Rencana: Hamzah Fansuri Bapa Penyair Melayu


Bismillahirrahmanirrahim...

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi taman;
Selamat membaca hamba ucapkan,
Hamba sekadar beri pandangan.

Hamzah Fansuri ialah seorang tokoh pemikir Melayu yang terkenal. Beliau juga merupakan ulama yang unggul dan penyair yang agung. Beliau dilahirkan di Bahrus, Aceh, Sumatera Utara, Indonesia pada akhir abad ke-16 ketika zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani iaitu sekitar tahun 1639 Masihi.

Beliau sangat rajin mengembara mencari ilmu dan pernah berkelana ke Makkah, Madinah, Kudus (Jawa), Pahang, Baghdad, Parsi, Siam, Ayuthia dan sebagainya. Dia menguasai Bahasa Arab, Parsi, Jawa di samping bahasa Melayu yang sememangnya bahasa ibundanya dari awal lagi. Bahasa Melayu yang digunakannya telah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.

Melalui syairnya kita dapat mengetahui bahawa beliau ialah pengikut Syeikh Abdul Qadir, seorang tokoh tasawuf atau tarekat (Toriqah atau jalan) yang amat terkenal di Baghdad. Syeikh Abdul Qadir yang berasal dari Jilan, Parsi (sekarang dipanggil Iran) yang melahirkan Tarekat Qadiriyah ialah ahli ilmu Fiqah dan tasawuf terkenal. Ini dijelaskan oleh Hamzah Fansuri melalui tulisannya, "Hamzah nan ilmunya zahir; Ustaznya Syeikh Abdul Qadir..."

Hamzah mempelopori fahaman itu hingga tersebar ke seluruh Aceh dan Kepulauan Melayu. Pada awalnya perkembangan fahaman ini mendapat sambutan yang amat baik daripada orang rama dan juga pemerintah, namun pada akhirnya fahaman ini mendapat tentangan hebat daripada beberapa orang tokoh dan orang ramai. Hal ini disebabkan oleh kata-kata Hamzah dalam karyanya Syair Perahu yang berbunyi;

Hamzah Fansuri di dalam Makkah,
Mencari Tuhan di Baitul Ka'abah;
Di Barus, di Kudus terlalu payah,
Akhirnya dapat di dalam rumah.

Tokoh agama yang menentang keras fahaman Hamzah Fansuri antaranya ialah Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Syeikh Nuruddin Ar-Raniri. Oleh sebab kedua-dua tokoh ini mempunyai pertalian erat dengan istana atau daripada kalangan yang berkuasa terhadap istana, mereka berjaya mempengaruhi Sultan Iskandar Tsani untuk memerangi fahaman Hamzah Fansuri. Dengan itu, segala ajaran suluk dan semua buku tulisan Hamzah Fansuri dan pengikut-pengikutnya telah diperintahkan supaya dibakar kerana semua ajaran Hamzah Fansuri itu dikatakan terkeluar daripada ajaran agama Islam.

Antara syair-syairnya yang terkenal adalah Syair Burung Pungguk, Syair Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir, dan Syair Perahu. Dalam syair-syairnya, kita dapat menikmati keindahan kata-kata yang menjadi pilihannya. Kata-kata biasa yang dibentuk begitu rupa menjadi bentuk-bentuk atau untai-untai yang indah seperti syair di bawah ini;

Inilah aman paduka cita,
Elok majlis dipandang mata;
Warnanya seperti desa gempita,
Tidaklah dapat ditetang mata.

Taman nan balai, banyak penggoda,
Di halaman balai panca persada;
Zaitun berpucuk akan perada,
Di sinilah kalbu pungguk tergoda.

Bulan pun tidak terkata-kata,
Tunduk berlinang airnya mata;
Sesak belah di dalam cita,
Hancur luluh rasa anggota.

Dalam Syair Perahu pula, Hamzah Fansuri mengibaratkan dirinya dan juga manusia lain sebagai sebuah perahu yang sedang beralun atau terapung-apung di atas air dalam perjalanan hidup untuk kembali kepada Tuhannya. Beliau menasihatkan anak-anak muda agar menjaga dan mengawasi perahu masing-masing supaya tidak hanyut atau kebocoran dalam perjalanan, seperti katanya;

Wahai muda, kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu;
Tidaklah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal diammu.

Pengkaji-pengkaji sastera Melayu menganggap bahawa Hamzah Fansuri sebagai "Bapa Penyai Melayu". Kebolehannya dalam memilih kata-kata, menyusun rangkap dan bait-bait syair, menarik perhatian ramai untuk mengkaji syair-syairnya, termasuk pengkaji-pengkaji dari Barat seperti H. Overback dalam Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic, Society, C. Hooykaas dalam Literaturr in Maleischen Indonesiach, Sultan Takdir Alisjahbana, dan lain-lain.

Selain menulis syair, Hamzah Fansuri juga menghasilkan beberapa prosa klasik yang agak terkenal, iaitu Syarabat Al-Asyikin (Minuman Orang yang Asyik), Asrar Al-Arifin (Rahsia Orang Arif) dan Hujjat Al-Siddiq li-dafi Al-Zindik (Hujjah Orang Cerdik Menentang Orang Zindik).

Hasil prosa Hamzah Fansuri itu bukan sahaja menggunakan judul dalam bahasa Arab, malah di dalamnya juga terdapat banyak kata Arab. Oleh itu, karangannya tidak mudah difahami oleh mereka yang tidak mengetahui bahasa Arab. Tambahan lagi aliran yang dibawa oleh Hamzah ialah aliran Sufi Tarekat Wujudiyah.

Ketiga-tiga hasil penulisan ini banyak mengajar pembaca berfikir dengan mendalam, kerana itu tulisannya banyak mengandungi ibarat dan kias. Oleh sebab banyak orang yang tidak memahami pandangan Hamzah, fikiran beliau ditentang oleh ulama yang konservatif seperti Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel. Dalam karya-karya Hamzah Fansuri, banyak terdapat tokok tambah daripada pandangan gurunya, kerana itulah karya-karya beliau dianggap menyeleweng daripada ajaran tarekat guru-gurunya.

Seperti yang dikatakan tadi, dalam karya-karyanya bahasa Arab lebih banyak digunakan daripada bahasa Melayu, baik dalam karya prosa mahupun karya puisi. Hal ini disebabkan beliau berpeluang pergi ke Makkah dan ke Madinah untuk mempelajari ilmu daripada tokoh-tokoh agama di sana. Walaupun demikian, beliau banyak memberikan sumbangan yang sangat berguna kepada perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Sebelum ini bahasa Melayu seolah-olah tidak mampu untuk mengembangkan ilmu dan pemikiran baharu.


(Rencana ini diubahsuai daripada Nur Dzai 1987. "Hamzah Fansuri Dianggap Bapa Penyair Melayu" dalam Berita Harian 19 Februari.)
-Ilustrasi gambar diatas adalah hasil imiginasi pelukis semata-mata, bukan menggambarkan Hamzah Fansuri yang sebenar.


Intaha,
-bradokapak,
28 September 2011, 3.07 petang.

4 comments:

  1. Terima kasih atas artikel ini.


    ~Srikandi

    ReplyDelete
  2. Salam buat Srikandi,


    Sama-sama kasih. Terima kasih juga kerana sudi bertandang ke mari. Teruskan penulisan sdri, moga2 bermanfaat utk orang lain.


    Sekian.

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikumussalam wbt.

    Silakan... :)

    ReplyDelete