Tahun Baru 2013, Kemalangan, 40 Hari Setelah Asyura, Buku Pertama, Himpunan KL112 dan HIKMAH 3.0

Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala Puja dan Puji ku panjatkan ke Hadrat Ilahi atas segala limpah kurniaNYA sepanjang tahun-tahun yang sudah berlalu ini. Syukur tak terhingga hamba-MU ini persembahkan kepadaMU Ya ALLAH, Tuhan Sekalian Alam, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani serta Maha Pengampun. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad Al-Mustafa, serta ke atas sekalian Itrah dan para pewaris Ahlul Baitnya yang benar berada di atas landasan perjuangan ini. Salam kepada sekalian para Sahabat Rasulullah SAW dari awal hingga akhir. Semoga kesejahteraan senantiasa memayungi kita ummat Muhammad yang hidup di akhir zaman ini, agar berkekalan kita dalam nikmat Islam, Iman dan Ihsan. Al-Fatihah....

Pertama-tamanya sebelum terlambat hamba ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2013 kepada sekalian warga pembaca blog ini serta juga buat seluruh ummat manusia di serata dunia. Kepada yang menyambutnya dalam keadaan yang baik, syukur ke HadratNYA. Dan kepada yang menyambutnya dalam keadaan yang kurang baik, diharap dapat di perbaiki di masa yang akan datang. Janganlah kita mensia-siakan umur kita selagi mana kita ada waktu dan kesempatan untuk berlaku baik dan adil dalam kehidupan kita.


Sambutan Tahun Baru Ambang 13

Dalam kesempatan ini hamba ingin berkongsi sedikit suka dan duka serta pahit dan manis sepanjang beberapa hari tahun baru ini. Pertamanya hamba menyambut tahun baru 2013 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bersama-sama dengan program Ambang 13. Hamba datang ke majlis tersebut dengan beberapa orang rakan untuk sama-sama duduk dan mendengar beberapa pengisian agama oleh Al-Fadhil Ust Azhar Idrus dan Al-Mukarram Syeikh Ali As-Sabouni yang didatangkan khas bagi memberikan tausyiah kepada para hadirin yang majoritinya adalah anak muda.

Menariknya adalah, kami tiba sangat lewat iaitu sekitar jam 10.30 malam. Namun entah macam mana kami terus berjalan di celah-celah kesesakan orang ramai hingga begitu hampir dengan tempat hadapan. Entah macam mana ada beberapa orang anggota Unit Amal telah membenarkan saya dan rakan-rakan untuk maju lebih hadapan. Alhamdulillah saya diberi peluang untuk duduk di bawah kemah VVIP bersama delegasi-delegasi lain dan beberapa orang kawan saya lagi berada di hadapan sekali, betul-betul di bawah stage.

Lebih menarik, ketika itu acara santai sedang berlangsung dan berada di atas pentas adalah Ust Azhar Idrus bersama dua orang tetamu. Seorangnya adalah Wan Zachk pemain bola sepak pasukan Harimau Muda Malaysia dan seorang lagi wanita yang saya lupa namanya adalah pelumba motorsikal nombor 1 wanita Malaysia. Beberapa minit kemudian santai terpaksa dihentikan bagi menghormati kedatangan Al-Mukarram Syeikh Ali As-Sabouni

Antara isi kandungan yang Syeikh sampaikan adalah menyeru agar anak-anak muda bangkit bersama-sama Agama Islam, agama yang benar ini bagi menghapuskan segala kezaliman dan halangan bagi menegakkan agama ini. Syeikh juga menyebut bahawa kehadirannya adalah dari keturunan As-Sabouni yang bererti sabun kerana leluhurnya dahulu di Syria adalah pembuat sabun terkenal. Tetapi Syeikh tegaskan bahawa dia bukanlah lagi seorang pembuat sabun pencuci, tetapi kini dia merupakan seorang tukang pembuat sabun pencuci hati manusia, bukan sabun pencuci baju atau sebagainya seperti leluhurnya dahulu. Syeikh juga menyatakan bahawa usianya kini sudah 83 tahun dan dia memohon doa agar usianya dipanjangkan sedikit masa lagi sehingga 120 tahun kerana dia masih memerlukan masa untuk memperbaiki dirinya dan mahu melihat Islam kembali tertegak di dunia ini.

Antara lain Syeikh juga menyebut bahawa Ustaz Azhar Idrus adalah bersama orang-orang yang benar. Dan Syeikh berkata juga, beruntung bagi orang-orang yang suka duduk dalam majlis ilmu dan beruntung orang yang duduk bersama-sama orang yang benar. Syeikh menyeru agar anak-anak muda kembali kepada Islam dan mengamalkannya dengan baik. Syeikh terpaksa mengakhiri tausyiahnya lebih awal kerana kepenatan dan perlu memberi laluan kepada acara-acara lain yang mengambil tempat di atas pentas. Seusai tausyiah, Syeikh terus turun dan dibawa ke khemah VVIP. Kebetulan yang sangat kebetulan, tempat saya duduk itu adalah betul-betul di hadapan sedikit sebelah kiri kerusi yang Syeikh duduk. Alhamdulillah moga-moga beroleh berkahnya. Hampa mendoakan agar doa dan hajat Syeikh dikabulkan oleh ALLAH SWT.




Kemalangan Ngeri

Tidak mahu bercerita panjang, seterusnya hamba hendak masuk cerita duka pula, iaitu suatu kemalangan yang berlaku pada 3 Januari 2012 di daerah Dungun. Kemalangan ini melibatkan kenderaan yang hamba pandu ketika hendak bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. Namun kenderaan yang hamba pandu gagal dikawal dengan baik lalu melanggar tiang lampu jalan di bahu kanan jalan mengakibatkan kenderaan tersebut terbalik tayar ke atas. Namun, syukur setinggi-tinggi syukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan Limpah KurniaNYA juga kami semua yang menaiki kenderaan tersebut terselamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan teruk sahaja. Hanya kenderaan sahaja yang rosak teruk dan ada sedikit barang yang di bawa tidak dapat diselamatkan.


Selepas selesai membuat laporan polis dan menguruskan urusan-urusan berkait yang lainnya, hamba meletakkan kederaan tersebut di sebuah bengkel di Dungun buat sementara waktu sementara menunggu surat-surat polisi insurans kenderaan tersebut tiba ke Kuala Terengganu. Sekarang kami sudah selamat tiba di Kuala Terengganu tanpa sebarang kecederaan. Alhamdulillah dan Syukur sekali lagi. Dalam kesempatan ini juga hamba ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua insan yang telah bersusah payah menghulurkan bantuan kepada kami mangsa kejadian. Hanya tinggal giliran untuk memikirkan masaalah membaiki kenderaan sahaja. Setelah dikira kos anggaran baik pulih, adalah juga sekitar RM3500. Itu pun kalau polisi insurans tidak cover kemalangan atas kecuaian sendiri. Hamba masih menanti polisi itu tiba untuk dipertimbangkan. Sekiranya ada yang sudi menghulurkan bantuan atau memberi pandangan, hamba berbesar hati untuk mendengarnya. Nyiur tapak tangan hamba tadahkan....



Seterusnya kita beralih ke topik yang lebih besar. Seperti tidak lengkap sekiranya tahun baru ini tiada apa-apa yang besar buat tatapan para pembaca di blog ini. Pertamanya hamba ingin menyenaraikan secara ringkas beberapa tarikh-tarikh yang boleh dikira agak penting dalam bulan Januari tahun ini. Sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh sama-sama kita teliti tarikh-tarikh yang berikut ini....

3 Januari 2013, 40 hari setelah tarikh 10 Asyura.

7 Januari 2013, Buku pertama tulisan editing secara berkolaborasi pertama dari saya.

12 Januari 2013, Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112.

27 Januari 2013, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH III) kali ke-3.


40 Hari Setelah Asyura


Kita pergi satu persatu dari tarikh-tarikh yang dinyatakan di atas. Pertamanya, tarikh 3 Januari 2013, iaitu 40 hari setelah tarikh Hari Asyura. Umum mengetahui bahawa Asyura ini sinonim dalam dunia Islam kerana terlalu banyak peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di dalamnya. Dan kerana itu juga kita Ummat Islam digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa pada hari tersebut lalu ditambah satu hari lagi pada sebelum atau selepas tarikh 10 Muharram tersebut. Antara kenangan yang paling besar yang berlaku dalam tarikh tersebut adalah hari terjadinya tragedi Karbala yang mana telah mengorbankan ramai Ahlul Bait Nabi SAW serta para pewaris dan pengikut mereka di medan tempur Karbala, Iraq.

Umum juga mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam hadisnya menyatakan bahawa suatu hari kelak, ummat ini akan memanah anak ini (merujuk kepada Sayyidina Hussain RA) di tempat ini sambil Rasulullah SAW mencium beberapa anggota tubuh Imam Hussain RA sebagai tanda kasihnya Rasulullah SAW kepada cucu Baginda tersebut. Namun begitulah, ketentuan Ilahi lebih menyayangi cucu Baginda SAW dengan diberi cubaan dan dugaan serta ujian yang sangat besar. Ummat Atuknya sendiri yang membunuhnya, juga atas nama agama yang disampaikan oleh Atuknya.

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW serta para Ahlul Baitnya terutama kepada As-Syahid Imam Hussain Alaihis Salam wa Ardahu. Semoga kita semua beroleh manfaat daripada kisahnya. Al-Fatihah....



Kita tinggalkan isu Karbala ini kerana apa yang sebenarnya ingin saya beritahu adalah pada tarikh 3 Januari 2013 tersebu satu perkara baru dan rekod baru telah tercipta. Iaitu suatu perhimpunan dan perarakan besar-besaran telah berlaku dan berlangsung pada tarikh tersebut. Perarakan seramai lebih 21 juta ummat Islam dari serata negara Islam yakni dari Najaf, Pakistan, Afghanistan, Iran, Turkey, Khorasan, Bahrain, Lubnan, US, London dan banyak lagi telah berlangsung. Semua perarak telah berarak dari luar bandar Karbala lalu memasuki kawasan Kota Karbala bagi menziarahi Makam Imam Hussain As-Syahid Alaihis Salam yang berada di dalamnya.

Perarakan ini adalah suatu perarakan terbesar aman yang terbesar pernah dicatatkan dalam rekod manusia yang berlangsung dalam tempoh satu hari sahaja. Maha Suci ALLAH SWT yang telah menghimpunkan jutaan manusia ini hanya dengan satu perkara sahaja, iaitu untuk memperingati cucunda Kekasih AgungMU, Imam Hussain As-Syahid. Hanya setelah 1373 tahun setelah tragedi ini berlalu, inilah kali pertama seramai hampir 25 juta (menurut sumber dari Iraq) telah berkumpul dan berarak ke Karbala bagi menziarahi cucunda Kekasih Agung, Imam Hussain As-Syahid. Labbaika Ya Hussain, Salaamun 'alaika Bi Maa Sabartum...

Di saat majoriti ummat Islam dunia masih belum membuka mata dalam isu perbezaan mazhab terutama antara Sunni-Syiah-Salafi-Wahabi ini, nampaknya ramai juga yang sudah membuka mata dan mahukan penyatuan ummah berlaku atas nama Islam dan kalimah Tauhid, Laa Ilah Ha Illa ALLAH Muhammad Rasulullah SAW seperti apa yang berlaku di Iraq ini. Mereka berhimpun bukan atas ketaksuban mazhab. Mereka berhimpun bukan atas nama Syiah. Tetapi perhimpunan mereka adalah satu, untuk memperingati syahidnya cucunda kekasih Agung, Imam Hussain Bin Ali As-Syahid. Sedang kita ummat Islam di negara-negara lain, majoritinya sedang dan akan berhimpun untuk menuntut tuntutan dunia, berhimpun untuk menyatakan rasa ketidakpuashatian kita terhadap pemerintah, untuk menuntut suara kita didengari, dan lebih parah lagi apabila berhimpun untuk melakukan rebel terhadap negara dan saudara sesama Islam sendiri. Ini sebenarnya suatu ancaman besar terhadap dunia Islam dan terhadap agama Islam itu sendiri secara tidak langsung. Maka, dari sinilah, secara halusnya ejen-ejen Yahudi berjaya melaksanakan agenda mereka iaitu pecan dah perintah bagi menjayakan New World Order mereka, iaitu One World Order yang mana mereka menjayakannya dengan adanya jumlah yang besar proksi-proksi mereka dalam setiap kepimpinan dunia, baik kepimpinan Islam waima kuffar.

Sebelum mengakhiri topik ini, dengan tegas saya nyatakan disini agar kita berfikir secara terbuka atas dasar sayangkan Islam bukan atas dasar bermazhab dalam hendak membicarakan isu ini. Sila ambil manfaat dan elakkan dari mencari perpecahan dari isu yang saya timbulkan ini. Semoga sedikit pencerahan yang saya beri memberi input berguna bagi si pencari kebenaran. Harap juga isu Sunni-Syiah tidak berbangkit dalam hal berkait. Jika berbangkit juga, mohon agar tidak berlaku provokasi.


Buku Pertama

Seterusnya kita pergi ke nombor yang kedua iaitu tarikh 7 Januari 2013. Sebenarnya saya sudah dalam proses yang lama menyiapkan beberapa buah buku dan novel untuk diterbitkan. Kerana itu sebelum ini saya agak lama tidak menulis di dalam blog ini. Dan hasilnya, Alhamdulillah sempena tahun baru ini novel pertama saya sudah berjaya dicetak dan insyaALLAH jika tiada aral melintang akan menemui pasaran dalam tarikh 7 Januari nanti. Untuk pengetahuan para pembaca, novel ini adalah bergenre fiksi dan fantasi. Saya menulis tentangnya bukanlah 100%, tetapi kerana ini cubaan pertama, jadi saya menulisnya hanya sedikit sahaja selebihnya mendapat bantuan daripada guru bahasa Melayu saya semasa sekolah dahulu. Dan idea asal adalah dari beliau serta cover editing adalah daripada anak beliau juga. Saya bertindak sebagai penulis sampingan dan editor tulisan sahaja.

InsyaALLAH karya 100% penuh saya akan menemui pasaran dalam pertengahan atau hujung tahun ini, sekiranya ada rezeki dan tiada halangan. Tajuk yang akan saya bawakan pun lebih serius dan mendalam, bukan seperti tajuk di atas ini. Seperkara lagi hendak dinyatakan bahawa novel di atas ini ditulis antara lain sebagai tanda protes kami kerana ketidak terimaan para pembaca dan peminat novel di negara ini terhadap genre pengkajian akhir zaman. Dan kami memilih untuk cubaan pertama ini dengan menulis novel bergenre fiksi dan fantasi ini. Diharap respons dari para pembaca adalah baik dan kami juga berharap ada kritikan yang membina dapat kami peroleh kelak.

Sekiranya ada peminat dan kaki novel disini, bolehlah mendapatkan buku ini kelak setelah berada di pasaran atau boleh terus membelinya daripada saya di sini pada harga istimewa. Harga asalnya adalah RM17.80 dan harga istimewa belum saya nyatakan. InsyaALLAH akan dibincangkan kelak dan setelah persetujuan dicapai, kami akan nyatakannya disini. Khusus buat para pembaca, termasuk kos penghantaran dan tandatangan penulis-penulisnya sekali!


Himpunan KL112

Tanpa perlu berbicara lanjut tentang novel tersebut yang insyaALLAH kelak akan saya buat reviewnya sendiri, sekarang kita beralih kepada isu yang sedikit hangat iaitu KL112 yang dirangka dan dijadualkan berlaku pada tarikh 12 Januari 2013 nanti. Iaitu sabtu minggu hadapan. Sebenarnya KL112 ini adalah suatu himpunan besar-besaran yang akan menggabungkan hampir lebih 80 badan NGO seluruh Malaysia serta cabang-cabang Parti-parti Pakatan Rakyat yang mana pemimpin-pemimpin mereka akan bersama-sama rakyat dari segenap penjuru bagi memastikan program dan perhimpunan ini berjalan dengan jayanya.

Mereka akan berkumpul di Stadium Merdeka pada jam 2 petang, Sabtu minggu hadapan. Sasaran mereka mengumpulkan seramai yang boleh ummat Malaysia bagi mencapai hasrat hendak menghimpunkan 1 juta rakyat berarak di jalanan. Secara logiknya seramai 1 juta itu sangatlah tidak muat jika hendak dihimpunkan di dalam sebuah Stadium lama yang kecil saiznya. Jadi sudah pasti limpahan orang ramai itu akan membanjiri seluruh ibu kota Kuala Lumpur yang sememangnya sudah sedia sesak oleh jutaan manusia juga. Jika dikira dan ditambahkan peserta perhimpunan dari luar yang hadir, dan ditambah dengan penduduk dan pekerja yang memang berada di dalam Kuala Lumpur, sudah pasti jumlahnya akan melebihi 1 juta orang sekiranya matlamat mengumpulkan hampir 1 juta peserta luar itu berjaya terlaksana. Ini akan menjadi suatu rekod terbaru di Kuala Lumpur setelah perhimpunan paling besar dalam BERSIH 2.0 yang lalu.

Secara kasar lagi, perhimpunan kali ini KL112 adalah rentetan dari beberapa perhimpunan yang telah dilakukan pada tahun 2012 nanti. Antaranya iaitu BERSIH 1.0, BERSIH 2.0, BERSIH 3.0, Stop-Lynas, Tuntut Royalti (R), Himpunan Felda dan beberapa lagi gabungan-gabungan perhimpunan termasuklah Solidariti Mahasiswa Malaysia dan Solidariti Anak Muda Malaysia. Secara kasar lagi, ada bau-bau rebel dalam perhimpunan kali ini dalam skala yang lebih besar, terancang, teratur dan penuh agenda masing-masing  dan agenda pertubuhan atau parti tersendiri.

Jadi, apa yang saya risaukan disini adalah kita terjebak dengan kebangkitan palsu yang akan mendahului kebangkitan Islam yang sebenar. Fasa kebangkitan ini sebenarnya akan melalui fasa kebangkitan palsu terlebih dahulu, barulah kebangkitan Islam sebenar akan bermula. Sepertimana filem-filem yang ada watak superhero, hero tak akan muncul sebelum adanya watak anti-hero yang bermaharajalela. Disini saya harap anda semua dapat fikirkan natijah masa hadapannya kelak setelah dan pasca serta rentetan KL112 ini nanti.

Semoga kita semua tidak terjebak dengan kebangkitan palsu baik di negara kita waima di negara luar. Sesungguhnya dunia sekarang benar-benar sedang dalam proses hendak menghala World War III atau Perang Dunia Ke-3. Yang mana akan mempertemukan blok Barat dan blok Timur, sementara blok Tengah atau Teluk yang rata-rata sekarang ini mereka sudah jatuh dan ada yang telah dengan nyata menjadi sekutu US-Israel. Fitnah Dajjal semakin bermaharaja lela. Agenda One World Goverment  dan  New World Order mereka nampaknya sedikit masa sahaja lagi akan tercapai. Yahudi memerintah dunia ini melalui proksi-proksi mereka. Jadi disini saya menyeru kepada mereka-mereka yang hendak dan akan turun pada KL112 nanti, agar tidak tertipu dengan mainan muslihat mana-mana proksi yang berkepentingan kepada mana-mana kuasa luar dan agar kalian lebih berwaspada supaya tidak termakan hasutan dan provokasi yang bakal dicetuskan nanti. Berhati-hatilah saudara-saudaraku.....! Permainan di negara kita sudah bermula!!!


HIKMAH 3.0

Untuk itu saya hendak beralih topik kepada topik terakhir kita disini. Iaitu suatu lagi himpunan yang saya kira bukanlah suatu ancaman kepada negara. Ini jelas kerana matlamat mereka bukan mahu menuntut apa-apa yang berkait dunia pun, melainkan hendak mengembalikan Khilafah di muka bumi ini serta mendapat sokongan padu dari semua ummat Islam bagi menegakkan semula Panji Hitam di bumi Nusantara ini. Himpunan yang saya maksudkan adalah Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) yang akan berlangsung buat kali ke-3 di Lumut, Perak pada 27 Januari 2013 nanti.

Tentang acara ini, saya tidak mahu bercerita panjang walaupun saya merupakan antara yang tersenarai dalam nama-nama penting bagi program, tetapi atas beberapa sebab dan kekangan yang berlaku ke atas saya dalam beberapa hari ini jadi saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap agenda acara HIKMAH 3.0 ini. Jadi saya tidak mahu ulas panjang setakat ini. Cukup saya nyatakan bahawa perhimpunan ini adalah bagi menghimpun seluruh keturunan Ahlul Bait Baginda Rasulullah SAW, para keturunan-keturunan Sultan atau Raja-raja Melayu lama, keturunan-keturunan Pendekar dan mana-mana peminat atau pengkaji Akhir Zaman.

Antara nama-nama besar yang akan menghadirkan diri antaranya adalah Al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid yang akan memimpin sendiri majlis Maulid yang akan diadakan pada hari tersebut, dan beberapa nama lain yang saya tak dapat senaraikan disini. Dan insyaALLAH sekiranya kehadiran melebihi jangkaan, dijangka Sultan Azlan Shah juga akan mencemar duli untuk menghadiri majlis ini. Ini kerana jemputan rasmi telahpun diberi kepada Tuanku Sultan Perak.

Secara rasminya, saya menjemput semua dan seluruh pembaca blog ini tak kira bangsa apa sekalipun terutamanya yang berugama Islam untuk hadir dalam perhimpunan ini bagi memeriahkan lagi majlis serta membincangkan bersama suatu wacana besar untuk kebangkitan akhir zaman. Untuk maklumat lanjut boleh klik disini: INFO

Begitu sahajalah dahulu seberapa catatan yang dapat saya sampaikan disini. Segala salah dan silap harap dapatlah diampunkan dan mohon ditunjukkan untuk penambahbaikan. Segala salah silap datangnya dari diri saya dan yang baik-baik itu daripada ALLAH SWT, Tuhan Yang Empunya Segala Ilmu. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW, para Itrah Ahli Baitnya dan seluruh sahabat serta pewarisnya. Semoga kita semua beroleh manafaat dan berjaya meraih petunjuk serta hidayah wat taufik daripadaNYA. Allahumma Amiin....



Sumber-sumber berita:
-Blog-blog Pro-Pakatan Rakyat.
-Blog-blog NGO berkait KL112.
-Jemputan-jemputan Rasmi ke KL112.
-Tuan Merah Silu.
-Cik Anne Khairani.
-Jemputan Rasmi ke HIKMAH 3.
-Page Al-Mahdi, Iraq.
-Dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, layak menerima kredit daripada saya atas kejayaan artikel ini diterbitkan disini.


p/s: Sebenarnya tuan empunya blog ini telah menyambut hari jadinya pada 2 Januari!


Sekian,
Wassalam.
-Catatan ditulis oleh Bradokapak,
-Diterbitkan oleh Orang Gombak.
10.49 pagi, 5 Januari 2013.


3 comments:

  1. Assalammu'alaikum...wrt bradokapak.

    Selamat Hari lahir....

    Info yang sememangnya baik dan bermanafaat...
    Terima kasih...

    Hamba orang pertama kat sini nak beli novel Cerita Cinta Larangan.... Berapa pun harganya OK... Hamba mmg suka membaca novel mcm tu sejak dahulu lagi... :)

    InsyaAllah... Hamba akan hadir HIKMAH 3 tapi tak akan hadir ke KL112....

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam wbt.

    Terima kasih atas ucapannya. :) Terima kasih juga sudi membaca disini.

    InsyaALLAH nanti kalau sudah siap dicetak akan saya maklumkan tentang buku tersebut disini ya.

    Jemputlah hadir ke HIKMAH 3.0 nanti. Perpanjangkan juga jemputan tersebut kepada sanak saudara, kawan-kawan dan kenalan-kenalan. :) Sama-sama kita meramaikan majlis yang baik seperti itu.

    Sekian, terima kasih.
    Wassalam.

    ReplyDelete
  3. wujud juga program seperti HIKMAH? saya sangkakan perbincangan ttg topik sebegini hanya di medan maya semata. btw, ketingggalan rupanya saya

    ReplyDelete