Sekilas Dua Ribu Sebelas


Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera. Bertemu lagi kita di penghujung tahun yang penuh suka dan duka ini dalam teratak maya yang tak seberapa ini ketika masa sedang mengejar kita yang kesuntukan waktu ini.

Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum tahun 2011 akan melabuhkan tirainya. Adakah sempat untuk kita bertemu tahun baru 2012 nanti? Sudah semestinya tahun 2011 ini meninggalkan 1001 kenangan buat kita semua, tak kurang juga kenangan manis dan pahit yang telah kita lalui. Ianya pasti akan mengukir sejuta senyuman yang bermakna bagi kita tatkala mengenangkannya kembali. Mungkin, ada yang akan bersedih dan menitiskan air mata andai kata kenangan pahit yang menerjah minda ketika itu. Itu semua sebenarnya mengajar kita erti sebuah kehidupan yang mana ianya lahir dari sebuah pengalaman yang terbina utuh lama sebelum kita mengenangkannya.

Bagi saya, sebagai seorang blogger separuh masa sudah pasti mempunyai kenangan tersendiri dalam tahun 2011. Kenangan manis dan pahit ketika hendak menulis sesebuah artikel, kenangan ketika menjelajahi sendiri tempat-tempat yang ingin dikisahkan dan pelbagai lagi kenangan yang melahirkan sejuta kemanisan buat saya.

Namun, kali ini bukanlah kehadiran saya disini untuk menulis tentang kenangan-kenangan saya dalam blog ini. Tetapi, marilah sama-sama kita imbas kembali segala sorotan tahun 2011 ini yang telah kita lalui bersama dengan penuh makna. InsyaALLAH saya akan sorotkan seberapa ringkas dan padat yang saya mampu semua perkara yang telah berlaku sepanjang tahun ini, khsusunya di Malaysia sendiri dan amnya di seluruh dunia.

Kita mulakan dengan perkara-perkara yang berlaku dalam bulan Januari 2011...


Januari

1 Januari 2011, pelakon yang berbakat besar, Faizal Yusuf telah meninggalkan dunia yang fana ini. Perginya dia meninggalkan kenangan manis dalam dunia lakonannya.

5 Januari 2011, Datuk Sri Rais Yatim telah di lemparkan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam kes jenayah perkosaan bekas pembantu rumahnya, namun telah dinafikan oleh Datuk sendiri.

11 Januari 2011, Revolusi di negara-negara Arab dan negara Timur Tengah semakin marak dan menunjukkan tiada jalan penyelesaian secara meja bertulis. 'Riot Rakyat' ini semakin parah dan merebak hampir ke seluruh Timur Tengah dan tempiasnya terasa hingga ke Asia Tenggara seperti di Thailan, Indonesia dan Malaysia sendiri apabila peristiwa 'Pesta Demokrasi 9 Julai (907)' berlangsung dengan gahnya di seluruh ibu kota Kuala Lumpur.

12 Januari 2011, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka berhubung isu Program 100 Hari Pakatan Rakyat (PR). Namun usul telah ditolak.

29 Januari 2011, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakarishnan telah mengumumkan keluar parti PKR.

30 Januari 2011, Tok Ai calon Barisan Nasional menewaskan calon PAS, Normala Sudirman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Johor kerana kematian wakil lamanya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.


Februari

2 Februari 2011, Penemuan tapak arkeologi BUKIT BUNUH untuk membunuh teori 'out of Afrika' bermula (kini sedang struggle dengan UNESCO untuk gazetkan tapak ini)
.

13 Februari 2011, Ibu mertua kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi meninggal dunia kerana radang paru-paru berair.

18 Februari 2011, Pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman mengejutkan banyak pihak atas pengumumannya masuk parti PAS.

24 Februari 2011, Najib ke Turki untuk majlis memperingati Kamal Artartuk. Mungkin sebab Najib adalah ketua negara, jadi kena tunduk hormat.



Mac

1 Mac 2011, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pahang, Datuk Ismail Mohd Yusoff, 57, meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah kerana serangan jantung.

3 Mac 2011, Pengasas UMNO dan 11 orang kuat UMNO Jengka, Pahang mengisytiharkan keluar parti dan memasuki PAS.

6 Mac 2011, Barisan Nasional mengekalkan kerusi di Dun Kerdau dan Merlimau.

22 Mac 2011, Trio Rahim Tambi Chik, Shahrizal Eskay dan Shuib Lazim mengaku bertanggungjawab mendedahkan video lucah di Carcossa Sri Negara.


April

2 April 2011, Kecoh telur tiruan dari Cina. Kononnya telur tersebut boleh membunuh sesiapa yang memakannya. Akhirnya, terdedah juga sebenarnya tiada telur tiruan.

29 April 2011, Datuk Shahrizal Eskay bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul yang mana dia mengenakan baju kalis peluru seolah-olah berada dalam zon perang.



Mei

2 Mei 2011, Osama Bin Laden telah dilaporkan terbunuh dalam satu serangan Tentera Bersekutu di daerah Obbottabad, berhampiran sempadan Pakistan. Berita ini telah mengejutkan dunia yang ketika itu sedang kecoh dengan kes Riot Rakyat di Timur Tengah. Berita kematian Osama menaikkan lagi semangat pejuang rakyat di Timur Tengah. Jika benar Osama Bin Laden telah meninggal dunia, kami hadiahkan Al-Fatihah buat arwah Syahidnya. Al-Fatihah...

21 Mei 2011, Tragedi Tanah Runtuh di Batu 14, Hulu Langat yang menimpa Rumah Anak-anak Yatim telah mengejutkan ramai pihak di seluruh negara. Artikel baca di sini.

27 Mei 2011, Himpunan 1 Juta Belia telah di adakan di Putrajaya. Menampakkan hasil positif untuk meningkatkan lagi kadar maksiat dan murka Tuhan ke atas Malaysia. Mujur tak sampai 1 juta pun yang berhimpun.


Jun

2 Jun 2011,
Suruhanjaya Komunikasi Multi Media Malaysia (SKMM) telah menutup hampir kesemua laman web muat turun atau lebih dikenali 'downloader website' bagi para pengguna internet di Malaysia. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan para pemuda di Malaysia yang mana rata-rata mereka adalah pengguna tegar internet dan bergantung kepada laman-laman web tersebut. Hal ini juga telah menjadikan kebanyakan pemuda tersebut menjadi Hackers bertaraf Newbie semata-mata untuk unblock semula website-website yang telah di sekat tersebut hingga menyebabkan beberapa laman web rasmi kerajaan Negara Malaysia telah di hack oleh mereka.

11 Jun 2011, PEKIDA marah-marah kerana filem KL Gangster dan Kongsi telah memaparkan aksi-aksi rahsia dalam gerakan mereka yang mana sebenarnya dah ramai pun orang tahu.


Julai

9 Julai 2011, Pesta Demokrasi telah berlangsung dengan gah sekali di seluruh ibu kota Kuala Lumpur. Jalan-jalan raya telah ditutup, kedai-kedai tutup, stesen lrt dan terminal bas tergendala, sekatan jalan raya diperbanyakkan, seluruh anggota polis dan awam di kerahkan ke ibu kota hanya untuk menjayakan lagi Pesta Demokrasi ini. Pesta ini dilengkapi dengan Himpunan Bersih 2.0, Himpunan Patriot, Perkasa dan himpunan anggota Polis yang sentiasa mengawal keamanan. Artikel penuh baca di sini.

23 Julai 2011, Malaysia kalah kepada Singapura dalam perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2014 kerana Singapura tersangat handal dalam kelas lakonan atas padang.


Ogos

2 Ogos 2011, Riot atau kekecohan di London telah berlaku. Para pemuda dan para penganggur bangkit menuntut hak mereka kerana kerajaan telah menarik balik wang sara untuk para pemuda dan penganggur dek kerana kerajaan kekurangan bajet tahunan. Habis punah bandar London seketika di bakar dek kemarahan pemuda.

8 Ogos 2011, JAIS meminta semua pihak agar tenang dek kerana serbuan yang di buat ke atas sebuah gereja yang memberi ummat Islam jamuan berbuka puasa secara percuma namun di tambah dengan beberapa ritual keagamaan mereka. Kecoh seketika negara kita dengan kes Murtad dan serbuan ini hingga mengakibatkan beberapa gereja di Melawati dan sekitar Kuala Lumpur di lempar Molotov Cocktail serta beberapa buah masjid dan surau di simbah cat merah.


September

7 September 2011, Negara kita dikejutkan dengan kes Komunis dan Bukit Kepong. Kisah Mat Indera dan para polis Bukit Kepong. Mat Sabu mengumumkan kesediaannya untuk berdebat dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang isu perjuang kemerdekaan di Bukit Kepong.

12 September 2011, Manifesto PAS mengenai Negara Berkebajikan telah merubah manifesto lama iaitu Negara Islam.

13 September 2011, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad menasihati Datuk Sri Najib Tun Razak agar melewatkan tarikh Pilihan Raya Ke-13. Tarikh asal pada 11-11-11 telah di tunda ke suatu tarikh baru yang kami jangkakan akan berlangsung pada cuti pertengahan semester pertama sekolah-sekolah seluruh Malaysia sekitar bulan 3 tahun hadapan.

29 September 2011, Negara Thai atau Thailand mula ditimpa bencana banjir besar yang sampai hari ini telah menenggelamkan hampir 90% negara tersebut. Banjir itu telah merebak hingga ke beberapa buah negara jiran termasuk Myanmar, Kemboja dan Malaysia sendiri. Beberapa buah syarikat besar dilaporkan hampir muflis kerana menanggung kerugian yang besar dek kilang-kilang mereka tenggelam dalam banjir dan tak dapat beroperasi. Syarikat tersebut termasuklah Western-Digital Corporation dan banyak lagi syarikat-syarikat pengeluar baranan elektronik serta alatan-alatan harian seperti syampo dan sabun mandi.


Oktober

5 Oktober 2011, Pengasas APPLE Software Inc. telah dilaporkan meniggal dunia setelah selesai mengumumkan tarikh keluaran iPhone 4s. Tarikh yang sama, Imam Anwar Al-Awlaki seorang Mujahid di Timur Tengah telah dilaporkan Syahid kerana serangan pihak kerajaan negaranya. Al-Fatihah buat Imam Anwar Al-Awlaki...

7 Oktober 2011, Bencana di Thailand semakin parah.

9 Oktober 2011, Peristiwa langit telah menggemparkan negara kita yang mana telah menyaksikan peristiwa Lunar Halo dan Full Moon berlaku. Artikel penuh baca di sini.

13 Oktober 2011, Peristiwa Solar Halo pula berlaku dan menggemparkan negara. Peristiwa banjir besar di Thai semakin parah. Artikel penuh baca di sini.

16 Oktober 2011, Malaysia juga dikejutkan dengan kes isu Hudud dan perlaksanaan hukum Islam di Malaysia. Sultan Brunei mengejutkan dunia dengan kesediaannya untuk melaksanakan hukum Hudud di Brunei.

21 Oktober 2011, Dunia dikejutkan dengan kejayaan revolusi di Libya yang telah membawa kepada pembunuhan berdarah Muammar Gaddafi sebagai Former of Libya. Terbunuhnya beliau dek kerana kemarahan rakyat dan serangan bersekutu dari pihak Nato. Gaddafi ditemui mati dalam tempat persembunyiannya dalam sebuah saluran air.

21 Oktober 2011, Di Malaysia pula, selepas solat Jumaat telah berlangsung satu Soladariti untuk Professor Abdul Aziz Bari di UIA kerana beliau telah digantung tanpa gaji selama 7 hari dek kerana teguran Prof terhadap YDP Agong secara terbuka. Konklusi kes ini, Prof Aziz Bari telah berhenti dari UIA.

22 Oktober 2011, HIMPUN atau Himpunan Sejuta Ummat telah berlangsung di Stadium Utama, Shah Alam. Himpun kurang mendapat sambutan dan dilaporkan kira-kira 8000 orang sahaja yang hadir dan gagal mencapai matlamat.

22 Oktober 2011, Putera Su'ud, Raja Abdullah telah meninggal dunia di Amerika Syarikat setelah menjalani satu pembedahan.

22 Oktober 2011, Gempa bumi besar berskala 7.2 skala rikter telah dilaporkan berlaku di Lautan Pasifik. Artikel penuh untuk bulan Oktober baca di sini.


November

17 November 2011, Datuk Sri Anwar Ibrahim mengumumkan akan berlaku satu kejutan besar di Johor pada PRU-13 akan datang.

19 November 2011, Video Sembang Rakyat mengejutkan negara kerana menghina hukum Hudud.

21 November 2011, Kejayaan pasukan Harimau Muda mengalahkan Indonesia dalam Piala Sukan Sea. Kejutan ini membuktikan bahawa doa orang teraniaya dimakbulkan.


Disember

1 Disember 2011, Perhimpunan Agong UMNO berlangsung di PWTC selepas berakhirnya Perhimpunan PKR.

10 Disember 2011, Gerhana bulan penuh (Full Moon Eclipse) telah berlaku. Artikel penuh baca sini.

13 Disember 2011, YDP Agong baru dilantik. Dirgahayu YDPA Sultan Abdul Halim.

23 Disember 2011, Adam Adli mengejutkan negara kerana kelantangannya menurunkan gambar Datuk Sri Najib di PWTC.

25 Disember 2011, Kejayaan filem Ombak Rindu mendahului filem KL Gangster dengan kutipan melebihi 10 juta.

25 Disember 2011, Ombak rindu yang besar melanda Dungun, Terengganu. Dikatakan ombak itu sebagai 'adik tsunami'.

26 Disember 2011, ulang tahun genap 7 tahun peristiwa Tsunami besar yang melanda banyak negara hingga mengubah peta dunia.

30 Disember 2011, Johor dilanda Ombak rindu yang besar. Tapi kali ini ombak tersebut hanya ilusi awan sahaja. Kata seorang tua, ombak tu bala dari Tuhan, dah nak turun dah tapi ditahan kerana adanya orang alim di sana.

30 Disember 2011, Johor juga menyaksikan satu lagi kes baru. Masjid Al-Falah, Johor telah di cemari kesuciannya dek kerja terkutuk sebahagian pihak yang membuang 9 kepala babi di hadapan perkarangan pintu masuk masjid. Daging dan tulang babi juga dilaporkan bertaburan di perkarangan masjid. Kata seorang tua, tu kes mau buat 13 Mei ke-2 berulang. Kira macam trigger lah...

(Gambar memaparkan ilusi awan yang berupa ombak besar di Segamat, Johor)


31 Disember 2011... Apa yang berlaku?

1) Ceramah Perdana & Kempen Anti Zina bersama Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Mula selepas Maghrib.

2) Sambutan Tahun Baru & Mahabbah Rasulullah SAW bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari di Masjid Negeri, Shah Alam. Mula selepas Maghrib.

3) Haul Akbar Tahun Baru bersama Syeikh Fuad Kamaluddin di Masjid Wilayah. Dari jam 9 pagi hingga 1 tengah malam.

4) Konsert Ambang 2012 di Dataran Merdeka dan banyak tempat lagi..


5) Mungkinkah banyak lagi benih terlepas yang akan melahirkan banyak lagi anak luar nikah dan kes buang anak??? Sama-sama kita hindari...




Alhamdulillah, berlabuh sudah tirai 2011 malam nanti. Dan bermulalah sebuah lembaran baru buat tahun 2012.
SELAMAT DATANG 2012, Selamat Datang Tahun Konspirasi. Ketahuilah bahawa suka duka kita dalam tahun ini akan mengajar kita erti kehidupan buat bekalan melalui tahun yang lebih penuh liku-liku dan ranjau di tahun 2012 nanti. Ketahuilah bahawa 2012, adalah tahun yang penuh dengan keperitan dan ranjau bagi para Mukminiin dan Muhsiniin. Kami warga bk.blogspot mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2012 buat semua para pembaca setia. Jauhkan kontroversi, elakkan konspirasi.



*Kredit gambar-gambar di atas kepada Google dan beberapa info dikreditkan kepada Sinar Harian dan Abe Aiz Adli.
*Nantikan artikel kami di masa akan datang, insyaALLAH akan kami paparkan beberapa perkiraan berdasarkan ilmu Falak tentang peristiwa-peristiwa dalam tahun 2012 nanti. Sama-sama kita harungi kehidupan yang penuh ranjau dan duri ini.




Sekian dahulu,
Catatan 'bradokapak'
31-12-2011, 14:35 petang.

1 comment: