Mawar Merah, Puisi Valentine


Bismillahirrahmanirrahim...

Sekuntum mawar merah,
sebuah puisi untuk gadis pilihan;
oh... di bulan Februari,
mulanya cinta bersemi dan kehadiran
ribuan mimpi-mimpi,
oh... di bulan Februari.

Kemesraanmu dan cintaku,
berlagu dalam irama nan syahdu;
tapi mengapa hanya sementara,
cinta yang menyala padam tiba-tiba...


Lagu dan lirik
Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi hasil gubahan dan nyanyian kumpulan Alleycats memang hangat romantis pada satu masa dahulu. Mawar merah, selembar kertas yang tertuang kata puitis bersulam titipan rasa cinta, adalah perlambangan romantis menjelang Februari, tanggal 14 haribulan, ketika menjelang Valentine - juga semasa dan sesudahnya.

Tiada sesiapa yang tampil mempersoalkan kenapa lirik dan lagu ini hadir, malah menjadi siulan anak-anak muda pada saat itu. Salah satu puncanya - mungkin - ia tiada langsung ungkapan Valentine di balik lirik lagu itu. Sebagai seorang muslim, kita mesti ada daya ciuman yang kuat untuk mengetahui dan menghidu segala bentuk dan rupa paras fahaman cinta yang dipersembahkan di dalam acuan kebudayaan Barat, bahkan dalam kebudayaan kita juga.


Rome, sebuah kota, gedung kebudayaan Barat yang melahirkan banyak falsafah cinta, mungkin juga falsampah cinta. Rome, kota yang melahirkan kata
'romance', lalu diMelayukan maka jadilah ia perkataan 'romen'.Romance apabila diMelayukan maka jadilah ia suatu kata yang tidak senonoh; perlakuan di ranjang, lazimnya zina. Di kota Pompei, Rome misalnya, telah dimusnahkan Tuhan lalu penduduknya menjadi batu dalam keadaan melakukan senggama. Akibat keterlaluan dalam kegiatan seksual, akhirnya mereka pudar rasa cinta terhadap lawan jenis, lalu berlakulah pula rangsangan cinta nan ghairah atas sesama jenis.

Ketika kita menyebut bahawa daripada semangat akar kata 'Rome' itulah yang membentuk nilai dan makna 'Romance', maka kita bermaksud 'ibu' Barat (iaitu budaya cinta ala Rome) itu sendiri sudah jadi tempat tenggelam, hancur dan luluh binasa oleh sebab keterlaluan rakyatnya dalam aksi cinta berahi.

Terkini ada filem
remake Azura yang sudah pun ditayangkan, melangsungkan penggambarannya di kota Paris. Dahulu, penggambarannya - semasa filem Azura pertama - hanya berlegar sekitar Malaysia. Kini, oleh mekarnya daya tarik kita ke atas cinta bersalut berahi tajaan Barat itu, maka para penggiat filem, bahkan seni, mula terikut-ikut sehingga membikin plot cerita di Paris!

Khabarnya ia menelan belanja sebanya RM2 juta. Tetapi, ia belum mampu melawan belanja boros para koglomerat yang berada di atas tampuk pemerintahan negara kita. Apa pun, inilah punca kenapa wang mengalir ke tempat yang tidak sepatutnya. Cinta adunan Barat versi keberahian akhirnya membuat ummat rugi!

Akhirnya, seperti dendangan Alleycats, cinta Valentine di bulan Februari ini tidaklah kekal lama. Tidak kekal cinta itu bertambah apabila cinta dikembar dengan keghairahan dan kesyahwatan. Barat bertanggungjawab penuh kerana mengundang syahwat yang diadun dengan ramuan cinta yang asalnya suci itu.

Cinta tidak berkat inilah yang membuatkan pasangan bercinta, kemudiannya menyimbah asid ke wajah kekasih, membunuh pasangannya, bergaduh sesama kawan, bahkan ada yang membunuh diri! Paling tragis adalah pembunuhan yang melibatkan letupan bom C4! Na'uzubillah min Zaalik...

Akhir kalam, saya kongsikan bersama sebuah video
remake lagu Sekuntum Mawar Merah nyanyian oleh Alleycats buat tatapan para pembaca. Sekian dahulu bingkisan kali ini buat tatapan para pembaca, ketemu lagi di lain waktu dan masa. Salam hormat!






*Artikel ini di ubah suai dari karya sastera Hamzah Fansuri, kolumnis tetap sebuah akhbar tabloid mingguan tempatan.




Wassalam.
'bradokapak', 14 Februari 2012, 23:51.

1 comment:

  1. cinta org berilmu itu lebih mulia dari darah org mati shahid.

    ReplyDelete