jika kemungkinan ke-2 ini adalah benar, maka pihak anti-Himpun901 berat untuk dituduh sebagai perancang letupan bom tersebut. Kerana ketika itu, tidak mungkin pihak pro-PR atau pro-DSAI mempunyai masa yang cukup untuk 'plant bomb' ditempat-tempat yang dirancang teliti. Tidak mungkin juga peserta Himpun 901 berani ambil risiko untuk meletakkan bom ditempat-tempat tersebut kerana mereka sudah pasti tahu rakan-rakan mereka juga ada ditempat tersebut. Bererti, jika pro-Himpun901 yang melakukannya, mereka telah merancang membunuh rakan-rakan sendiri! Akal waras manusia biasa tak akan melakukan perakra ini! Melainkan, mungkin ada pihak pelampau-PR atau pelampau-DSAI yang berani melakukannya.

Jadi, letupan bom ini tidak lain tidak bukan hendak mencetuskan kekecohan antara banyak pihak. Jika tidak ada kekecohan pun, kurang-kurang tuduh menuduh antara rakyat, pihak polis dan peserta Qiyamullail Pekida-Perkasa sudah pasti berlaku. Maka, modus operandi peletus bom ini tidak lain tidak bukan hendak memburuk-burukkan pihak yang berhimpun 901 sekaligus mewujudkan situasi bersalah kepada pihak polis dan peserta Qiyamullail.

Selain itu, susunan bom-bom tersebut dan susunan kon polis juga melihatkan keadaan 'win-win situation' kepada pihak polis. Bererti, kemungkinan untuk pihak polis dituduh melakukan letupan adalah kecil. Jadi, tujuan sampingan adalah untuk meraih simpati bagi pihak kerajaan dengan mewujudkan keadaan dan tuduhan bahawa peserta pro-Himpun901 masih juga melakukan kekecohan walaupun mereka telah menang di mahkamah. Sekaligus, wartawan luar negara akan melaporkan berita seakan-akan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sedang bertukar menjadi Medan Tahrir di Mesir atau Homs di Syiria.

Namun, sebaik-baik perancangan mereka (orang yang merangka letupan tersebut), ALLAH lah yang lebih baik rancangannya. Hampir sahaja semua kemungkinan hasil dari letupan bom tersebut tidak berlaku. Kecederaan yang berlaku pun kecil sahaja, tidak seperti yang dijangka. Alhamdulillah, pihak polis dan peserta perhimpunan tidak berlaku agresif selepas bom meletup. Menandakan rakyat semakin matang menghadapi provokasi! Sekaligus menggagalkan rancangan si perancang letupan bom tersebut!!

Maka, sekarang anda sendirilah sebagai seorang rakyat yang menetukannya...


[Selingan] Ada 2 gambar yang menarik perhatian saya. Pertama, kehadiran Pak Teh Mat Isa atau Pak Teh Mahang dari Kedah ke Perhimpunan 901. Lebih menarik perhatian saya, Pak Teh adalah seorang guru tarekat Syatariah, dan adalah seorang yang mursyid. Kelihatan beliau telah berada dihadapan Bangunan Mahkamah Tinggi seawal jam 8 pagi dan berdiri di tepi tiang lampu ini selama beberapa jam juga.

Apabila orang tarekat pun turun padang, pasti ada petandanya. Mungkin, dengan kehadiran orang seperti Pak Teh lah yang telah menyelamatkan keadaan sedikit sebanyak, tanpa kita sedari. Kerana, orang-orang yang dibuka hijab mereka, tahu apa yang berlaku dan hati mereka tak henti dengan zikruLlah.

---------------------------------------------------
[Berita Terkini 12-1-2012] Pak Teh Mat Isa seperti dalam gambar di atas, telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 10.40 malam, 11-01-2012. Al-Fatihah ku hadiahkan buat Pak Teh Mat Isa Ansarullah, semoga ruhmu sentiasa dicucuri Rahmat ALLAH SWT. Jasamu tidak didendang, namamu tidak dikenal, kehadiranmu tak dihirau, berbahagialah disisi Tuhanmu. Amiin... [/Berita Terkini]
----------------------------------------------------

Seterusnya gambar kedua ini, menunjukkan seorang ahli parlimen yang dulu terkenal kataknya, turut hadir bersama-sama ke Himpun 901. Yang menariknya, dia hanya datang seperti orang biasa tanpa protokol, duduk bersama-sama rakyat dibawah...

[/Selingan]



p/s: Terkejut juga saya bila mendengar berita Pak Teh. Entah apa lagi yang berlaku lepas ni, entah siapa pula yang akan menjaga keadaan dalam setiap perhimpunan seterusnya. Entah siapa pula orang-orang tua kita yang akan pergi... Terasa rugi juga sebab tak sempat salam Pak Teh buat kali terakhir. Sebelum berundur, c
uba kalian semua lihat gambar Pak Teh dari jarak jauh, ada keajaiban yang akan terlihat nanti! T_T


*Kesemua gambar dirakam melalui kamera 'handphone' saya sendiri, melainkan dinyatakan.



Sekian dahulu laporan saya,
'bradokapak'
Pemerhati politik bebas.
3:33 pagi, 12-01-2012.

9 comments:

  1. Mungkin kerja unit pulis pletup?

    Kon-kon bersticker pulis tu tanda ada operasi "Drill".

    12 hingga 4 pagi siapa yg ada dalam sana kecuali pulis. Jam 5 pagi pulis shift mula patrol.

    Mana mungkin ini kerja satudua orang. Letak kon-kon yg banyak takkan pulis penyusun kon-kon tak perasan ada satudua kon yg sedikit berat rasanya. Apehal le kon ni berat sangat ye.

    Asemble bomasa yg mampu timing dgn baik, ingat senang nak asemble benda goblok ni. Buat sendiri ntah-ntah terbom sendiri baik suruh spesialist buat.

    Mungkin juga ada beberapa pulis berideologi komunis dlm unit pulis peletup. Mungkin diupah kontrak (tak perlu tau siapa bos yg mengupah) dan salahguna kemahiran yg dipelajari di akademi pulis.

    Jika benar bomo saiz kecil yg disimpan bawah kon boleh menyebab letup beso, siapa lagi yg ada kemahiran terperinci dan bahan-bahan rapi dgn kuantiti tepat selain unit pulis pletup

    Kalo orang kebanyakan beli benda-benda mentah di kedai pasti pulis dapat tau. Pekedai pun pelik kalo pembeli beli benda-benda pelik habis tu apesal pekedai jual bangang. Kes simbah asid pun sebab pekedai jual cuka industri

    Tapi kalo pulis yg menyiasat kes takkanlah taknak check stor sendiri. Mungkin ada satudua bahan yg disimpan dalam gudang pulis dah kurang. Cuba audit inventori tu bebetul mungkin memang mungkin betul ada yg betul-betul kurang

    Letupan yg terhasil berdasarkan dari 3 foto di atas pun asapnya nampak kemas berkepul dan macam hampir tiada asap hitam yg kelihatan. Ertinya pembakaran bahan bom tu berlaku dgn nisbah yg tepat. Ini kerja profesionol ni

    Sebagai penutup makanlah aiskrim.

    ReplyDelete
  2. peeesstttttttttt kenapa xtanya anwar dia pegi selatan thai itu hari buat apa??????selatan thai kan selalu bergegar dgn bommmmmmmmmmmmmmmmmmmmm kebabommmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmm

    ReplyDelete
  3. boleh lah nak kata apa pun ikut persepsi masing2. apa yang pelik kenapa sebok sangat nak himpun 901, nak demo sana nak demo sini. biarlah mahkamah buat kerja dia. penting sangatkah demo? datok harun dulu pun masuk jel jugak.. tak ada demo pun.

    ada rancangan besar untuk huruharakan negara macam arab sana... sampai sekarang tak aman2. siapa yang untung? kenalah pandang jauh2, takkan polis nak huruharakan negara sendiri... kalau adapun mesti ejen USA juga.. dahlah jangan main tuduh2, berdosa tak pasal.

    polis risik dah tahu pakar yahudi mendarat di singapura 2 hari sebelum 901. untuk apa???????

    ingatlah apa yang terjadi di Syeia, Mesir, Libya.... akan terjadi di Malaysia... maaf ni bukan gurauan atau persepsi.. mereka masih gagal sejak reformasi, bersih, lbgt dan 901, Allah tahu dan allah lindungi sehingga hari ini.

    jauhi demo kalau tak mahu tolong USA. Itu pesan ikhlas saya walaupun benci kerajaan.

    ReplyDelete
  4. gmbar pakteh dr jauh nmpak aperr???

    ko ni buat meremang bulu tenkuk aku jer time2 dinihari ni...

    xnmpak peper pown.. ckap laa..

    ReplyDelete
  5. dari jarak dekatpun boleh nampak, cuma kena peka ngan misteri alam.. betul tak brado.. thanx bro..

    ReplyDelete
  6. Salam pada semua,

    Kpd Anon 1:35,
    Terima kasih banyak2 atas pandangan saudara... Kami menghargainya. :)

    Kpd Sdr Ardinge,

    Terima kasih atas pandangan saudara. Pada pandangan kami pula, ada baiknya juga berlaku kekecohan di Malaysia ini. Kerana, dengan cara itu sebenarnya akan mempercepatkan lagi kebangkitan Islam. InsyaALLAH...

    Kpd Anon 6:28AM,

    Pd gambar Pak Teh tertera kalimah "LiLlah" yg membawa maksud "Kepada ALLAH"...


    Kpd Anon 9:31AM,

    Sama-sama. Alhamdulillah, kalau dapat perasan apa yg tertera pada gambar Pak Teh walau dari jarak dekat...

    ReplyDelete
  7. erkk.. x nampak pun dekat gambar Pak Teh

    ReplyDelete
  8. Salam semua,

    buat Anon diatas saya,

    Cuba saudara lihat dari jauh gambar Pak Teh. Atau lihat dari dekat dengan berulang kembali. Saya beri klu, terdapat Kalimah pada badan Pak Teh/pakaiannya...

    Semoga ketemu dgn apa yg dicari!

    Salam hormat. :)

    ReplyDelete
  9. Salam,

    Dekat tasbih,Lam,Lam,Ha?

    ReplyDelete